|
State Secretary's View
 |
Mungkin ramai di kalangan kita yang terfikir tentang harta, tanah,
rumah atau ciri-ciri istimewa yang kita anggap berharga atau bernilai yang boleh
memudahkan dan menyenangkan tugas atau kehidupan kita apabila disebut sahaja
tentang aset dan jika disebutkan tentang aset pembangunan – mungkin terlintas
di fikiran kita ianya berkaitan dengan peralatan dan mesin-mesin yang digunakan
untuk membina sesuatu struktur serta bangunan atau lain-lain pembangunan fizikal
yang boleh kita lihat dengan mata kasar.
Namun tidak ramai yang terfikir bahawa sumber manusia di dalam sesebuah organisasi
dan dalam konteks perkhidmatan awam – kita sebagai penjawat awam –
adalah aset pembangunan.
Mengapa? Ini kerana sumber manusia inilah yang menjadi pengerak, penterjemah
atau pelaksana polisi dan program pembangunan yang dirancang oleh kerajaan melalui
perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat. Namun kita harus sentiasa ingat
bahawa aset adalah ciri-ciri istimewa yang bernilai dan berguna dan sebagai
penjawat awam yang menjadi aset pembangunan, kita harus ‘istimewa,’
bernilai dan berguna kepada organisasi dan masyarakat.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, bagaimana mengenal pasti penjawat awam yang
merupakan aset pembangunan? Jawapannya mudah – penjawat awam yang menjadi
aset kepada kerajaan adalah penjawat awam yang berkhidmat dengan penuh dedikasi,
yang menabur bakti dengan komitmen yang tinggi, penjawat awam yang berfikiran
terbuka, beretika, berintegriti dan tidak mementingkan diri sendiri – iaitu
sentiasa mendahulukan kepentingan orang lain (masyarakat) daripada diri sendiri.
Sebaliknya mereka yang ‘bekerja sekadar bekerja – atau sekadar hendak
mendapatkan gaji,’ berfikiran sempit dan negatif, ‘enggan’ menerima
perubahan dan mereka yang suka mengambil kesempatan ke atas jawatan yang disandangnya
atau kedudukannya adalah umpama parasit yang hanya tahu ‘menggunakan’
kemudahan yang ada untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Mereka ini tidak ubah
seperti kata peribahasa – mendukung biawak hidup dan adalah bebanan kepada
organisasi yang seharusnya disingkirkan. Menyedari akan peri pentingnya sumber
manusia dalam organisasi (sebesar perkhidmatan awam ini) sebagai agen pembangunan
maka adalah penting pengurusan sumber manusia yang efektif dan berkualiti perlu
dilakukan agar ianya kelak akan menjadi pemangkin kepada transformasi perkhidmatan
awam yang efektif, efisien dan cemerlang.
Pengurusan sumber manusia bukan suatu yang mudah. Tiada dua manusia yang mempunyai
personaliti yang sama dan amat jarang sekali dua manusia mempunyai pendapat
yang sama bagi sesuatu perkara. Ini menunjukkan betapa sukarnya mendapatkan
dan seterusnya menguruskan sumber manusia. Namun usaha ini perlu dilakukan bagi
membolehkan jentera pentadbiran kerajaan terus efektif dan efisien merancang
serta melaksanakan pembangunan.
Pengurusan sumber manusia yang efektif dan berkualiti memerlukan kita mengenal
pasti mereka yang berkebolehan untuk mengendalikan tugasan atau tanggungjawab
yang diberikan kepada mereka. Bukan itu sahaja, sumber manusia ini juga harus
berupaya secara berterusan menimba ilmu bagi disesuaikan dengan pertambahan
tugas atau tanggungjawab yang perlu dipikul dari semasa ke semasa.
Langkah kerajaan memperkenalkan Sistem Saraan Malaysia yang salah satu komponennya
ialah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang mana kemajuan kerjaya dan pergerakan
gaji seseorang penjawat awam itu adalah berlandaskan kepada kecekapan dan pengetahuan
yang dia miliki adalah langkah yang tepat pada masanya. Melalui PTK sumber manusia
yang ada dan berpotensi dapat diperkukuhkan selain dapat dibentuk untuk menjadi
pasukan tenaga kerja penjawat awam yang berpengetahuan sepanjang masa serta
berupaya untuk meningkatkan tahap pengetahuan masing-masing.
Ini penting bagi membolehkan sumber manusia kita mampu menghadapi perubahan
yang berlaku dan bakal dihadapi. Ini kerana perubahan yang akan kita hadapi
pada masa hadapan adalah terlalu cepat dan memerlukan kita berupaya membuat
analisa, merancang dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang ada di sekeliling
kita dengan tepat dan cepat. Memiliki sumber manusia yang berpengetahuan (dan
berkualiti) akan memudahkan perkara ini dan mereka ini adalah aset pembangunan
yang amat perlu bagi negara kita.
|