 |
Pengetahuan dan maklumat perlu bagi masyarakat untuk berhadapan
dengan peluang dan cabaran dalam persekitaran sosioekonomi dan teknologi yang
sering berubah.
Tetapi dalam usaha menjadikan pengetahuan dan maklumat itu berguna, peranan
pihak media amat dituntut khususnya untuk menyampaikan maklumat tentang pembangunan
luar bandar kepada masyarakat di situ.
Namun, menulis berita mahupun rencana berhubung dengan pembangunan di kawasan
luar bandar bukan mudah kerana tanpa kerjasama daripada pelbagai agensi dan
jabatan kerajaan adalah mustahil untuk maklumat yang terkini dan tepat disebarkan.
Banyak isu dan cabaran juga yang terpaksa ditempuh bagi menghasilkan tulisan
yang bukan sahaja bertujuan memudahkan masyarakat memahami dan menerimanya tetapi
juga perlu dapat membantu kerajaan dalam usaha atau program yang dilaksanakan.
Masalah kos, logistik dan kepekaan tentang apa yang berlaku merupakan cabaran
asas yang perlu dilalui media untuk membuat liputan di kawasan luar
bandar. Sehubungan itu, maklumat yang tepat dan terkini daripada pegawai kerajaan
yang berkenaan, khususnya dalam isu yang dilapor atau dibincangkan adalah perlu
untuk membantu media dan tidak seharusnya dipandang mudah.
 |
| Produk luar bandar yang dikomersilkan |
Kerjasama seperti ini merupakan kunci kepada kejayaan hasil
tulisan pihak media yang mampu menyedarkan, disebarkan serta difahami oleh semua
pihak terutamanya masyarakat kita di luar bandar tentang program dan aktiviti
kerajaan. Kesannya bukan sahaja akan memenuhi keperluan pihak media
dan kerajaan, malah masyarakat di kawasan luar bandar itu sendiri tanpa perlu
berasa ragu-ragu untuk melibatkan diri dengan program dan aktiviti kerajaan.
Sungguhpun demikian, pandangan daripada golongan sasarannya sama ada berjaya
mendapat manfaat atau sebaliknya daripada pembangunan itu pula
tidak harus diabaikan kerana mereka ini yang menerima kesan daripada program
dan projek pembangunan itu.
Pandangan mereka ini perlu diambil kira sebagai langkah menambahbaik program
dan aktiviti yang dilaksanakan kerajaan. Selalunya pandangan masyarakat inilah
yang dikenalpasti menjadi daya tarikan pembaca kerana melibatkan elemen kemanusiaan
di dalam hasil tulisan.
 |
| Pemberian sijil kepada peserta |
Bengkel Untuk Media Usahasama yang diadakan antara Angkatan
Zaman Mansang (AZAM) Sarawak serta badan korporat seperti Shell Malaysia, Persatuan-persatuan
wartawan di Sarawak serta beberapa Kementerian dan Jabatan Kerajaan Negeri dan
Persekutuan dalam penganjuran “Rural Development Reporting Workshop”
yang dihadiri 22 wartawan pada penghujung tahun lalu di Kuching perlu diteruskan
dan dijadikan pentas permulaan kepada kerjasama itu.
 |
| ‘Homestay’ antara usaha yang harus dikembangkan
dan diberi publisiti |
Bengkel selama dua hari itu telah diadakan dengan tiga objektif.
Pertama, untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman di kalangan pengamal media
tentang isu dan cabaran ketika membuat liputan di kawasan luar bandar, kedua,
untuk menggalakkan pihak media menulis lebih banyak berita dan rencana berkaitan
pembangunan di kawasan luar bandar di negeri ini dan yang ketiga, dijadikan
tempat pertukaran input dan pengetahuan berkaitan isu pembangunan negeri.
Selain pembentangan kertas kerja daripada beberapa Kementerian dan Jabatan Kerajaan
tentang perkembangan terbaru program serta projek di luar bandar, para wartawan
juga telah dibawa melawat ke Ladang Kelapa Sawit di Bau, Kilang Tebaloi di Sadong
Jaya dan Kilang Arang di Kota Samarahan. Melalui siri lawatan itu, pihak media
telah diberi peluang untuk melihat sendiri bagaimana program kerajaan di kawasan
luar bandar telah membantu masyarakat di luar bandar meningkatkan pendapatan
seterusnya taraf sosioekonomi mereka.
Media juga berpeluang melihat masalah-masalah yang dihadapi oleh kerajaan dalam
memastikan usaha mereka itu mencapai kesan yang optimum untuk membantu penduduk
dan bukannya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.
Mereka juga berpeluang menemubual masyarakat setempat yang
telah berkecimpung dengan projek atau program yang dilaksanakan oleh kerajaan
di tempat mereka.
 |
| Aktiviti ketika “Rural Development Reporting Workshop” |
Harapan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu ak Numpang,
Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Menteri Pembangunan Infrastuktur dan
Komunikasi Sarawak serta Menteri Pembangunan Luar Bandar dalam ucapan penutupnya
pada bengkel itu telah menegaskan bahawa pihak media selama ini telah memainkan
peranan yang amat penting dan boleh dianggap sebagai ‘rakan’ dalam
menyampaikan maklumat dan aktiviti kerajaan di Sarawak.
Kerana itu media perlu sentiasa dapat mengenalpasti potensi perkembangan di
luar bandar untuk dijadikan bahan berita dan mungkin juga boleh dijadikan berita
penting. Agensi serta pegawai kerajaan pula perlu sentiasa bersedia membantu
memberikan maklumat yang diperlukan bagi memastikan
kredibiliti berita yang dihasilkan.
Di Sarawak, terdapat kira-kira 5,000 kawasan petempatan di kawasan luar bandar.
Setiap satunya sudah pasti mempunyai potensi serta bahan cerita yang boleh ditinjau
dan dikhabarkan kepada masyarakat umum.
Misalnya kesuburan tanah, keunikan dan kekayaan sumber alam semulajadi yang
boleh dikomersilkan, program kerajaan yang unik di luar bandar dan banyak lagi
cerita masyarakat boleh dijadikan cerita yang mampu menarik perhatian pembaca.
Jika media mampu meletakkannya pada sudut pandangan yang positif, sudah pasti
ia akan juga membantu membawa para pelabur ke kawasan luar bandar.
 |
| Aktiviti ketika “Rural Development Reporting Workshop” |
Dengan cara ini, pembangunan ekonomi dan sumber manusia
di situ dapat dikembangkan dan dibantu pula oleh pelbagai program dan rancangan
pembangunan kerajaan. Dalam situasi ini, sudah tentu harapan semua pihak ialah
bagaimana masing-masing dapat saling bekerjasama dalam meningkat serta memantapkan
pembangunan negeri serta penduduknya ke peringkat taraf hidup yang lebih baik.
|