|
 |
Berpuas hati
Kelihatan Perdana Menteri, YAB Datuk Patinggi
Abdullah Haji Ahmad Badawi meninjau salah sebuah rumah mesra rakyat di Taman
Mesra Bako, Kuching selepas merasmikan projek (Rumah Mesra rakyat) RMR di kawasan
berkenaan pada 18 April 2006 yang lepas.
Taman Mesra Bako adalah lokasi ke dua RMR di negeri ini selepas Kampung Petanak,
Mukah. Terletak di atas tapak seluas 32 hektar, sejumlah 165 unit rumah akan
di bina di Taman Mesra Bako ini. Selain RMR Taman Mesra Bako, RMR ia turut dirancang
dibina di Kampung Salak, Pasir Panjang, Pasir Pandak, Muara Tebas, Gobeilt,
Senari di Bahagian Kuching, Kabong dan Betong di Bahagian Betong, Kampung Petanak
dan Kampung Nelayan di Bahagian Mukah, Kampung Semop di Bahagian Sarikei dan
Bekenu di Bahagian Miri.
RMR Bantu Golongan Berpendapatan Rendah
Kerajaan akan meneruskan usaha melaksanakan pembangunan
seimbang yang lebih bersifat mesra rakyat bagi memastikan tiada golongan yang
terpinggir terutamanya golongan berpendapatan rendah, kata Perdana Menteri YAB
Datuk Patinggi Abdullah Haji Ahmad Badawi.
Usaha tersebut menurut Perdana Menteri termasuklah menyediakan pelbagai kemudahan
perumahan untuk golongan berpendapatan rendah melalui Skim Rumah Mesra Rakyat
(RMR). Jelas beliau, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap
program yang dilaksanakan itu menepati keperluan masyarakat.
 |
| Salah sebuah rumah contoh mesra rakyat, ketika pelancaran
di Taman Mesra Bako baru-baru ini |
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Skim Rumah Mesra
Rakyat di Taman Mesra Bako lebih kurang 40 km dari Bandar Raya Kuching baru-baru
ini. Berdasarkan kejayaan projek RMR di Semenanjung Malaysia, jelas Perdana
Menteri Kerajaan Persekutuan bersetuju memanjangkan program ini ke Sarawak.
Beliau seterusnya menambah, sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan untuk pembinaan
kira-kira 1,000 unit RMR di negeri ini. Terdahulu, semasa berucap pada majlis
yang sama, Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud turut menyifatkan
RMR adalah suatu pendekatan yang praktikal di mana kerajaan memberi subsidi
satu pertiga daripada kos setiap rumah tersebut.
Projek RMR Taman Mesra Bako terletak di tapak seluas 32 hektar yang menempatkan
sejumlah 165 unit rumah. Permohonan untuk mendapatkan RMR adalah terbuka kepada
individu yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan dan bagi pemohon yang berjaya,
mereka hanya perlu membayar ansuran bulanan serendah RM100 untuk jangkamasa
selama 32 tahun (jenis rumah atas tanah) dan 35 tahun (jenis rumah bertiang)
Projek ini adalah usahasama antara Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan
Suruhanjaya Perumahan Sarawak. RMR Taman Mesra Bako ini dijangka dapat menyuraikan
kesesakan di Kampung Bako yang kini mempunyai kira-kira 4 ribu buah rumah.
 |
Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak ketika melawat
salah sebuah rumah contoh RMR membuktikan keprihatinan kerajaan membantu
golongan yang berpendapatan rendah. |
KM lancar RMR Mukah
Pada 15 April 2006 yang lalu, YAB Pehin Sri Haji Abdul
Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak telah meluangkan masa melawat tapak projek
Rumah Mesra Rakyat (RMR) Mukah di Kampung Petanak Extension Scheme. YAB Pehin
Sri, dalam ucapannya sebelum meninjau rumah yang telah disiapkan itu, menyatakan
penghargaan beliau di atas keperihatinan Kerajaan Persekutuan melalui Syarikat
Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan
seterusnya memberi peruntukan bagi pelaksanaan RMR di Negeri Sarawak.
Melihat kepada momentum pembangunan di Mukah dan potensinya sebagai pusat
pertanian di Zon Tengah, adalah dijangkakan bilangan penduduk Mukah akan meningkat
berkali-kali ganda dalam masa yang singkat. Lebih-lebih lagi melihat kepada
potensi kelapa sawit yang cerah sebagai komponen bahan api (envo diesel). Semua
peningkatan dan pembangunan ini memerlukan kemudahan perumahan, jelas
YAB Pehin Sri.
Skim RMR yang telah diperkenalkan pada Ogos 2002 di atas keprihatinan Kerajaan
Persekutuan untuk membantu dan memastikan golongan berpendapatan rendah serta
mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap mampu memiliki rumah mereka sendiri.
Dalam pada itu, SPNB akan bekerjasama bersama HDC untuk membina 465 unit rumah
di bawah Skim Rumah Mampu Milik di Mukah dan Sourabaya, Kuching. SPNB juga merancang
membangunkan lebih banyak lagi perumahan mampu milik di bandar-bandar utama
di Sarawak iaitu di Kuching, Miri, Bintulu, Sibu dan Mukah.
 |
Sebanyak 30 unit rumah RMR
akan dibina di Mukah. Pem-
bangunan ini akan melibatkan
rumah bersendirian setingkat (3
bilik tidur, 2 bilik air) dengan
keluasan lantai 92.90 meter
persegi (1,000 kaki persegi) dan
ketinggian tiang rumah ialah 2.4
meter (lapan [8] kaki). |
Pembangunan RMR di Bahagian Mukah terletak di Kampung Petanak
Extension Scheme, Jalan Mukah-Oya iaitu kira-kira empat (4) kilometer dari bandar
Mukah.
Rumah Mesra Rakyat
Pengenalan Skim RMR di Negeri Sarawak adalah berikutan daripada pembentangan
Belanjawan 2005 yang telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi pembinaan
Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) sejumlah RM100 juta di seluruh negara Di Sarawak,
pelaksanaan RMR adalah dengan dua kaedah iaitu di kawasan yang telah dikenalpasti
untuk RMR program pembesaran kampung ( Kampung Extension Scheme) oleh Jabatan
Tanah dan Survei dan Permohonan secara individu.
Skim RMR ini terbuka untuk keluarga miskin yang terdiri daripada nelayan, petani,
peladang, orang miskin dan ibu tunggal yang tidak mempunyai rumah ataupun tinggal
di rumah yang usang (daif), tetapi mempunyai tanah ataupun mendapat kebenaran
berkanun oleh tuan punya tanah yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat
(ibubapa, isteri atau adik-beradik.
Syarat Kelayakan Pemohon:
Warganegara Malaysia
Berumur di antara 18-65 tahun
Pemohon yang berumur diantara 45-65 memerlukan pemohon kedua yang berumur
di antara 18-30 tahun.
Pendapatan kasar seisi rumah tidak melebihi RM1,000 sebulan
Berkahwin ataupun ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan.
Istilah tanggungan tidak termasuk isteri/suami tetapi termasuk anak,ibu,bapa,
mertua,ipar atau saudara-mara yang terdekat yang masih menetap bersama pemohon
Tidak mempunyai rumah sendiri ataupun mempunyai rumah yang usang/tidak
sempurna
Mempunyai tanah yang bersesuaian yang tiada cagaran ke atasnya
Sebagai jaminan, geran asal akan disandarkan untuk gadaian ke atas tanah
tersebut sehingga pinjaman dilangsaikan
Bagi program pembesaran kampung, jaminan ke atas tanah akan dikemukakan
oleh HDC
Tapak yang bakal dibangunkan projek tersebut nanti hendaklah tanah miliknya
sendiri ataupun saudara-mara yang terdekat
Pemohon perlu mendapatkan kebenaran berkanun dari tuan tanah jika bukan
milik sendiri
 |
Setiap rumah RMR yang dibina mempunyai keluasan 1,000
kaki persegi dilengkapi dengan
tiga (3) bilik tidur dan dua (2) bilik air .Satu pertiga (1/3) daripada
kos pembinaan dibiayai melalui Dana Khas Kerajaan Persekutuan dan selebihnya
pembiayaan tanpa faedah berlandaskan konsep Al-Qardh. |
Rumah Mampu Milik
Program ini dijalankan melalui 2 (dua) kaedah iaitu dilaksanakan
oleh HDC melalui anak syarikatnya, Daya Perumahan Sdn Bhd (DPSB) dengan kerjasama
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan yang keduanya dilaksanakan sepenuhnya
oleh HDC.
Tiga kawasan telah dikenalpasti untuk pelaksanaan projek akan datang ialah di
Bahagian Mukah, Betong dan Kuching.
Projek perintis Rumah Mampu Milik (RMM) hasil kerjasama di antara SPNB dan HDC
dilaksanakan di Mukah dengan perancangan pembinaan sejumlah 200 unit RMM yang
mempunyai reka bentuk yang menarik. Berkeluasan 700 kaki persegi di tapak seluas
20 ekar di Jalan Petanak, Mukah.
Kriteria Pemilikan RMM:
Hanya warganegara Malaysia yang bermastautin di Sarawak sahaja yang layak
memohon
Umur pemohon tidak melebihi 65 tahun
Tidak pernah memiliki mana-mana rumah mampu milik
Pendapatan kasar bulanan hendaklah di antara RM650 hingga RM2,500
Program Perumahan Rakyat
Program ini merupakan flat sewa di bawah kendalian Kerajaan
Persekutuan melalui Jabatan Perumahan Negara. Program ini bertujuan membantu
rakyat yang berpendapatan rendah yang belum mampu memiliki rumah dengan menyewakannya
pada kadar sewa terendah iaitu RM124 sebulan. Setakat ini, projek pembinaan
sebanyak 200 unit di Sri Wangi, Petra Jaya telah pun hampir siap dan 816 unit
lagi dalam pembinaan di PPR Batu 5, Jalan Matang. Sementara itu, pembinaan flat
yang sama turut dilaksanakan di Batu 15, Jalan Kuching-Serian.
Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sebanyak 2,000 unit rumah sewa
telah dirancang akan dibina dengan keutamaan diberi tumpuan kepada kawasan yang
mempunyai jumlah setinggan yang ramai iaitu di Miri, Bintulu dan Kuching.
 |
| Model Perumahan Rakyat |
Kriteria Pemohonan Flat PPR Sewa:
Pendapatan kasar (suami dan isteri) adalah di antara RM350 hingga RM850
(berbanding rumah kos rendah RM650 hingga RM2500)
Tidak memiliki sebarang hartanah
Dibuka untuk pemohon yang telah berkahwin sahaja
Tidak ada had umur ditetapkan memandangkan flat ini merupakan kediaman
sementara
Permohonan dibuka bagi warganegara Malaysia bermastautin di Sarawak terutama
sekali bagi pemohon-pemohon yang berpindah dari Bahagian lain serta penghuni
kawasan setinggan
|