|
 |
| Kuda laut
mercu tanda Bandaraya Miri |
Miri, bandar raya kesembilan diisytiharkan di negara ini
di samping statusnya sebagai bandar raya bukan ibu negeri yang pertama di Malaysia,
telah m memberikan kelebihan untuk warga bandar raya mengorak langkah lebih
pantas mencapai kualiti kehidupan yang lebih baik.
Ia merupakan hasil usaha keras pelbagai pihak khususnya warga Miri dan badan
korporat yang sentiasa bersama-sama pihak kerajaan selama ini. Justeru kerjasama
pelbagai pihak sehingga Miri mampu melakar identitinya sebagai Bandar
raya Peranginan seharusnya diberi pujian.
Namun kejayaan itu tidak tercapai dalam sekelip mata. Miri telah melalui perjalanan
pembangunan yang cukup panjang sehingga mampu mewujudkan pelbagai tarikan untuk
menarik pengunjung datang ke situ.
Setiap tahun kira-kira sejuta pelancong datang ke Bandar Raya Miri, khususnya
dari Brunei, Labuan dan Kota Kinabalu. Kehadiran pelancong itu telah memberi
sumbangan besar kepada perkembangan ekonomi Miri.
Paling ketara ialah ia menyediakan peluang kepada perkembangan aktiviti berkaitan
industri pelancongan. Industri perhotelan, rumah penginapan, restoran serta
kedai makan, industri kraftangan, perkhidmatan agen pelancongan dan sebagainya
terus berkembang kerana sentiasa mendapat permintaan.
Titik permulaan yang membawa kepada pencapaian Miri pada hari ini ialah pengeluaran
minyak mentah yang pertama di Sarawak di Bukit Telaga Minyak atau dikenali juga
sebagai Bukit Kanada pada tahun 1910 (beroperasi sehingga 1972).
Sesuai dengan nilai yang tiada tandingannya itu, sebuah mercu tanda yang dikenali
sebagai Grand Old Lady telah dibina di situ. Kini ia menjadi mercu
tanda yang paling penting dan harus dikunjungi oleh pengunjung yang datang ke
Miri.
 |
| Majlis Bandaraya Miri pernah terpilih sebagai penerima
Anugerah Perak Laman Malaysiana bagi kategori Taman Pameran (Dunia Taman) |
Turut dibina bersebelahan dengannya ialah Muzium Petroleum yang akan dibuka
kepada orang ramai menjelang tahun hadapan. Muzium itu akan dilengkapkan dengan
pelbagai peralatan canggih di samping menerapkan konsep interaktif yang akan
menguji minda pengunjungnya.
Nilai sejarah, ciri-ciri yang disebutkan serta kedudukannya di atas bukit yang
menyediakan pemandangan indah menghala ke arah Laut China Selatan dan persekitaran
bandar raya pastinya menjadi daya tarikan yang tiada bandingannya.
Bukan setakat itu, Bandar raya Miri (Bahagian Miri) juga mempunyai banyak tarikan
lain. Miri mempunyai pusat-pusat membeli belah, padang golf bertaraf antarabangsa,
Pusat Khazanah Miri, Taman Kipas dan Taman Awam.
Pembinaan taman-taman awam oleh Majlis Perbandaran Miri (kini Majlis Bandaraya
Miri) umpamanya telah terpilih sebagai penerima Anugerah Perak Laman Malaysiana
bagi kategori Taman Pameran (Dunia Taman) bersempena Festival Lanskap dan Taman
(Laman Malaysia 2004) anjuran Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan
dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2004.
Ekologi Miri turut dikenali kerana di luar pantainya yang seluas kira-kira 10,000
km persegi terletaknya 16 tapak batu karang (34 peratus daripada yang ada di
dunia) dengan 700 spesis batu karang dan 3,000 spesis ikan.
Keunikan itu telah membawa kepada pembangunan sebuah Taman Marina yang kini
hampir siap dan bakal menyediakan pelbagai kemudahan kepada peminat sukan air
dan aktiviti menyelam.
Kedudukan Miri sebagai tempat permulaan perjalanan melalui jalan raya ke taman-taman
negara yang terkenal seperti Taman Negara Mulu, Taman Negara Niah, Taman Lambir
dan Taman Negara Loagan Bunut juga memberikannya kelebihan.
Mulu merupakan gua terbesar di dunia manakala Niah pula terkenal sebagai kawasan
arkeologi yang menyimpan bukti tentang kehadiran manusia zaman pra sejarah.
Turut mengagumkan ialah konsep Saya Anak Miri yang memfokuskan kepada
penduduk dan budaya masyarakatnya.
 |
Bandaraya Miri bermandikan cahaya
pada waktu malam |
Objektif utamanya ialah untuk menunjukkan kepada seluruh
dunia yang penduduk Miri dengan pelbagai budaya dan agama adalah aset penting
dan mereka dianggap sebagai kebanggaan dan jiwa yang menjadikan Bandar raya
Miri unik dan cergas.
Sehubungan itu, setiap kunjungan pelawat pastinya akan lebih manis dengan keramahan
penduduknya di samping produk pelancongan lain yang memikat jiwa.
 |
| Lakaran Artis Bangunan Majlis Bandaraya Miri yang baru |
Pengisytiharaan Miri sebagai bandar raya pada 20 Mei 2005
lepas turut melakarkan sejarahnya yang tersendiri apabila menjadi antara bandar
raya yang bukan ibu negeri yang pertama di Malaysia.
Transformasi ini turut melibatkan Majlis Perbandaran Miri (MPM) yang telah dinaik
taraf ke Majlis Bandaraya Miri (MBM). Perkembangan bandar raya Miri selepas
ini bukan hanya terletak kepada Datuk Bandarnya, tetapi turut melibatkan kerjasama
termasuklah sektor awam, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan
warga Miri sendiri.
Pembentukan satu agensi khusus, Miri City Incorporated (MCI) yang akan
bertanggungjawab dalam menangani isu-isu berkaitan dengan aspek keselamatan,
persekitaran dan kesihatan, pelancongan, pendidikan, perdagangan dan industri
dan pembangunan sekeliling, membuktikan kesungguhan warga Miri itu.
Sungguhpun MPM telah dinaiktaraf menjadi MBM, peranan serta fungsi yang dimainkan
masih sama. Cuma fokus MBM terhadap pembangunan lebih menyeluruh dengan penyediaan
kemudahan prasarana yang lebih baik sesuai dengan tarafnya sebagai sebuah bandar
raya.
MBM yang mentadbir kawasan seluas 977.43 km persegi akan menyediakan lebih banyak
kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan yang lebih baik kepada seramai 300,000
orang di kawasan seliaannya.
 |
 |
Penglibatan masyarakat diperlukan bagi
pembangunan bandar raya Miri |
Miri...Bandar Raya Ke 2 di Sarawak |
Lembaga Perbandaran Miri (1933-1955)
Majlis Bandaran Miri (1956-1960)
Majlis Daerah Miri (1961-1980)
Majlis Perbandaran Miri (6/11/1981-19/5/2005)
Majlis Bandaraya Miri (20/5/2005- Kini)
Pengerusi Majlis 1956 - kini
|