|
Majlis
Perbandaran Miri berjaya hasilkan ‘Satu Penyapu, Menyapu Semua’
 |
| Struktur penyapu yang dihasilkan |
Kejayaan kumpulan P H -Q
dalam Konvensyen Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) 2003 lalu, bukan sahaja
menjamin peningkatan kualiti perkhidmatan Majlis Perbandaran Miri (MPM), malah
ia juga telah berjaya membantu pihak majlis berkenaan menjimatkan kos operasi.
Kejayaan ini dicapai melalui projek mereka yang bertema ‘Satu Penyapu,
Menyapu Semua’. Penjimatannya tidaklah banyak berjuta ringgit tetapi usaha
mereka ini patut diiktiraf kerana mereka berusaha untuk mencari penyelesaian
bagi mengurangkan kos operasi yang ditanggung oleh organisasi untuk bahagian
atau seksyen mereka.
Kos operasi berkenaan merangkumi perbelanjaan terhadap kerja-kerja membersih
serta penyelenggaraan semua kemudahan tempat berjaja yang ada disediakannya
oleh majlis itu yang diletakkan di bawah Seksyen Kesihatan Awam.
Keseluruhannya terdapat tujuh (7) buah pasar, empat (4) tamu, lima (5) pusat
makanan dan minuman, lapan (8) tapak jualan harian serta mingguan dan termasuk
sebuah pusat penyembelihan.
Untuk memastikan tempat-tempat ini sentiasa berada dalam keadaan yang bersih
dan selesa, Pihak Majlis telah membelanjakan sejumlah kos
yang tinggi untuk mendapatkan tenaga kerja dan peralatan-peralatan yang sesuai
untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penyelengaraan.
Salah satu peralatan yang amat berguna untuk kerja-kerja pembersihan itu ialah
penyapu. Pihak Majlis telah memilih untuk menggunakan penyapu buluh untuk membersihkan
pasar-pasar, tamu, pusat makanan dan minuman, tapak jualan dan pusat penyembelihan
sebab ia merupakan jenis penyapu yang amat sesuai untuk membersihkan sampah
di pelbagai jenis dan keadaan permukaan yang terdapat di pusat-pusat ini.
Jenis dan keadaan lantai tempat-tempat ini terdiri dari permukaan kasar atau
licin. Keadaannya juga tidak menentu, sama ada basah atau
kering. Walaupun penyapu buluh ini amat sesuai untuk kerja-kerja pembersihan
ini, ia juga mempunyai kelemahannya. Kelemahan yang amat ketara ialah ikatan
lidinya mudah longgar selepas penyapu itu digunakan untuk satu tempoh yang singkat.
Kelemahan ini telah menyebabkan kepada pertukaran 107 batang penyapu buluh atau
31.29% keseluruhan penggunaan penyapu buluh pada tahun 2002.
 |
Tugas tukang sapu menjadi mudah kerana penyapu itu juga dapat
digunakan di permukaan basah seperti di pasar tamu |
Masalah bermula di sini..
Punca-Punca Utama Masalah Yang Dikesan:
A. Persekitaran
1. Permukaan
Pelbagai jenis permukaan di sesebuah pusat jualan akan mempengaruhi ketahanan
penyapu buluh.
2. Keadaan
Keadaan basah akan mencepatkan kerosakkan penyapu buluh.
3. Jenis sampah
Sampah-sarap yang mudah reput dan berat juga mencepatkan kerosakkan penyapu.
B. Bahan
1. Buluh
Lidi penyapu yang diperbuat dari buluh amat sesuai untuk menyapu di pelbagai
jenis permukaan dan keadaan tetapi ia tidak dapat tahan lama.
2. Ikatan
Ikatan yang tidak betul/sempurna akan menyebabkan lidi buluh terlepas dari batang
penyapu selepas satu tempoh yang singkat bila digunakan.
C. Manusia
1. Cara Kerja
Menggunakan penyapu buluh secara kasar akan mencepatkan kadar kerosakkan.
2. Sikap
Sikap tidak bertanggungjawab semasa menggunakan dan cara penyimpanan penyapu
yang tidak kemas menyebabkan 36 batang penyapu atau 10.53 % hilang dan rosak
semasa penstoran.
PH-Q Cadangkan ...
Mereka bentuk satu penyapu di mana hanya bahagian yang mudah rosak seperti lidinya
perlu ditukar. Bahagian-bahagian yang boleh kekal lama seperti batang penyapu
dan pemasangannya akan diperbuat dari bahan yang tahan lama dan tidak berkarat.
Tujuan
Tujuan projek adalah bagi mengurangkan kos. Walaupun kos permulaan untuk mereka
bentuk dan membuat penyapu yang dicadangkan agak tinggi tetapi ia akan menyamai
kos membeli penyapu buluh dalam tempoh masa 5 bulan pertama.
Hasil
Seterusnya, pihak MPM akanmenjimatkan lebih 60% jumlah kospembelian penyapu
buluh sebab hanya lidi yang rosak perlu ditukar. Harga untuk sekilo lidi buluh
ialah RM2.00 dan ia menyamai 4 batang penyapu buluh kerana satu pertukaran penuh
lidi bagi penyapu yang dicadang menggunakan hanya 200 hingga 250 grams lidi.
. Apa Kata Penggunanya
.
Tukang sapu yang ditemui juga mengakui kerja-kerja menyapu sampah-sarap dapat
dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan di atas pelbagai jenis pemukaan.
Puan Selaka Duan, tukang
sapu di Tamu Khas dan Tamu Muhibah ketika ditemui berkata bahawa dari segi ketahanannya,
ia juga lebih tahan serta jumlah lidi buluh boleh disesuaikan mengikut keperluan
menyapu, sama ada menyapu sampah kering atau sampah basah. Serta jumlah lidinya
juga boleh disesuaikan berdasarkan rupa bentuk permukaan lantai tempat yang
akan disapu, sama ada kasar, licin, basah atau kering.
Katanya, lidi penyapu mungkin lebih kerap ditukar, iaitu 2 kali seminggu jika
selalu menyapu sampah sarap di atas permukaan lantai yang basah.
“Apa yang lebih menyenangkan, penyapu ini lebih ringan berbanding penyapu
yang digunakan sebelum ini, dan keistimewaan ini akan memudahkan kerja-kerja
menyapu dijalankan,” tambahnya sambil tersenyum.
 |
| Demonstrasi penggunaan penyapu |
Menurut beberapa tukang
sapu lain, dengan penggunaan penyapu baru ini juga masalah kelonggaran pada
lidi juga dapat dikurangkan kerana
kepadatan lidi boleh diatur mengikut kesesuaian, sama ada ditambah atau dikurangkan.
. Apa Kata Ahli PH-Q Berkenaan
Pembabitan Mereka dalam Projek KMK... .
Lee Bu Chong
– “Setiap ahli adalah
penyumbang yang penting kepada kejayaan kumpulan, ini kerana setiap ahli mempunyai
kemahirannya tersendiri dalam usaha mereka menyiapkan projek.” “KMK
mengajar kita untuk lebih terbuka terhadap satu sama lain, dan ini membolehkan
hubungan rapat dijalinkan antara ahli kumpulan.” “Perbincangan biasanya
dilakukan sekali seminggu, namun jika perlu perbincangan akan diadakan lebih daripada
sekali dalam seminggu.” “Bagaimana pun perbincangan tidak semestinya
diadakan secara formal, memandangkan kami adalah dari seksyen yang sama (Seksyen
Kesihatan Awam) perbincangan secara tidak formal boleh dilakukan pada bila-bila
masa.”
Mustapha bin Ramli – “Saya
sudah 26 tahun berkhidmat dengan kerajaan, dan melalui platform KMK ini saya cuba
untuk memberi sumbangan kepada organisasi tempat saya bekerja.”
“Penyertaan dalam KMK bukan sahaja mampu membina keyakinan diri tetapi juga
memantapkan lagi sikap saling percaya, kerjasama serta yakin terhadap sesama ahli
kumpulan.”
Omar bin Sulong – “KMK
bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan organisasi tetapi apa yang
lebih penting ia mengajar kita untuk menghargai kemudahan dan perkhidmatan yang
telah disediakan serta berusaha memperbaikinya demi kepuasan pelanggan (dalam
konteks ini adalah penjaja dan orang ramai).”
“Melalui usaha ini (KMK) kita didorong untuk berusaha mencari jalan penyelesaian
sama ada dari segi penjimatkan kos operasi atau meningkatkan mutu perkhidmatan
organisasi ke arah yang lebih efisyen, cepat dan tepat.”
Wesley Bala – “Kita
akan berasa lega sekali di samping berpuas hati dengan apa yang kita telah lakukan
setelah kita berjaya menyiapkan sesuatu projek seumpamanya. Apatah lagi bila kita
tahu ia dapat membantu memperbaiki imej organisasi kita.”
“Dengan itu, saya sebagai kakitangan bawahan amat yakin, bahawa KMK adalah
saluran yang terbaik di mana kita boleh menyumbang kepada pembangunan organisasi
tempat kita bekerja.”
|