|
Jauh Berjalan ... Banyak Pengalaman
Haji Husain Haji Paris - Tokoh Guru 2001
Memartabatkan Profesion perguruan adalah satu agenda penting negara dalam mengiktiraf dan meletakkan profesion perguruan ke tempat yang sepatutnya.
Atas dasar itu, hampir setiap tahun, pengiktirafan di beri kepada tokoh-tokoh guru seluruh negara bagi menghargai sumbangan mereka diadakan. Bagi peringkat negeri, salah seorang, insan pendidik terpilih tersebut ialah Haji Husain Haji Paris, 80 tahun yang telah dianugerahkan Tokoh Guru Negeri Sarawak 2001.
Gambar Hj. Husain yang diambil pada 15/10/1965, ketika itu beliau menjadi guru di SM St. Thomas, Kuching
 |
Beliau seorang bekas guru yang telah mencurahkan bakti dan khidmat selama lebih kurang 34 tahun dan banyak menyumbangkan peningkatan pendidikan Islam.
Haji Husain dilahirkan di Kampung No.4 Kuching pada 10 Mac 1921 dan mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Merpati Jepang sehingga tamat darjah enam pada bulan Februari 1936.
Beliau memulakan karier sebagai guru di Madrasah Melayu Sarawak dalam tahun 1942 setelah tamat latihan perguruan di Kolej Latihan Melayu Sarawak pada 1939 sehingga 1941.
Sepanjang tempoh perkhid-matannya selama 34 tahun, Haji Husain pernah berkhidmat di Sekolah Melayu Lundu (selama 2 tahun), Sekolah Rakyat Haji Bolhassan (7 tahun) dan menjadi pengasas Sekolah Samarahan Rubber Estate pada tahun 1948 sebagai guru besar. Sekolah terakhir beliau ialah Sekolah Menengah St Thomas Kuching pada tahun 1963 (selama 13 tahun),sehinggalah beliau bersara pada 10 April 1976.
Sumbangan beliau dalam perkhidmatan ialah beliau antara perintis dalam bidang pendidikan Bahasa Melayu dan Agama Islam, kerana kekurangan guru-guru Bahasa Melayu sekitar tahun 1960-an.
Setelah bersara daripada perkhidmatan, Haji Husain meneruskan khidmat dalam memberikan sumbangan ke arah kemajuan pendidikan khususnya pendidikan Islam dan kini merupakan salah seorang tenaga pengajar di Hikmah, Kuching.
Beliau juga aktif dalam kegiatan keagamaan dan berpersatuan. Haji Husain juga pernah bersama-sama memperjuangkan Skim Perkhid-matan Guru-guru Sarawak di bawah Laporan Aziz dan juga adalah pengasas kepada Islamic Club bersama Mufti Negeri Sarawak.
Hj. Husain: Generasi muda sekarang perlu sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pendidikan
 |
Pengiktirafan juga telah diberi kepada beliau apabila beliau menerima penganugerahan Pingat Ahli Bintang Sarawak (ABS) pada tahun lepas.
Sebagai seorang yang telah melalui banyak cabaran dalam dunia pendidikan, beliau menasihati agar pendidik yang ada sekarang dapat meningkatkan kesungguhan mendidik anak bangsa.
Semasa beliau cuba meng-himbau kembali zaman silam, beliau menyatakan betapa sukarnya untuk mendapatkan pendidikan dahulu. Malah tambah beliau, jauh sama sekali melihat golongan Melayu yang mempunyai pendidikan tinggi masa itu, sekitar tahun 1940-an dan bahkan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dahulu juga sukar serta tiada kemudahan untuk mendapatkan bahan, tidak seperti sekarang.
Golongan pendidik sekarang sangat bertuah kerana ilmu pengetahuan di mana-mana dan pe-luang untuk belajar begitu luas, tegas beliau sewaktu kunjungan RAKAN Sarawak ke rumah beliau. Jadi, mereka harus menimba lebih banyak ilmu pengetahuan, gunakan sebaik mungkin kemudahan yang begitu banyak sekarang ini bagi meningkatkan mutu pendidikan.
Bidang pendidikan mem-berikan kelebihan tersendiri, kerana tugas mendidik adalah tugas yang mencabar, kata beliau. Bermula daripada didikan di peringkat sekolah rendah lagi, iaitu merupakan landasan melahirkan golongan yang berjaya mentadbir dan menyumbangkan bakti kepada negara dalam pelbagai bidang.
Kesedaran dan semangat untuk belajar juga perlu ada dalam diri, kerana semasa beliau mengajar di St Thomas, walaupun terpaksa mengajar, beliau juga sentiasa berusaha meningkatkan tahap akademik beliau dengan mengambil peperiksaan.
Sebagai seorang pendidik, beliau menasihatkan guru-guru yang ada sekarang menyuntikkan satu semangat baru bagi mendidik anak-anak bangsa dan sentiasa berusaha meningkatkan pen-capaian.
Semangat kuat untuk belajar perlu ada pada generasi muda sekarang ini dan bagi golongan pendidik pula perlulah meningkatkan ilmu pendidikan yang tiada batasnya, tambah beliau. Menurut beliau, zamannya menjadi guru dahulu masih ramai anak-anak kampung tidak bersekolah disebabkan kebanyakan ibu bapa tidak mampu menghantar anak ke sekolah berikutan hidup yang susah dan serba kekurangan dan apatah lagi kurangnya bilangan sekolah.
Sambil melihat kepada gambar-gambar beliau dan menceritakan pengalaman beliau semasa zaman menjadi guru dahulu, terbayang rasa kepuasan pada wajahnya kerana berjaya mendidik anak bangsanya. Pada akhir temubual dengannya, beliau menyatakan, tiada perkara mustahil dalam hidup ini, sekiranya kita inginkan sesuatu, tingkatkan usaha dan semangat, pasti semuanya akan tercapai.
RAKAN Sarawak keluaran Julai 2001 akan memuatkan artikel Tokoh Guru 2000: En. Joseph Lee Gut Hing
|