Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
Zon Industri Tani Perlukan Satu Pendekatan Menyeluruh

Kebanyakan petani sudah mengubah cara
dan amalan pertanian mereka
Pembangunan akuakultur antara yang diberi keutamaan dalam RMK-9

Cadangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (KPIAT) baru-baru ini untuk mewujudkan zon industri tani di setiap negeri memberikan petanda baik kepada sektor pertanian dan sektor pengeluaran makanan negara.

Zon industri tani adalah satu kawasan yang akan dibangunkan dengan aktiviti-aktiviti pertanian berdaya maju dan berskala besar dengan fokus lebih terarah kepada pembangunan aktiviti pertanian dalam lingkungan zon tersebut. Konsep ini menyamai konsep seperti pengwujudan zon-zon perindustrian yang ada kini dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap.

Konsep zon industri pertanian itu nanti merangkumi bukan sahaja aktiviti pertanian malah perikanan (akuakultur) dan penternakan. Selain memudahkan aktiviti pemantauan dijalankan, ia turut meningkatkan tumpuan ke atas aspek pemasaran, pengeluaran dan inovasi dan infrastruktur sokongan.

Malah, para pengusaha boleh meningkatkan hasil pertanian dengan disokong keadaan agro-klimatik yang sesuai untuk aktiviti tersebut.

Apabila kita berbicara tentang sektor pertanian luar negara, akan terbayang di fikiran kita tanah yang luas, penggunaan jentera, infrastruktur ladang yang teratur serta rangkaian dari pengeluaran sehinggalah penjualan hasil ladang tersusun rapi.

Keadaan sedemikian yang ingin diwujudkan di negara kita yang kemudiannya akan mengubah persepsi kita terhadap sektor pertanian yang sebelum ini
disifatkan tidak berdaya maju dan kurang menguntungkan.

Mungkin cadangan tersebut nampak menarik di atas kertas, namun setakat mana ia mampu dilaksanakan menjadi persoalan kepada kita kerana kejayaan sektor pertanian ini turut melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

Beberapa pendekatan yang menyeluruh perlu diambil dan kesepakatan perlu dicapai terlebih dahulu. Sebagai contoh sektor pertanian masih berhadapan
dengan masalah mendapatkan tapak kerana terpaksa “memberi laluan” kepada pelbagai sektor lain yang dilihat lebih menguntungkan seperti sektor perindustrian dan sektor pembinaan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pernah menegur kerajaan-kerajaan negeri berhubung penyediaan tapak bagi zon industri pertanian di setiap
negeri, yang beliau harap dapat dipermudahkan lagi prosesnya.

Jelas beliau, kejayaan projek ini sangat bergantung kepada kelulusan kerajaan-kerajaan negeri (terutama pengambilan tanah untuk projek pertanian) dan syarat-syarat lain yang akan dikenakan kepada pengusaha-pengusaha yang akan memaju projek tersebut. Di pihak kementeriannya, menurut beliau, sudah dikenalpasti beberapa kawasan di beberapa negeri untuk dibangunkan.

Beliau percaya sekiranya projek itu dibangunkan sebagaimana kesungguhan ditunjukkan kerajaan-kerajaan negeri membangunkan sektor perindustrian berserta dengan kemudahan asasnya, sektor pertanian akan mampu pergi lebih jauh.

Namun dalam masa yang sama, beberapa perkara perlu diteliti bagi menjamin usaha tersebut mencapai objektifnya seperti mengembalikan keyakinan di kalangan pihak swasta untuk melabur dalam sektor pertanian.

Keadaan ini berasaskan kepada sambutan dingin dari pihak swasta walaupun kerajaan telah memperkenalkan beberapa insentif sejak 2001 lagi antaranya seperti potongan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal, Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan selama 5 tahun dan Elaun Pelaburan Semula selama 15 tahun, namun para pelabur kurang yakin kepada potensi mendapat keuntungan daripada pelaburan dalam industri sektor makanan.

Penggunaan teknologi moden
meningkatkan hasil pengeluaran
Produk nilai tambah...

Di samping itu, masalah seperti tenaga kerja juga perlu diambil kira, ini disebabkan pembukaan sesebuah kawasan baru atau zon baru memerlukan pekerja di sektor berkenaan. Kita tidak mahu kesannya akan berakhir dengan pengambilan lebih banyak pekerja asing dari luar negara akibat ketiadaan tenaga kerja tempatan.

Perancangan teliti mengenai kesesuaian tapak, tanah dan aspek alam sekitar perlu diambil kira kerana kita tidak mahu pengujudan zon tersebut mengundang pelbagai masalah antaranya pencemaran.

Selain itu, penggunaan teknologi pertanian dan penyelidikan yang belum meluas di negara kita masih perlu diatasi terlebih dahulu. Seperti yang pernah disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi sewaktu “Persidangan Halatuju Sektor Pertanian Dan Industri Asas Tani” pada 12-13 Ogos 2004, beliau melihat banyak hasil penyelidikan dan teknologi belum “dibawa” ke kolam dan ladang sepenuhnya.

Bukanlah keluasan saiz tanah yang menjadi ukuran, tetapi hasil pertanian yang diperolehi dan disinilah pentingnya teknologi dan penyelidikan diaplikasikan. Mungkin kita perlu mencontohi Amerika Syarikat yang hanya 5 peratus penduduknya yang terlibat dalam sektor pertanian tetapi mereka berupaya mengeluarkan hasil pertanian untuk 270 juta orang.

Perlu difikirkan juga walaupun sebaik mana rancangan kerajaan untuk menjayakan sektor pertanian, namun pada akhirnya, semua itu bergantung kepada para petani, penternak dan nelayan sendiri yang akan mengerakkannya dan memastikan ianya berjaya atau berdaya maju.

Dalam masa yang sama usaha untuk menarik minat golongan muda berkecimpung dalam sektor ini harus digiatkan. Ini termasuklah mengubah sikap dan minda mereka untuk mengambil inisiatif membangunkan tanah terbiar serta menceburkan diri dalam bidang pertanian moden. Kita berharap zon tani ini tidak akan mengalami nasib yang sama dengan lain-lain program yang “kurang berdaya maju”. Jadi perlu wujudnya kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak pelabur (swasta).

Kita tidak mempunyai pilihan, tetapi terpaksa membangunkan sektor pertanian. Sampai bila kita harus bergantung kepada import makanan, yang diramal mencecah RM22 billion tahun ini berbanding RM13 billion tahun lepas.

Malah persaingan sengit akibat pengenalan AFTA (Kawasan Perdagangan Bebas Asia) dan WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) diramal turut mengakibatkan kesukaran produk pertanian menembusi pasaran dunia sekiranya kita tidak kompetitif.

Sektor pertanian negara tidaklah jauh ketinggalan, kerana terdapat beberapa kejayaan petani yang boleh dicontohi antaranya penanam-penanam padi di Sekinchan yang secara puratanya, berupaya menghasilkan 10 tan padi sehektar dan ada di antara mereka yang berupaya menghasilkan sehingga 12 atau 13 tan sehektar dan ini melebihi dan mengatasi purata penghasilan negara iaitu antara 4-5 tan sehektar.

Program Ladang Pertanian Moden di Johor, sebagai projek Pertanian Moden Bersekala Besar yang pertama di Malaysia yang dilancarkan awal tahun lepas perlu dilihat sebagai contoh terbaik setakat ini apabila berjaya menyatukan sebanyak 21 syarikat dengan perbelanjaan hampir satu bilion ringgit dalam pelbagai projek yang mencakupi huluan dan juga hiliran.

Malah beberapa buah negeri seperti Johor telah pun memberi tumpuan kepada sektor ini yang sehingga tahun lepas (2004), telah menambah zon-zon tanaman pengeluaran makanan seluas kira-kira 15,000 ekar, zon ternakan seluas 7,000 ekar dan ternakan ikan akuakultur seluas 25,000 ekar sebagai tambahan kepada kawasan-kawasan yang sedia ada. Kini ramai peserta projek yang berpendapatan bulanan bersih melebihi RM 5,000.

Negeri Sarawak juga telah menunjukkan kesungguhan membangunkan zon pengeluaran makanannya. Sehingga kini, Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Industri Makanan dan Kerajaan Tempatan telah mengenalpasti empat zon makanan tetap iaitu di Samarahan, Sarikei dan Suai serta Bekenu di Miri untuk dibangunkan.

Selain itu, kerajaan Negeri Sarawak juga sedang merangka program khusus untuk membuka kira-kira sejuta hektar ladang sawit, yang turut membabitkan tanah berstatus Hak Milik Adat (NCR) menjelang 2010. Projek mega lain yang sedang dalam perancangan dan akan diberi tumpuan dalam
Rancangan Malaysia ke-9 adalah kegiatan perikanan laut dalam di Tanjung Manis, Mukah dan membangunkan Miri sebagai pusat pendaratan ikan tuna di Malaysia Timur.

Jika bidang pertanian kita diurus secara profesional, kita mampu berjaya seperti negara maju yang lain. Kerajaan sudah memiliki program, bantuan dan
kemudahan, jadi kini terpulang kepada kita semua. Peruntukan yang besar berjumlah RM1.5 billion dalam Bajet 2005 baru-baru ini serta insentif sektor pertanian dalam Bajet 2001 dilanjutkan selama 5 tahun lagi sudah cukup membuktikan kerajaan ingin melihat sektor pertanian ini terus dimajukan.

Hanya dengan pelbagai pendekatan yang menyeluruh sahaja, akan dapat mencapai objektif tersebut. Perdana Menteri pernah berkata, kerajaan akan memberikan “profil baru” kepada sektor pertanian yang menjadi enjin pertumbuhan ketiga penting negara ketika ini.

Satu gerakan bersepadu pelbagai pihak termasuk kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan perlu digerakkan bagi merealisasikan harapan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) untuk tidak lagi mengimport makanan menjelang 2010.

 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998