|
Daerah
Kecil Pusa
 |
|
Pejabat Daerah Pusa
|
Disebut sahaja nama Daerah Kecil Pusa, sudah tentu akan terlintas di pemikiran
kita bagaimana daerah kecil ini mendapat namanya. Menurut cerita orang tua-tua
di sini, suatu ketika dahulu terdapat sebuah kawasan kebun kecil yang didiami
oleh sekumpulan petani dan dikenali sebagai 'Kebun Putat'.
Malangnya, kawasan ini selalu dilanda oleh ombak sehingga mereka meneroka kawasan
baru untuk dijadikan perkampungan. Pada suatu pagi, ketika bergotong-royong
membersihkan kawasan baru itu, mereka telah terserempak dengan seekor 'kucing
hitam'. Akhirnya, timbul cadangan untuk menggelarkan nama kampung baru itu sebagai
'Kampung Pusa' (kucing).
Daerah Kecil Pusa, merupakan sebuah daerah kecil yang terletak di dalam Bahagian
Betong serta terkenal dengan 'ikan terubok', terutamanya di Kampung Beladin
dan Kampung Pusa di kalangan masyarakat luar. Daerah kecil ini mempunyai keluasan
362.47 km persegi ataupun terletak sejauh 90 km dari Bandar Betong.
Untuk sampai ke sini, memerlukan masa lebih daripada satu jam perjalanan menggunakan
jalan darat, jika bergerak dari bandar Betong, ataupun dua jam perjalanan dari
Bandar Sri Aman. Jarak ini termasuk laluan yang perlu dilalui dari simpang jalan
besar (Lebuh Raya Pan Borneo) iaitu kira-kira 19 km untuk sampai ke Pekan Pusa.
 |
|
Pekan baru Pusa
|
Bagi penduduk tempatan, pengangkutan darat masih menjadi pilihan utama. Walau
bagaimanapun, kepentingan pengangkutan air juga tidak dinafikan seperti penggunaan
bot ekspres, bot laju dan perahu tambang bagi penduduk di kawasan pedalaman.
Pentadbiran
Pejabat Daerah Kecil (PDK) Pusa, yang terletak di tengah-tengah Pekan Pusa
sekarang ini ditadbir oleh Pegawai Tadbir Sarawak, Pusa, En. Adenan Bin Takip.
Namun, mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa bangunan PDK Pusa yang ada
sekarang ini merupakan bangunan yang ketiga, semenjak kewujudan Daerah Kecil
Pusa. Ia telah digunakan sejak tahun 1993, yang sebelum ini terletak di Kg.
Hulu Pusa (sekitar 70-an) dan di Kg. Hilir Pusa (sekitar 50/60-an). Dikatakan
bahawa tapak bangunan PDK Pusa di Kg. Hilir Pusa telah pun ditenggelami oleh
air.
Daerah Kecil Pusa sekarang ini didiami oleh seramai 20,219 orang penduduk di
3,242 buah rumah. Kampung Beladin terkenal disebabkan ia mempunyai bilangan
rumah terbanyak iaitu 1,253 buah rumah. Kampung itu sahaja menjadi kediaman
kepada 5,963 orang penduduk.
Kampung Beladin juga terkenal kerana lokasinya yang strategik serta dihubungkan
dengan Jalan Pesisir Triso-Maludam.
Majoriti penduduk di sini terdiri daripada kaum Melayu iaitu 95 peratus. Selebihnya
ialah Cina dengan 3 peratus dan lain-lain sebanyak 2 peratus.
 |
|
Antara projek pembangunan yang dijalankan di daerah kecil ini ilah
pembinaan jalan ke Kg.Tambak
|
Berdasarkan penglibatan dalam aktiviti ekonomi, masyarakat Cina lebih ramai
yang terlibat dalam aktiviti perniagaan, sementara masyarakat Melayu pula ramai
yang menjadi petani, nelayan, bekerja buruh, penambang dan berniaga secara kecil-kecilan.
Tempat menarik untuk dikunjungi
Bagi yang gemar ke tempat bersejarah, Pekan Pusa adalah pilihan yang sesuai
kerana terdapatnya 'Makam Dayang Isah Tandang Sari' dan 'Makam Raja Bertanduk'.
Kedua-dua tempat ini dianggap sebagai tempat bersejarah kerana ia mempunyai
lagenda yang tersirat dan tidak ramai yang mengetahuinya secara jelas.
Kawasan ini juga terkenal dengan sejenis makanan yang sering mendapat sambutan
penduduk tempatan iaitu 'Suman Pais' yang diusahakan oleh salah seorang penduduk
Kampung Pusa. Ia merupakan sejenis makanan yang dibuat daripada tepung rumbia
atau lebih dikenali sebagai 'Lemantak'.
Intinya pula dibuat daripada ikan dan udang yang diperoleh bekalannya daripada
penduduk sekitar. Ia dimasak menggunakan kaedah pembakaran ataupun dipanggang.
Bagi yang mencintai keindahan alam semulajadi serta sukakan aktiviti santai
terutamanya di hujung minggu, pantai berpasir yang bersih dan menarik boleh
dikunjungi di Beting Maro.
Program Pembangunan
 |
|
Jeti Kg. Pusa - yang menjadi antara penghubung utama ke Kg. Pesisir
Pusa
|
Pada masa ini, projek RGC (Pusat Pertumbuhan Desa) di Beladin yang seluas 6,363
hektar, rancak dibangunkan dengan pelbagai projek pembangunan, sesuai dengan
matlamat penubuhannya untuk membangunkan kawasan berkenaan. Pada hari ini, ia
telah memberi manfaat secara langsung kepada 7,619 penduduk. Di bawah RMK-7,
sebanyak RM 10,794,870.00 diperuntukkan untuk RGC Beladin dan telah meningkat
kepada RM 22,200,000.00 di bawah RMK-8.
Jalan-jalan pesisir dari Triso ke Beladin juga sedang dalam pembinaan yang
dijangka akan siap dan dapat digunakan menjelang tahun 2003.
Sementara itu, jalan yang menghubungkan Manggut ke Tuie juga sedang dalam pembinaan
di bawah RMK-8 yang akan memberi kemudahan kepada semua penduduk khususnya di
Daerah Kecil Pusa.
Fakta
Daerah Kecil Pusa
| Keluasan |
362.47 kilometer persegi |
| Bilangan penduduk |
20,219 orang; 95% Melayu, 3% Cina, 2% Lain-lain |
| Jarak dari Bandar |
90 km dari Betong, 150 km dari Sri Aman
(19 km dari Lebuh Raya Pan Borneo) |
| Pengangkutan |
Jalan darat (bas & kereta) Jalan air (bot
ekspres, bot laju & perahu tambang) |
| Kemudahan |
Bekalan air, telefon awam, bekalan elektrik,
jalan raya, Klinik Kesihatan, Perpustakaan Awam, Balai Polis, Sekolah Rendah
(10 buah) dan Sekolah Menengah (sebuah)
|
| MP/ADUN |
YB Hj. Bolhassan B. Hj. Di (N.21 Beting Maro)
YB Wan Junaidi B. Tuanku Jaafar (P.175 Batang Lupar)
|
Pegawai
Yang Pernah Berkhidmat
| 1. |
SAO Abang Ali (semasa pemerintahan British)
* Pejabat di Kg. Hilir, Pusa
|
| 2. |
SAO Abang Mansyur
|
| 3. |
SAO Abang Terini
|
| 4. |
SAO Tengku Hosen (1950-an)
|
| 5. |
SAO Abang Maimun
|
| 6. |
SAO Welfer Kedit (1960-an)
|
| 7. |
SAO Wan Mahda
* Pejabat di Kg. Hulu, Pusa
|
| 8. |
SAO Solomon Buyong
|
| 9. |
SAO Dolhan Yunus
(1970-an)
|
| 10. |
SAO Wasli bin Ramli
|
| 11. |
SAO Dolhan Yunus
|
| 12. |
SAO Peter Mandy |
| 13. |
SAO Ramli Hj Bollah (1980-an)
|
| 14. |
SAO Ghafur Shariff
|
| 15. |
SAO Ramli Hj Bollah
|
| 16. |
SAO Yusof Hj Amir
|
| 17. |
SAO Philip Peter Salam
|
| 18. |
SAO Salbia Iri
* Pejabat di Kg. Seberang, Pusa
|
| 19. |
SAO Jamaludin Dapol (1990-an)
|
| 20. |
SAO Zulkipli Morshidi
|
| 21. |
SAO Adenan bin Takip (sekarang) |
|