Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 

Nilai dan Keperibadian
Seorang Kakitangan Awam

Setiap di kalangan kita dijadikan tidak serupa – tidak sama dari aspek pemikiran, tanggapan, pendapat, perbuatan, percakapan dan lain-lain lagi. Namun kita dikehendaki untuk hidup bermasyarakat, bergaul antara satu sama lain, saling kenal mengenali sesama kita, saling berbuat baik antara kita dan diminta untuk memakmurkan dunia ini dengan segala macam perbuatan yang baik.

Untuk itu kita dikehendaki untuk mengamalkan nilai-nilai seperti hormat menghormati; bertimbang rasa; rajin; jujur; beramanah dan lain-lain lagi nilai-nilai murni yang ada dalam masyarakat dan agama kita. Membudayakan dan mengamalkan nilai-nilai murni ini sebenarnya memberi kesan besar kepada kehidupan kita. Mengapa? Ini kerana seseorang individu yang membudayakan dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupannya akan menjadikan keperibadiannya utuh. Memiliki keperibadian yang utuh mencerminkan bahawa seseorang itu matang serta sihat akal fikiran, stabil dari segi emosi serta sihat dari segi fizikal. Ia juga akan menjadikan harga diri atau maruah seseorang itu tinggi dan dipandang mulia.

Memiliki ciri-ciri ini akan menjadikan seseorang itu mudah dipercayai, diyakini boleh membantu serta berupaya membuka jalan untuk menyelesaikan permasalahan yang wujud. Bagi kita anggota penjawat awam, adalah penting kita membudayakan nilai-nilai murni dalam kehidupan kita bukan sahaja
ketika melaksanakan tugas malah dalam kehidupan seharian kita. Ini penting kerana kita diamanahkan untuk merancang serta melaksanakan program atau projek pembangunan untuk msayarakat. Bukan setakat itu sahaja, kita juga dipertanggungjawabkan untuk mengurus segala sumber negeri dan negara sama ada dalam bentuk wang ringgit atau sumber-sumber asli.

Sebagai anggota penjawat awam, kita bukan sahaja harus berbangga di atas pemilihan kita sebagai mereka yang terpilih untuk menyertai organisasi yang sungguh besar dan hebat ini untuk berbakti kepada masyarakat malah sebenarnya kita harus berterima kasih kepada masyarakat kerana memberikan kepercayaan kepada kita untuk merancang dan seterusnya melaksanakan program-program dan juga projek-projek pembangunan bagi manfaat semua pihak.

Oleh kerana kita adalah orang yang terpilih maka kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan selain berkhidmat untuk masyarakat. Berperanan dan menjalankan tugas agar masyarakat dapat menikmati kemajuan sama ada secara jasmani atau rohaninya dan juga menjalankan segala aktiviti kehidupan mereka dengan rasa aman serta selesa.

Sebagai orang pilihan, masyarakat akan sentiasa memandang tinggi, hormat serta akan mengharapkan kita membantu mereka memudahkan urusan mereka. Bukan setakat itu sahaja, mereka akan menjadikan kita sebagai contoh dan juga sumber rujukan mereka. Oleh yang demikian adalah amat wajar bagi kita memiliki keperibadian yang utuh bagi mengelakkan kepercayaan masyarakat terhadap kita luntur. Ini kerana apabila masyarakat sudah tidak mempercayai kita lagi, maka besar kemungkinan kita tidak lagi relevan dan apabila kita sudah tidak lagi relevan, maka lambat laun akan berlakunya kepincangan dan kekacauan dalam pentadbiran negeri dan negara kita.

Pada ketika itu, semua pihak akan kerugian dan pada itu juga kita (anggota perkhidmatan awam) akan dipersalahkan kerana menjadi punca segala kepincangan dan kekacauan itu. Sudah pasti kita tidak mahu keadaan ini berlaku. Oleh yang demikian, bagi setiap anggota perkhidmatan awam, sebaik sahaja diterima masuk menjadi sebagai salah seorang anggota ‘keluarga’ perkhidmatan awam, kita harus bersifat dan bersikap sebagai orang pilihan iaitu bersifat dengan sifat-sifat serta sikap yang terpuji. Segala tabiat, sifat atau sikap yang tidak baik sama ada pada pandangan orang lain ataupun pada tanggapan diri kita sendiri harus dikikis dan dibuang terus. Kita harus menjadi insan baru yang hanya bersifat dan bersikap berdasarkan nilai murni. Dalam lain perkataan, kita harus berkeperibadian utuh. Mungkin ada yang menyatakan bahawa adalah sukar sekali kita hendak menukar sifat dan sikap – bukankah kita selama ini telah bersifat dan bersikap dengan sifat dan sikap yang ada ini? Mungkin benar dan jika itulah alasannya, maka mereka ini tidak layak berada dalam perkhidmatan awam – kerana mereka ini umpama seekor kerbau membawa lumpur, terpalit semua kita akibatnya. Kita tidak mahu panas setahun terhapus kerana hujan sehari.

Walau apapun alasannya, kita mesti menukar dan merubahkan sifat dan sikap kita menjadi insan yang berkeperibadian utuh – kita tidak mempunyai pilihan kerana kita adalah orang pilihan yang pilihannya hanya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dengan ikhlas, dedikasi dan beramanah.

 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998