| |
| Online Publisher: |
 |
| |
| Contents provided by: |
 |
| |
|
|
 |
| Pandangan dari udara Bandar Limbang |
Daerah Limbang terletak di Timur Laut Negeri Sarawak bersempadan
dengan Negara Brunei di Barat, Teluk Brunei di Utara, Daerah Lawas, Sabah/ Kalimantan
di Timur dan Daerah Baram (Bahagian Miri) di Selatan dan di tengah-tengahnya Temburong
(Negara Brunei) Kedudukan Limbang ini memang cukup unik bagi Sarawak dan Brunei
Darussalam.
Penduduk daerah Temburong yang bekerja atau berurusan di Bandar Seri Begawan perlu
melalui daerah Limbang sekiranya menggunakan jalan raya, begitu juga penduduk
Miri perlu melalui jalan raya di kawasan Brunei untuk memasuki Limbang.
Daerah Limbang mempunyai keluasan 3,978 kilometer persegi, termasuk sebuah daerah
kecil iaitu Nanga Medamit. Bandar Limbang yang didiami kira-kira 75,000 penduduk
adalah pusat pentadbiran Bahagian Limbang yang merangkumi daerah Limbang dan Lawas.
Keseluruhannya ia mempunyai penduduk berjumlah 39,741 orang (mengikut banci penduduk
tahun 2000) yang terdiri daripada beberapa etnik utama iaitu Melayu, Iban, Cina,
Lun Bawang, Kedayan dan Bisaya.
Pekerjaan utama penduduknya adalah dalam bidang pertanian, perikanan, penternakan
dan perniagaan.
Limbang bermaksud ‘mimpi hutan’ dalam bahasa Cina Hokkien mengikut terjemahan
dari persuratan Cina. Menurut catatan itu, Limbang adalah kawasan
pedalaman yang dijumpai oleh pedagang dari selatan benua China.
Limbang pernah dikenali sebagai ‘Little town with good progress’ kerana
pembinaan kemudahan yang giat dilakukan seperti jalan raya, bengkel, panggung
wayang dan sebagainya pada 1928.
Bagaimanapun, sebenarnya Limbang bagi masyarakat kita lebih diingati berikutan
rusuhan yang berlaku di Brunei pada 1962 yang membawanya terkenal dari segi politik.
Sejak tahun 1963 Limbang telah menikmati pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosial
yang lebih pesat.
 |
Muzium Limbang banyak menyimpan sejarah
pengwujudan dan pembangunan daerah ini |
Kini, Limbang bukan lagi sebuah pekan yang sunyi dan sepi.
Ia kini sebuah bandar yang sibuk, terutama dengan kegiatan ekonomi dan pelancongan
berikutan kedudukannya yang strategik berdekatan Bandar Seri Begawan dan pulau
bebas cukai, Wilayah Persekutuan Labuan.
Semua ini memberi kesan ke atas sosio ekonomi penduduk tempatan. Malah ramai penduduk
dari negeri ini yang ingin membeli-belah ke Labuan menggunakan Limbang sebagai
pangkalan untuk menaiki bot ekspres ke sana. Ini menjadi salah satu faktor mendorong
Limbang untuk terus ‘melambai’ kedatangan pelawat ke bandarnya. Pembukaan
jambatan berharga RM23.4 juta menyeberangi Sungai Limbang di Batu Danau, kira-kira
33 kilometer dari pusat bandar, juga telah ‘membuka pintu’ kemasukan
secara terus rakyat negara jiran, (Brunei Darussalam), ke bandar ini.
Siapnya pembinaan Jambatan Sungai Limbang yang dirasmikan oleh Ketua Menteri,
Pehin Sri Abdul Taib Mahmud itu juga bermakna lengkaplah projek Lebuh Raya Pan
Borneo dari Kuching di selatan sehingga ke Limbang di utara. Mulai tahun 2000,
bandar Limbang telah bertukar wajah. Bandarnya diperbesar dengan perancangan untuk
mewujudkan bandar baru yang terletak tidak jauh dari bandar sedia ada kini
sedang giat dijalankan. Manakala kawasan pekan di tebing Sungai Limbang pula telah
diindahkan melalui projek pengindahan tebingan sungai agar lebih menarik untuk
tujuan rekreasi dan berehat bagi manfaat penduduknya.
Selain kedudukan, dari segi perhubungan melalui jalinan jalan raya, kerajaan negeri
mengakui bahawa daerah Limbang agak terpisah dari bahagian-bahagian lain di Sarawak
memandangkan belum ada kemudahan jalan raya yang baik bagi menghubungkan bandar
itu selain melalui Brunei. Dengan itu kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk
membina kemudahan rangkaian jalan raya menghubungkan terus Limbang dengan daerah
lain di Sarawak terus ke Sabah.
 |
| Peta pentadbiran Daerah Limbang |
Selain itu, kini kerajaan membina lapangan terbang baru yang
lebih besar bagi Limbang yang membolehkan pendaratan pesawat lebih besar seperti
Fokker F50. Tambahan pula lapangan terbang yang ada kini terletak berhampiran
jalan utama di bandar itu dan sebuah perkampungan Melayu kira-kira 150 meter di
hujung landasannya selain laluan udaranya dihadang bukit dengan itu Limbang memerlukan
sebuah lapangan terbang baru yang lebih besar dan lebih‘selamat’. Lapangan
terbang Limbang sedia ada yang sudah beroperasi sejak 1965 itu hanya landasan
sepanjang 579 meter sahaja dan ia cuma berupaya menerima pendaratan pesawat kecil
jenis Twin Otter.
Daerah : Limbang
Keluasan Daerah : 3,976.60 km persegi
Daerah Kecil : Nanga Medamit (1,070 km persegi)
Bilangan Penduduk : 40,844 orang, antaranya terdiri daripada;
- Melayu (12,041orang)
- Iban (9,817orang)
- Cina (8,455 orang)
- Bisaya (6,553 orang)
- Lun Bawang (2,152 orang)
- Kelabit (412 orang)
- Penan (280 orang)
Kawasan Parlimen : P.219 Bukit Mas
- Ahli Parlimen; YB Henry Sum Agong
Kawasan Dewan Undangan Negeri : N.60 Limbang
- ADUN; YB Richard Wong Shoon Foo
N.62 Ba’kalalan
- ADUN; YB Dr Judson Sakai Tagal
 |
 |
| Lapangan Terbang (Lama) Limbang |
Taman Tasik Bukit Emas adalah tempat riadah
sekeluarga bagi kebanyakan warga Limbang |
|
|
|