 |
Pengwujudan Bahagian Mukah & Betong: Inisiatif Kerajaan Negeri Untuk Mengagihkan Kuasa Pentadbiran
|
Kawasan negeri yang begitu luas, pertambahan jumlah penduduk dan tempo pembangunan yang semakin pantas kebelakangan ini serta cabaran-cabaran baru abad ke-21 seperti penggunaan dan penguasaan ICT, cabaran K-ekonomi dan sebagainya menuntut kepada perubahan dan transformasi agar agenda yang dirancang dapat dilaksanakan dengan teratur.
Oleh itu kelahiran Bahagian Mukah dan Betong harus dilihat dalam konteks inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengagihkan kuasa pentadbiran (decentralization of administration) ke arah membentuk jentera pentadbiran yang lebih cekap dan responsif terhadap perubahan semasa dan masa hadapan dan kehendak setempat.
Pengwujudan kedua-dua pentadbiran Bahagian baru ini (Mukah dan Betong) akan memudahkan lagi kerja-kerja perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek-projek pembangunan.
Dengan adanya jentera kerajaan yang lebih dekat lagi dengan kawasan pembangunan, masalah pentadbiran dan pembangunan akan dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan.
Usaha-usaha administratif untuk mewujudkan Bahagian Mukah dan Betong telah dimulakan pada awal tahun 2001, ilham dari YAB Ketua Menteri yang telah mengarahkan supaya satu kajian mengenai pencantuman dan kenaikan taraf kawasan pentadbiran di Sarawak termasuk Daerah Mukah dan Betong dijalankan.
Perkara ini telah dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal Persempadanan Semula Kawasan Pentadbiran atau ringkasnya CRAB (Committee On The Realignment Of Administrative Boundaries) di Bahagian Pentadbiran Am dan Hal Ehwal Awam, Jabatan Ketua Menteri. Tugas yang dikendalikan oleh CRAB memerlukan perancangan yang rapi dan kajian menyeluruh dengan mengambilkira faktor-faktor yang penting seperti:-
a) bilangan serta taburan penduduk kawasan terlibat
b) kegiatan ekonomi masa kini dan kepentingannya
c) potensi pembangunan masa hadapan
d) keunikan sesuatu kawasan yang akan diwujudkan
e) rangkaian kemudahan infrastruktur dan perhubungan sedia ada
Dalam proses mewujudkan Bahagian baru seperti Mukah dan Betong, pandangan serta maklumbalas daripada agensi terbabit, wakil rakyat dan ketua masyarakat setempat sentiasa diberi perhatian oleh Jawatankuasa CRAB. Beberapa siri mesyuarat yang telah diadakan oleh Jawatankuasa ini sepanjang tahun 2001 dijadikan sebagai forum untuk membincang cadangan di atas sebelum ia dirujuk kepada Kerajaan Negeri untuk diperakui dan seterusnya diwartakan.
Ini selaras dengan ketetapan dalam Administrative Areas Ordinance (Cap. 34) yang memberi kuasa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk menyusun semula dan menyelaras sempadan-sempadan pentadbiran negeri ini.
Beberapa manafaat pengujudan kawasan pentadbiran baru ini termasuklah:
a) dapat menjana peluang-peluang pembangunan dan merancakkan lagi tempo pembangunan ke kawasan terbabit secara lebih terancang dan terarah;
b) membangun niche product yang unik kepada kawasan ini dalam bidang pelancongan, pertanian dan perindustrian;
c) merapatkan lagi jurang pembangunan kawasan bandar dan luar bandar supaya sumber-sumber sedia ada dapat diagih dan digunakan secara optima;
d) membangunkan sumber manusia di Bahagian ini supaya penduduk tempatan akan dapat turut serta di dalam aliran k-ekonomi dan pembangunan kawasan dengan lebih efektif.
e) meningkatkan liputan perkhidmatan yang diberi oleh agensi kerajaan kepada orang awam.
Bagi kita anggota perkhidmatan awam, peningkatan taraf Mukah dan Betong sebagai Bahagian adalah merupakan cabaran baru yang harus diharungi dengan tabah terutama sekali kepada mereka yang bertugas di Bahagian ini.
Diharapkan pegawai kita yang telah dipertanggungjawabkan untuk memi-kul tugas ini dapat menjalankan tugas mereka dengan tekun dan dedikasi terutama sekali dalam meningkatkan lagi tempo pembangunan di kawasan ini.
Sebagai sebuah pusat pentadbiran baru, sudah pasti kita akan sentiasa memantau keperluan dan kemudahan asas kakitangan awam di sini untuk menjamin kesejahteraan mereka yang bertugas di sini. Perancangan juga akan dibuat untuk menyediakan kemudahan ruang pejabat serta tempat tinggal sesuai dengan kelayakan anggota masing-masing.
Dalam melaksanakan pembangunan peranan rakyat atau masyarakat setempat juga signifikan dari segi memberi maklumbalas terhadap pelaksanaan dasar Kerajaan dan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh kakitangan awam.
Dalam konteks ini amatlah perlu kerjasama dan jaringan antara pihak swasta/NGO, wakil-wakil rakyat dan masyarakat setempat dengan kakitangan awam ditingkatkan lagi supaya segala sumber dan kepakaran sedia ada dapat digembelingkan untuk menjana pembangunan secara terancang, menyeluruh dan bersepadu.
Adalah penting juga bagi semua pihak mempunyai satu visi atau wawasan yang sama supaya mereka semua dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab masing masing untuk mencapaikan wawasan tersebut.
|