Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
DAERAH SARATOK

Pejabat Daerah Saratok
Daerah Saratok merupakan salah satu daripada dua daerah yang terdapat dalam kawasan pentadbiran Bahagian Betong. Sebuah lagi ialah Daerah Betong.

Saratok mempunyai tiga Daerah Kecil, dikenali sebagai Kabong, Roban dan Budu. Kabong mempunyai keluasan kira-kira 373.14 km persegi, Roban (373.14 km persegi) dan Budu (290.01 km persegi).

Asal Usul Nama Saratok

Sehingga kini, asal usul nama Saratok tidak dapat dipastikan. Namun, terdapat beberapa versi mengenai kewujudannya. Di dalam buku ‘Legends & History of Sarawak’ yang ditulis oleh Chang Pat Poh, ia dikaitkan dengan seorang Melayu tua yang bergelar ‘Dato’ dan temannya yang ingin mengunjungi sanak saudaranya yang berada di kawasan Saratok suatu ketika dahulu. Disebabkan usia yang tua, beliau sering berjalan menuju ke arah yang salah.

Temannya itu selalu mengingatkan beliau dengan berkata ‘Salah Tok’. Akhirnya ia dituturkan secara perlahan sebagai ‘Saratok’ hingga ke hari ini.

Cerita lisan masyarakat pula mempercayai ia berpunca daripada pokok ‘Salak’. Pada masa dahulu, terdapat banyak pokok salak di kawasan Pekan Saratok. Pengunjung ke situ sering mengatakan ‘Salak Tu’; yang bermaksud ‘Ini adalah pokok Salak’. Secara perlahan juga, ia dituturkan sebagai ‘Saratok’.

Manakala di dalam buku ‘The Living Legends: Borneo Telling Their Tales’ yang dikarang oleh Benedict Sandin, kewujudan nama ‘Saratok’ dipercayai berpunca daripada kumpulan Seru yang diketuai oleh pahlawan bernama ‘Segatok’ yang melarikan diri daripada serangan orang Iban ke sebuah ‘Munggu’ (Bukit). ‘Munggu’ ini dinamakan sebagai ‘Munggu Segatok’ sempena nama ketua kumpulan Seru tersebut.

Pejabat Daerah Saratok pada masa ini terletak di atas ‘Munggu’ itu. Lama-kelamaan perkataan ‘Segatok’ ini dituturkan sebagai ‘Saratok’.

Populasi Daerah

Daerah Saratok telah lama bergerak bersama-sama tempo pembangunan negeri terutamanya setelah pelbagai program pembangunan tanah dibawa ke sini yang secara tidak langsung meningkatkan populasi penduduknya. Pada tahun 1871, jumlah penduduk di sini ialah kira-kira 9,530 orang. Ketika itu, majoriti penduduknya adalah kaum Iban iaitu seramai 6,741 orang dan Melayu kira-kira 2,724 orang. Selebihnya ialah Cina dengan 62 orang dan India seramai 3 orang. Aktiviti utama penduduk di daerah ini ketika itu ialah menanam padi, menangkap ikan, memproses rumbia dan menoreh getah.

Kini populasinya telah meningkat kepada kira-kira 43,035 orang daripada keseluruhan populasi Bahagian Betong yang berjumlah sekitar 94,461 orang.

Daripada jumlah itu, kira-kira 22,103 orang adalah daripada kaum Iban, 17,641 orang adalah daripada kaum Melayu, 2892 orang kaum Cina, 134 orang kaum Melanau, 67 orang kaum Bidayuh, 59 lain-lain Bumiputera, 96 rakyat asing dan 43 lain-lain.

Pentadbiran Saratok

Peta pentadbiran Daerah Saratok

Pada tahun 1878, seorang kakitangan Kerajaan Brooke yang bernama Maxwell telah dipertanggungjawab untuk membina ‘Fort Charles’ sebagai tempat pentadbiran dan mengumpul cukai daripada penduduk setempat. Ia dibina semula pada tahun 1895 setelah runtuh akibat hakisan tanah dalam kejadian pada tahun 1893.

Pada tahun 1888 iaitu sepuluh tahun selepas pembinaan ‘Fort Charles’ Kerajaan Brooke telah membina sebuah lagi bangunan sementara yang diperbuat daripada bumbung atap dan kayu belian yang dikenali sebagai ‘Fort Ranee’ di Saratok. Ia telah diubahsuai beberapa kali dan sehingga kini telah digunakan sebagai bangunan Pejabat Daerah Saratok.

Encik Henry Ginjom Lajim merupakan Pegawai Daerah Saratok ketika ini. Beliau dibantu oleh seramai 24 orang kakitangan. Pejabat Daerah Kecil Kabong pula ditadbir oleh Pegawai Tadbir Encik Mansor B. Borhan, sementara Puan Joyce Boanerges pula di Pejabat Daerah Kecil Roban. Daerah Kecil Budu pada ketika ini belum mempunyai Pegawai Tadbir sendiri.

Penduduk di sini juga sungguh bertuah kerana mempunyai seorang pemimpin rakyat yang berdedikasi, YB Datuk Sri Peter Tinggom ak Kamarau. Beliau merupakan Ahli Parlimen di kawasan P.179 Saratok yang telah banyak membawa perubahan baik daripada segi fizikal mahupun sosioekonomi ke kawasan ini.

Setakat ini, Daerah Saratok mempunyai tiga orang Pemanca, 16 Penghulu dan 311 Ketua Kaum. Peranan mereka dalam membantu program pembangunan kerajaan memang tidak dinafikan. Sebagai orang yang menjadi mata dan telinga kerajaan, mereka sentiasa melakukan yang terbaik untuk masyarakat yang dipimpin.

Projek tanaman nanas di bawah IADP Kalaka-Saribas membuka peluang ekonomi kepada pengusaha tanah

Kegiatan Ekonomi

Aktiviti ekonomi mula bertapak apabila beberapa deret kedai yang diperbuat daripada kayu di tebing sungai Krian telah dibina oleh orang Hokkien (Cina) pada awal abad ke 20. Sekitar tahun 1888 orang Iban telah menduduki kawasan sepanjang Sungai Krian, Sungai Seblak dan Sungai Sebetan. Orang Melayu pula kebanyakannya terdapat di Kabong dan Sessang, manakala orang Cina di Pekan Saratok, Roban dan Kabong.

Aktiviti utama penduduk adalah bertanam padi, menangkap ikan dan menanam rumbia. Dalam tahun 1900-an, tanaman getah mula dibawa masuk ke Daerah Saribas dan berkembang ke Sungai Krian.

Sehingga ke hari ini, hampir keseluruhan penduduk di Saratok dan Roban terlibat dengan kegiatan pertanian. Sementara itu, di Daerah Kecil Kabong pula, penduduknya ramai terlibat dengan kegiatan penangkapan ikan dan bertani.

Penduduk di Daerah Saratok banyak bergantung kepada kegiatan pertanian sebagai sumber ekonomi. Sebab itu, Daerah Saratok terkenal dengan ladang-ladang dan kebun-kebun kelapa sawit, selain daripada tanaman seperti lada, kelapa, koko, sago/rumbia, padi dan getah.

Kelapa sawit diakui telah membawa sumbangan yang besar kepada pembangunan serta peningkatan taraf kehidupan penduduk sekitar Daerah Saratok.

Kilang Kelapa Sawit Saratok yang mula beroperasi pada tahun 1995 mampu memproses lebih 60 tan metrik buah tandan basah dalam masa sejam.

Kilang yang beroperasi atas usahasama SALCRA dan Perlis Plantation Berhad ini menjual minyak sawit mentah kepada Bintulu Edible Oil di Bintulu.

Setakat tahun 2002, kira-kira 2,810 hektar tanah ditanam dengan padi. Sementara tanaman sago pula melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,493 hektar.
Kegiatan penternakan ikan juga penting di sini. Terdapat 105 buah kolam dengan jumlah keluasan 9.65 hektar yang digunakan untuk tujuan pembiakan ikan dalam sangkar dengan jangkaan pengeluaran tahunan kira-kira 47,285 metrik tan sehektar.

Sementara itu, sebanyak 79 buah kolam untuk pembiakan udang kecil pula melibatkan jumlah kawasan kira-kira 38.37 hektar dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 345.33 metrik tan sehektar.

Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) yang melibatkan beberapa komponen seperti pengairan, jalan, tanaman dan infrastruktur lain juga dijangka akan memberi peluang ekonomi yang lebih baik kepada penduduk sekitar Daerah Saratok dalam tempoh jangka masa panjang.

Pekan Saratok pesat membangun dengan kegiatan perniagaan sehingga memerlukan lebih banyak lot kedai baru dibina

RGC Beladin yang telah diberi peruntukan RM16.1 juta dan RGC Ng. Spak/Mid Layar pula dengan peruntukan sebanyak RM47 juta dalam RMK8 untuk pelaksanaan pelbagai program pembangunan di kawasan ini. Pastinya apabila berjalan sepenuhnya kelak akan memberi peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang baik kepada masyarakat di sini.

Kemudahan Awam

Usaha kerajaan menyediakan kemudahan asas yang sempurna termasuklah bekalan air kepada masyarakat di sini telah membolehkan mereka menerima bekalan air bersih. Setakat ini Loji Perawatan Air di Saratok mampu mengeluarkan 2.29 MLD (juta liter sehari), Loji Perawatan Air Roban dengan kapasiti pengeluaran 0.99 MLD dan Loji Perawatan Air Kabong dengan kapasiti 0.67 MLD.

Lantaran penggunaan yang kian meningkat, projek bekalan air utama iaitu Bekalan Air Wilayah Saratok yang melibatkan peruntukan kira-kira RM25 juta telah dirancangkan.

Prasarana pendidikan yang menjadi tunjang pembangunan mapan tidak dipandang ringan. Sehingga awal tahun 2000, Saratok telah pun mempunyai 52 buah sekolah rendah dan empat buah sekolah menengah. Sebuah sekolah menengah terletak di Roban dan sebuah lagi terletak di Kabong Dari semasa ke semasa, pembangunan pendidikan akan terus dilaksanakan bagi membolehkan kemudahan pendidikan yang lebih baik dapat disediakan.

Daripada segi kemudahan kesihatan pula, setakat tahun 2000 daerah ini mempunyai sebuah hospital dengan 100 buah katil, 2 buah Klinik Desa, 6 buah Klinik Kesihatan, sebuah Klinik Desa/MCH (Klinik Kesihatan Ibu dan Anak), 4 buah Klinik Bergerak, sebuah Klinik Pergigian Awam dan 4 buah Klinik Pergigian Sekolah.

Bekalan Elektrik

Penggunaan tenaga elektrik untuk Daerah Saratok, termasuk di Kabong dan Roban menunjukkan peningkatan sejak tahun 1990 berikutan meningkatnya keperluan domestik dan kegiatan ekonomi yang lain.

Pada tahun 1990, penggunaannya ialah kira-kira 3,199 megawat sejam. Ia kemudiannya naik kepada 6,561 megawat sejam pada tahun 1995 dan kepada 10,036 megawat sejam pada tahun 2000. Menjelang tahun 2005, penggunaannya dijangkakan pada tahap 14,807 megawat sejam.

Pembangunan

Bagaimana agaknya Pekan Saratok boleh berkembang sehingga kepada keadaan sedia ada? Fakta sejarah menjelaskan bahawa orang Cina (Hokkien) pada awal abad ke 20 telah membina beberapa deret kedai yang diperbuat daripada kayu di tebing Sungai Krian. Namun, dalam bulan Jun 1970, Pekan Saratok telah terbakar. Separuh daripada 56 unit kedai kayu di situ telah musnah.

Kemudiannya, pada 10 Mei 1972 buat pertama kalinya kedai konkrit telah dibina. Seterusnya pada Oktober 1973, 61 unit kedai konkrit telah dibina di atas tapak pekan yang lama. Dalam tahun 1981, 10 unit kedai, sebuah Masjid Daerah baru yang menelan kos kira-kira RM316 ribu dan sebuah Kuil Cina siap dibina.

Gereja St. Peter yang dibina sekitar tahun 1930-an pula telah digantikan dengan gereja konkrit pada tahun 1969. Sementara itu, tapak lama Pekan Saratok di Jalan Ong Ho San telah digunakan untuk membina Sekolah Rendah Min Syn, Dewan Masyarakat, Pasar Sayur dan Stesen Bas Saratok yang baru.

Di samping itu, terdapat tiga buah bank dan sebelas hotel bertaraf sederhana di pekan Saratok. Berdasarkan kajian yang dibuat di dalam bulan Februari 1999, Pekan Saratok telah pun mempunyai 121 unit kedai.

Tahun lalu (2002), Daerah Saratok mendapat 8 buah Projek Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan berjumlah RM 11,244,000.00.

Sementara itu, 30 buah Projek Kerajaan Negeri sepanjang tahun 2002 pula telah diberikan peruntukan berjumlah RM 23,223,000.00.

Kemudahan perpustakaan awam ditingkatkan bagi memberi kemudahan yang lebih baik kepada masyarakat

Pelancongan

Daerah Saratok dikatakan mempunyai dua tempat bersejarah. Satu ialah telaga lama yang dikenali sebagai Telaga Mok Haji Kiah yang terletak di taman di bawah bukit yang terletaknya Pejabat Daerah Saratok. Dikatakan telaga ini tidak pernah kering sungguhpun musim kemarau panjang. Sebuah lagi ialah rumah panjang Te-menggong Tandok di kawasan tengah Sungai Krian.

Sejauh 58 kilometer dari Saratok pula terdapatnya Pantai Tanjung Kembang, Kabong yang menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah. Kemudahan penginapan juga disediakan dengan tujuh unit chalet dengan kadar sewa antara RM40 dan RM60 semalam.

Seiring dengan pelancaran Bahagian Betong sebagai bahagian kesebelas di Sarawak, sudah tentu Daerah Saratok akan berubah wajah dalam sedikit masa lagi. Namun, semua ini tidak akan berlaku sekelip mata tanpa usaha bersungguh-sungguh kakitangan awam, sektor swasta dan tidak dilupai juga penduduk tempatan yang pastinya sentiasa bersatu hati menyokong perubahan yang diilhamkan oleh kerajaan.






 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998