|
Pengalaman Seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik
Dato Azman Abdul Rashid, Setiausaha Persekutuan Sarawak
YBhg. Dato Azman Abdul Rashid, Setiausaha Persekutuan Sarawak
 |
Benarlah kata pepatah yang mengatakan bahawa, Jauh berjalan luas pandangan. Dengan itu semua insan yang melalui pelbagai liku kehidupan di dunia ini haruslah dengan redha menerima apa jua cabaran, suka duka kehidupan sebagai satu perjalanan yang perlu dilalui bagi mematangkan diri.
Setiap yang berlaku pastinya mempunyai sebab serta hikmah disebaliknya, baik sebagai pengajaran, peringatan atau untuk menyedarkan kita. Kita dengan itu harus bijak menyimpannya sebagai satu pengalaman yang berharga untuk menghadapi segala bentuk cabaran di hari yang mendatang.
Itulah kesimpulan yang mampu ditafsirkan selepas sesi temubual RAKAN Sarawak lebih sejam dengan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Azman bin Abdul Rashid.
Memetik kata-kata beliau, Pengalaman itu mematangkan kita, baik dari segi kebijaksanaan atau kearifan (wisdom) bagi membolehkan kita membuat keputusan dengan cepat dan tepat, membantu mengasah kemahiran berkomunikasi sesama insan (interpersonal) dan kematangan itu memungkinkan kita bertugas di mana sahaja dalam apa jua keadaan, baik dalam krisis atau sebaliknya.
Segala sesuatu yang berlaku memberi kita pengalaman amat luas dari semua segi, baik secara vertikal atau horizontal, kata Dato Azman sambil tersenyum senang, mungkin mengenangkan harijadi ke-53 yang bakal disambutnya pada Jun ini.
Anak kepada seorang kerani pos ini lahir di Tanjung Rambutan, Perak pada 22 Jun 1948. Mendapat pendidikan awal sekolah aliran Melayu dari tahun 1954 hingga 1956 sebelum meneruskannya ke sekolah aliran Inggeris di Tapah, Perak (1956-1959).
Seterusnya beliau menyambung pendidikannya ke Sekolah Menengah Sultan Yusuf di Batu Gajah, Perak hingga ke Tingkatan Tiga (1959-1963). Kemudian beliau melanjutkan pelajarannya ke Maktab Tentera DiRaja, Sungai Besi, sehingga ke Tingkatan Enam (1964-1968), sebelum meneruskan pengajiannya ke Universiti Malaya (UM) pada 1969.
Dato Azman memulakan kerjayanya dalam sektor perkhidmatan awam negara seawal tahun 1972, bertugas di Bahagian Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, sebalik sahaja menamatkan pengajian di UM dengan memperolehi Ijazah (dengan kepujian) dalam bidang ekonomi pada tahun yang sama.
Masa itu Perdana Menteri Malaysia, ialah Allahyarham Tun Razak. Saya sebagai pegawai muda banyak diberi pendedahan, terutamanya bila diberi peluang terbabit secara langsung dalam Majlis Tindakan Negara (MTN).
MTN berperanan sebagai pemantau kepada semua projek yang dilaksanakan di semua jabatan pada masa itu. Ini adalah pengalaman yang sungguh berharga dan penting.
Manakala ketika saya di universiti pula pengalaman menghadapi tragedi Rusuhan Kaum pada 13 Mei 1969, amat tidak ternilai pentingnya. Ia sentiasa mengingatkan kita untuk saling menghormati serta bersatu padu di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, katanya dengan mimik wajah yang seolah-seolah cuba mengingat dengan teliti peristiwa hitam itu.
Selepas bertugas kira-kira tujuh tahun di Jabatan Perdana Menteri, pada 1978 beliau ditukarkan ke Kementerian Pertanian sebagai Ketua Penolong Pengarah, yang bertanggungjawab terhadap soal berkaitan polisi kementerian berkenaan.
Pada 1981, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (master) di Belgium bagi memantapkan lagi ilmu pengetahuan untuk terus menyumbangkan jasa dan bakti terhadap kemajuan negara serta masyarakat keseluruhannya.
Beliau menyambung pengajiannya dalam bidang Pembangunan Pertanian selama tiga tahun itu adalah di bawah program pengajian tajaan kerajaan Belgium.
Sekembali dari Belgium, beliau dihantar bertugas ke Melaka sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga bertanggungjawab sebagai Pengarah Unit Perancang Negeri Melaka.
YBhg. Dato Azman turut meluangkan masa melawat sekolah dalam rangka lawatan beliau
 |
Kalau sebelum ini saya terbabit dalam soal polisi, di sini saya kena belajar merancang pula. Bagi Melaka kita melihat kesan peninggalan sejarahnya sebagai satu bentuk kekuatan yang boleh ditonjolkan. Kami merancang supaya Melaka dijadikan sebagai sebuah bandar pelancongan negara ini. Dengan itu lahirlah, Melaka Bandaraya Bersejarah, jelas beliau lagi.
Selepas tiga tahun berkhidmat di Melaka beliau dipanggil bertugas sebagai Pegawai Daerah di Kuantan. Menurut beliau ini adalah bahagian yang paling menarik dalam sejarah perkembangan kerjayanya.
Ini kerana sebagai Pegawai Daerah, saya banyak terbabit secara langsung dengan orang ramai dan juga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Pada masa ini setiap hari kita sibuk dengan pelbagai kegiatan sosial, yang mana amat penting bagi membolehkan kita belajar, memahami serta mengetahui lebih dekat lagi masyarakat di situ. Soal kelainan budaya dan adat resam mereka.
Banyak perkara saya pelajari khususnya berkaitan ilmu kemanusiaan, ia membantu kita membuat pertim-bangan yang lebih praktikal dengan mengambilkira semua aspek. Dan ini membantu kita membuat keputusan dengan lebih cepat serta tepat. Kemampuan ini penting kerana ia membolehkan kita menangani sebarang krisis, tegasnya.
Pada tahun 1992, beliau dilantik sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka, Pahang. Tugas beliau ialah untuk membangunkan sebuah bandar di Jengka, yang dikelilingi oleh ladang kelapa sawit. Semasa menyadang jawatan ini, beliau telah diberi peluang menimba pengalaman di sektor swasta selama 3 bulan di bawah hadiah Latihan Persekutuan bertempat di INTAN Bukit Kiara dan Netherlands.
Cabaran utama di sini jelas beliau ialah dalam usaha mengenalpasti kemudahan yang perlu diadakan. Bandar berkenaan kini dikenali sebagai Bandar Pusat Jengka.
YBhg. Dato Azman meluangkan masa berbual mesra dengan kakitangan persekutuan ketika lawatan beliau ke daerah
 |
Kemudian beliau ditukarkan untuk bertugas semula di Kuantan, sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, yang bertanggungjawab sebagai Pengarah Unit Perancang Negeri Pahang untuk selama tujuh bulan sahaja.
Seterusnya, beliau dihantar bertugas ke Kelantan, sebagai Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan pada 1997.
Di sini amat menarik, katanya sambil tersenyum. Di sini, sebagai kakitangan awam kita belajar serta berusaha meneruskan niat murni kerajaan secara amnya, iaitu menyalurkan pembangunan kepada rakyat keseluruhannya. Tetapi di sini konteksnya berlainan kerana Kerajaan Negeri diperintah oleh pembangkang sedangkan Kerajaan Persekutuan pula diperintah oleh Barisan Nasional (BN).
Pada masa inilah kita sebagai kakitangan awam harus mengamalkan sikap profesionalisme kita bagi membolehkan pembangunan sentiasa terus dilaksanakan. Memastikan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan pusat disalurkan dan digunakan secara optimum.
Paling penting kita perlu ingat bahawa sebagai kakitangan awam kita perlu melaksanakan polisi parti yang memerintah ketika itu. Kita harus tahu siapa boss kita.
Kita sebagai kakitangan awam sememangnya kena peka terhadap perkembangan semasa politik, baik negeri atau nasional, tetapi jangan membabitkan diri dalam politik, ujar Dato Azman dengan nada yang tegas.
Sehingga 1999, selepas berkhidmat di Kelantan beliau dihantar untuk meneruskan misi kerajaan pusat di Sarawak, sebagai Setiausaha Persekutuan.
Saya gembira bertugas di sini. Pada saya Sarawak adalah sebuah negeri yang permai dan makmur dan saya yakin negeri ini akan bergerak ke arah satu masa depan yang cerah.
Saya sudah menjelajah hampir ke semua bahagian dan daerah. Pembangunan serta perkembangan yang saya nampak dengan jelas, memberikan kita gambaran sebenar, bahawa Kerajaan Negeri berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai bentuk pembangunan untuk rakyatnya, baik dari segi peningkatan tahap sosio ekonomi mahupun keperluan asas lain, jelasnya dengan penuh yakin.
Jasa dan bakti beliau tidak dilupai. Beliau telah dianugerah dengan Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang: Bintang Khidmat Terpuji (BKT) 1984, Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) 1990, Kesatria Mangku Negara (KMN) 1992, Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) 1993, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) 1997 dan Johan Setia Mahkota (JSM) 2000.
|