|
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin
mengucapkan syabas serta mengakui bahawa perkhidmatan awam memainkan peranan yang
penting dalam usaha membangunkan negeri ini.
 |
| Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri mempunyai tugas berat dalam
pembangunan negeri |
Menurut beliau, tidak dapat dinafikan bahawa perkhidmatan awam
memainkan peranan yang penting dalam usaha membangunkan negeri ini, dengan itu
keupayaan dan kecekapan anggota perkhid-matan awam dalam melaksanakan dasar dan
strategi pembangunan hendaklah sentiasa mencerminkan tahap profesionalisma dan
integriti yang tinggi.
“Syabas saya ucapkan ke atas inisiatif yang telah diusahakan dan semoga mutu
serta etika kerja yang cemerlang ini akan terus dipertingkatkan. Menjelang abad
baru ini di mana peranan dan cabaran yang dihadapi oleh perkhidmatan awam semakin
bertambah, adalah perlu juga bagi Perkhidmatan awam menjalani perubahan yang sesuai
selaras dengan kehendak semasa.”
“Oleh itu Kerajaan sekarang ini terus mempertingkatkan sistem, latihan dan
susunan yang lebih sesuai bagi beberapa jabatan yang perlu diperkembangkan dan
agensi untuk mengawal bajet dan etika. Jemaah Menteri telah menubuhkan, ‘Good
Governance Committee’ untuk menyelia usaha ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di pembukaan persidangan pertama bagi penggal
kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak yang kelima belas di Petra Jaya, Kuching April
lalu.
Infrastruktur
Beliau turut mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Kerajaan yang telah
berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan infrastruktur di negeri ini.
Katanya, pembangunan infrastruktur seperti rangkaian jalan raya, perkhidmatan
pengangkutan air dan udara memainkan peranan yang penting dalam menjana pertumbuhan
ekonomi dan pembangunan masyarakat, sekaligus merapatkan jurang perbezaan sosio-ekonomi
di antara penduduk bandar dan luar bandar.
Beliau juga menghargai keprihatinan Kerajaan dalam usaha membekalkan kemudahan
asas seperti elektrik, air yang dirawat dan kemudahan telefon kepada rakyat
di seluruh negeri ini.
“Saya percaya dengan pelaksanaan projek-projek pembangunan infrastruktur
dan prasarana yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) adalah
dengan niat untuk melihat setiap lapisan masyarakat di Sarawak menikmati kemudahan
asas dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)
Selain itu, beliau juga menyeru rakyat negeri ini untuk menyokong usaha Kerajaan
Negeri untuk membangun kemudahan Teknologi Mak-lumat dan Komunikasi (ICT) sebagai
pemangkin utama dalam pembangunan k-ekonomi ke arah penyediaan tenaga kerja
mahir dan cekap.
Katanya, dalam zaman yang berlandaskan teknologi dan ilmu, Sarawak tidak boleh
bergantung kepada kekuatan ekonomi yang sedia ada.
Kekayaan sumber asli dan ekonomi berasaskan pengeluaran tidak
lagi memberi kelebihan kepada mana-mana negeri atau negara.
“Apa yang jelas ialah ekonomi baru atau knowledge economy akan lebih bergantung
kepada kemajuan dan penguasaan ilmu pengetahuan yang luas.
“Justeru itu, dalam meniti era globalisasi, kita harus meningkatkan produktiviti
dan daya saing melalui applikasi ilmu, kemahiran dan penggunaan teknologi terkini.
Kita harus melengkapkan pekerja kita dengan pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi
bagi menjamin keupayaan kita untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Urbanisasi
Menurut beliau, Negeri Sarawak kini sedang mengalami proses urbanisasi yang
pesat di mana hampir 50 peratus daripada penduduknya tinggal kawasan bandar.
Selari dengan proses urbanisasi yang pesat ini, aspek kualiti hidup khususnya
di kawasan bandar tidak harus dipandang ringan.
“Amalan pembuangan sampah sarap yang tidak teratur bukan hanya menimbulkan
masalah kesihatan tetapi juga mencemarkan keindahan persekitaran. Kerajaan Negeri
telah mengambil pelbagai initiatif bagi mewujudkan persekitaran hidup yang bersih
dan sihat.”
“Oleh itu penduduk di bandar yang menikmati kemudahan ini sepatutnya membantu
membayar kos tersebut dibawah ‘user pay principle’ atau prinsip ‘pengguna
bertanggungjawab membayar perkhidmatan yang diterima mereka,” tegasnya.
Perumahan
Memandangkan pentingnya perumahan untuk rakyat berpandapatan rendah, Kerajaan
melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan telah membina rumah kos rendah di semua
bandar besar di Sarawak untuk mengurangkan masalah sosial akibat dari penghijrahan
pekerja-pekerja dari luar bandar.
Katanya, Kerajaan telah memberi jaminan bahawa seorang yang berkelayakan boleh
mendapat dan mendiami rumah kos rendah dengan membayar wang pendahuluan hanya
sebanyak RM500.
“Selain itu banyak rumah pangsa telah dibina untuk disewa dengan kadar
yang murah bagi mereka yang belum berkelayakan. Oleh sebab itu tidak ada sebabnya
bagi setinggan baru dibiarkan berselerak di bandar-bandar,” jelasnya.
Tanggungjawab
“Seperti yang saya tekankan, pembangunan adalah tanggung-jawab bersama
yang melibatkan penyertaan semua pihak. Dalam hal ini peranan sektor swasta
memang tidak dapat dinafikan kepentingan-nya. Mereka seharusnya sudah bersedia
untuk memainkan peranan yang lebih besar dan dinamik dalam usaha membangunkan
negeri ini.”
“Saya pasti Kerajaan akan terus meningkatkan mutu infrastruktur dan mewujudkan
persekitaran yang kondusif bagi aktiviti sektor swasta khusunya dalam bidang
perindusrian dan perniagaan,” tambahnya.
Beliau juga menegaskan bahawa, “Secara bersendirian tidak banyak yang mampu
kita lakukan tetapi secara berpasukan banyak yang boleh kita capai dan usahakan.
Inilah semangat yang harus kita semai demi masa depan negeri ini.”
|