|
Bahagian Kuching
Peneraju Warisan Pembangunan
 |
|
Usaha mewujudkan laluan dua lorong bagi Jalan Kuching-Serian antara
projek untuk meningkatkan kemudahan insfrastruktur di Bahagian Kuching
|
Sejauh manakah anda mengenali Bahagian Kuching? Tahukah anda bahawa pada masa
lampau nama 'Sarawak' adalah merujuk kepada 'Kuching' kini. Dan Bahagian Kuching
adalah antara Bahagian yang banyak menyimpan khazanah tinggalan sejarah bagi
Negeri Sarawak.
Namun walau apapun cerita lampaunya, Bahagian Kuching kini telah membangun dengan
pantas sejajar dengan kehendak zaman. Dan dalam usaha membangunkannya aspek
keunikan itu tetap dipertahankan supaya tidak terusik oleh arus pembangunan
untuk tatapan generasi akan datang.
 |
|
Perlumbaan Motorcross yang berlangsung setiap tahun di Krokong banyak
membantu usaha memajukan sektor pelancongan di sini
|
'Lain hulu lain parang, lain dulu lain pula sekarang' itulah ungkapan yang
sesuai untuk diucapkan berkaitan pembangunan Bahagian Kuching. Kini wajah keseluruhan
Bahagian ini telah mengecapi perubahan melalui kepesatan pembangunan yang dilaksanakan.
Bahagian Kuching telah membangun dari pelbagai aspek, baik dari segi pentadbiran,
ekonomi dan sosial, namun peranannya sebagai sebuah Bahagian yang menjadi pintu
masuk utama di kawasan selatan Negeri Sarawak masih kekal.
Kalau dulu semasa zaman Brooke, Kuching (Sarawak ketika itu) adalah pusat perdagangan
dan pintu masuk utama ke negeri ini. Ketika itu, pedagang yang belayar dari
Indonesia dan China menjadikan Gunung Gading dan Gunung Santubong sebagai panduan
untuk datang ke Kuching.
Kini tidak lagi, sebaliknya sebut saja Kuching mereka tahu di mana letaknya,
manakala Gunung Gading dan Gunung Santubong hanya lagenda, sebaliknya mereka
akan terus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), yang terletak
kira-kira 15 hingga 20 minit perjalanan dari pusat bandar.
 |
|
Gua Pari-Pari (Fairy Cave) di Bau adalah antara gua batu kapur yang
sentiasa menarik pelancong untuk berkunjung ke daerah ini
|
Ini terus mengekalkan peranan Bahagian Kuching, sebagai sebuah pusat pedagangan
dan pintu utama bagi kawasan selatan Negeri Sarawak. Dari Kuching mereka boleh
sampai ke daerah-daerah lain di negeri ini, antaranya Bau, Lundu, Samarahan,
Serian dan Simunjan di selatan. Lubok Antu, Sri Aman, Saratok, Sarikei, Sibu
serta Kanowit dan Mukah di kawasan tengah hinggalah ke Bintulu, Miri, Limbang
dan Lawas di kawasan utara melalui jaringan jalan raya menghubungkan negeri
Sarawak dari Samatan ke Merapok.
Keluasan dan Penduduk
Sebelum tahun 1988, Bahagian Kuching dikenali sebagai Bahagian Pertama yang
merangkumi daerah-daerah seperti Kuching, Bau, Lundu, Serian dan Simunjan.
Pada tahun 1988, Bahagian Pertama telah dibahagikan kepada dua bahagian yang
dikenali sebagai Bahagian Kuching dan Bahagian Samarahan.
Kini, saiz Bahagian Kuching pada keseluruhannya ialah 4,565.2 km persegi yang
terdiri daripada Daerah Kuching (termasuk Daerah Kecil Siburan dan Padawan)
1,868.8km persegi, Daerah Bau (884.4km persegi) dan Daerah Lundu (termasuk Daerah
Kecil Sematan) 1,812km persegi.
Berasaskan pada Banci Perumahan dan Penduduk tahun 2000, keseluruhannya Bahagian
ini mempunyai penduduk berjumlah 565,501 orang iaitu Kuching (495,996 orang),
Bau (42,132 orang) dan Lundu (27,373 orang).
Dengan itu, perbandingan keluasan dan jumlah penduduknya itu menjadikan Bahagian
Kuching sebagai sebuah Bahagian yang mempunyai kepadatan penduduk yang tertinggi
iaitu 1:124 berbanding Bahagian lain di negeri ini, misalnya Bahagian yang kedua
tertinggi iaitu Bahagian Miri hanya mempunyai kepadatan penduduk dengan nisbah
1:8.2.
Kemudahan Infrastruktur
Hampir keseluruhan kawasan Bahagian ini mendapat bekalan air sama ada daripada
Lembaga Air Kuching (LAK), bagi kawasan bandar dan daripada Jabatan Kerja Raya
(JKR) atau tangki/telaga bagi kawasan luar bandarnya.
Sementara bekalan elektrik pula dilaksanakan oleh Perbadanan Pembekalan Lektik
Sarawak (SESCo) bagi kawasan bandar serta pinggir bandar manakala generator
masih digunakan di kawasan luar bandarnya.
Kemudahan jalan raya yang terdapat di bahagian ini ialah Jalan Utama Negeri
sepanjang 185.4 km (Premix) dan Jalan Luar Bandar (Seal) sepanjang 467.3 km
serta Jalan Luar Bandar (Gravel) sejauh 159.2 km.
Tahukah anda bahawa Daerah Bau sedang mengalami pembangunan infrastruktur yang
begitu intensif seperti juga Daerah Asajaya dalam Bahagian Samarahan. Kini.
hampir kesemua kampung dalam daerah ini telah dihubungkan dengan kemudahan jalan
raya yang baik.
Pembangunan Sosio-Ekonomi
Pembangunan kawasan luar bandar Bahagian Kuching juga tidak pernah diabaikan
malah usaha kerajaan dengan menubuhkan Pusat Pertumbuhan Desa adalah usaha yang
jelas bagi memastikan keseimbangan pembangunannya.
Dalam Bahagian ini kerajaan telah membangunkan dua Pusat Pertumbuhan Desa (RGC)
iaitu di Telaga Air dan Komplek Padawan. Objektif utamanya ialah untuk mengurangkan
kadar kemiskinan di kawasan luar bandar.
Projek ini akan berperanan membangunkan kawasan terbabit yang mempunyai tidak
kurang daripada 5,000 penduduk. Ia juga bertujuan mengubah cara hidup mereka
dari hanya menjalankan pertanian tradisional yang produktivitinya rendah dan
kadar kemiskinan yang tinggi, kurang pekerjaan serta penghijrahan tenaga muda
ke bandar, kepada satu tahap peningkatan sosio ekonomi yang lebih baik dan mapan.
Keseluruhan pembangunan ekonomi di Bahagian Kuching telah mengubah tahap sosio
ekonomi penduduknya dari hanya mengusahakan pertanian secara tradisional pada
asalnya kepada pertanian moden serta komersil.
Bagi daerah Kuching, aktiviti ekonomi ialah perniagaan, pertanian, perikanan,
penternakan, perindustrian elektronik, perindustrian pembuatan, perindustrian
kayu, sektor pembinaan, sektor perkhidmatan termasuk perubatan dan hospitaliti,
pelancongan, pengangkutan dan institusi kewangan.
Daerah Bau dan Lundu pula, punca pendapatan utama penduduk di sini adalah dari
hasil pertanian. Antara produk pertanian yang dikeluarkan dari daerah ini ialah
kelapa sawit, koko, getah, padi, lada hitam, kopi dan lain-lain.Terdapat juga
beberapa individu yang mengusahakan ternakan kambing dan ayam serta kedai runcit.
Salah satu daripada agensi penjana utama ekonomi di dua daerah ini ialah SALCRA,
yang banyak membuka ladang Kelapa Sawit dan Koko. Jabatan Pertanian adalah penggerak
utama kepada perkembangan ekonomi individu yang ada mengusahakan pelbagai tanaman
seperti getah, lada, koko, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Pembangunan Perindustrian Kawasan Industri
1. Estet Perindustrian Pending
- 525.0 ha
- Kerja-kerja kejuruteraan, perkhidmatan, pemprosesan makanan dan
industri berasaskan kayu balak.
2. Zon Industri Bebas Sama Jaya
3. Taman Industri Demak Laut
- 323.0 ha
- Industri asas perkayuan, Metal, Petrochemical, Pemprosesan makanan,
pembaikan kapal
Tarikan Pelancongan
Bahagian Kuching banyak tempat tarikan pelancong yang boleh dilawati
antaranya adalah tempat yang menyajikan keindahan alam semulajadi
seperti taman negara, tasik, gua, sungai serta pusat kebudayaan
masyarakat setempat seperti rumah panjang atau perkampungan.
Tidak kurang menarik juga ialah tempat serta bangunan bersejarah
dan beberapa pusat peranginan termasuk tempat berekreasi lain
yang unik seperti Tebingan Kuching.
Bahagian ini juga memang terkenal dengan keindahan alam semulajadinya
yang menjadi daya tarikan utama pelancong di sini. Tahukah anda
Bahagian ini keseluruhannya mempunyai lima (5) Taman Negara iaitu:
- Taman Negara Bako
- Taman Negara Kubah
- Taman Negara Gunung Gading
- Taman Negara Tanjung Datu
- Taman Negara Talang Satang
Hampir kesemua taman negara berkenaan terletak tidak jauh dari Bandaraya Kuching
dan setiap satu daripadanya boleh dikunjungi secara balik hari (within a day
trip).
Selain taman negara ia juga mempunyai tarikan alam semulajadi yang lain seperti
Damai Beach Resort di Santubong, Pusat Hidupan Liar Matang, Pusat Hidupan Liar
Semenggok dan Tasik Biru, Gua Batu Kapur seperti Gua Pari-Pari (Fairy Cave)
dan Gua Angin (Wind Cave) di Bau. Manakala Borneo Highlands Resort di Padawan,
adalah satu lagi pusat tarikan pelancong yang terbaru.
Bagaimanapun selain tempat-tempat tadi banyak lagi sebenarnya tempat yang menarik
di Bahagian Kuching yang memang telah popular di kalangan penduduk tempatan.
Misalnya di Daerah Lundu terdapat Pantai Pandan, Pantai Siar, Pantai Sematan
dan Program 'Homestay' di Kampung Teluk Melano serta Kampung Teluk Serabang
di Sematan.
Bagi Daerah Bau juga tidak kurang menariknya ia adalah kawasan yang dikelilingi
oleh bukit batu kapur dengan jurang yang dalam telah menghasilkan pelbagai bentuk
muka bumi menarik yang berpotensi untuk memikat pelancong yang gemarkan keindahan
alam semulajadi.
Selain Tasik Biru dan beberapa gua batu kapurnya tempat lain yang menarik ialah
Pekan Serikin (yang terletak di sempadan Malaysia/Indonesia) dan Kolam Air Panas
di Kampung Sibulung serta beberapa aktiviti yang mampu menarik pelancong seperti
Krokong Motorcross (yang terkenal sebagai tempat berlangsungnya perlumbaan motorcross
antarabangsa, setiap tahun), Safari Berakit, Jong Regatta, Bung Bratak Day dan
Chap Goh Mei.
Manakala tempat-tempat seperti Tebingan Kuching, Main Bazaar, Tua Pekong Temple,
Masjid Bahagian Kuching, Dewan Suarah Kuching, Astana, Fort Margherita, Square
Tower, Bangunan Mahkamah Lama, Muzium Sejarah, Kampung Budaya di Santubong dan
Pasar Minggu adalah pusat tarikan pelancong yang biasa di dengar serta diketahui
ramai di Kuching.
Malah kewujudan satu bandaraya tetapi dengan dua Datuk Bandar juga menjadi tarikan
kepada orang luar.
Pendek kata Bahagian Kuching mempunyai potensi dan daya tarikan yang boleh memenuhi
citarasa seseorang individu, baik seorang peniaga, pelabur, ahli politik, sejarawan,
ahli akademik, pelajar, pelancong, pencari rezeki atau pengembara yang mencari
pengalaman baru seperti James Brooke pada suatu ketika dahulu.
|