Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 

Pengisytiharan Bahagian Mukah & Betong

Mengemaskini Struktur Pentadbiran Negeri
Ke Arah Pembabitan Aktif Rakyat Dalam Usaha Capai Kemajuan

Naiktaraf Mukah… adalah satu usaha memperkemaskan pentadbiran bagi membolehkan kerajaan dan rakyat berganding bahu, memikul segala tugas yang perlu bagi menjamin kita mencapai wawasan 2020, kata YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Hj Abdul Taib Mahmud
Pengisytiharan Mukah dan Betong sebagai Bahagian adalah satu usaha ke arah memperkemaskan pentadbiran Negeri Sarawak bagi membolehkan kerajaan dan rakyatnya berganding bahu untuk mencapai wawasan 2020, kata YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Hj Abdul Taib Mahmud.

"Seperti yang kita tahu kejayaan sesebuah negara banyak bergantung kepada kerjasama dua hala antara kerajaan dan rakyat."

"Oleh itu bagi menjamin bahawa rakyat akan menjadi tenaga utama dalam perjuangan kita mencapai kemajuan, maka Kerajaan Negeri Sarawak telah pun dari semasa ke semasa mencari jalan untuk membolehkan negeri ini ditadbirkan dengan lebih kemas lagi," katanya ketika berucap merasmikan Pengisytiharan Mukah sebagai Bahagian baru yang ke-10 di Dewan Suarah Mesra pada 1 Mac 2002.

Menurut beliau, pada awalnya Sarawak mempunyai lima Bahagian yang tiada kaitan dengan soal pentadbiran sebaliknya ia hanya sebagai menandakan kawasan yang telah ditakluki ketika pemerintahan Brooke.

Perakuan… YAB Ketua Menteri memberikan Surat Perakuan Mukah sebagai Bahagian baru yang ke-10, kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Hj Abdul Aziz Hj Husain sambil diperhatikan oleh Menteri Pertanian Malaysia, Datuk Effendi Norwawi dan Residen Mukah, Hj Sarudu bin Hoklai, pada majlis pengisytiharannya di Dewan Suarah Mesra, 1 Mac lalu
"Dulu, Bahagian Pertama mempunyai penduduk yang terlalu ramai pada suatu ketika dan pembahagian wang peruntukan tidak mencukupi untuk kesemua rakyatnya manakala Bahagian Ketiga pula tidak mempunyai cukup jentera untuk mentadbir keseluruhan kawasannya."

"Bahagian Pertama tidak mendapat peruntukan dan bantuan yang secukupnya sehinggalah ia dipecahkan kepada dua bahagian iaitu Bahagian Kuching dan Bahagian Samarahan. Oleh kerana itulah, kita dari semasa ke semasa perlu mengubahkan cara pentadbiran kita dan tidak dapat mengekalkan cara lama," katanya.

Jelas Ketua Menteri, apabila Mukah diisytiharkan sebagai Bahagian baru maka boleh dikatakan bahawa sesebuah Bahagian itu adalah sebuah wilayah yang cukup kecil bagi membolehkan pentadbiran dijalankan dengan cekap dan cukup besar untuk dicantumkan sebagai satu unit ekonomi yang boleh bergerak dengan sendirinya di peringkat akar umbi.

"Dengan pengisytiharan ini adalah diharapkan dalam proses mentadbir akan wujud perhubungan yang rapat antara rakyat dengan pegawai. Maka dengan itu suara rakyat dari sehari ke sehari akan menjadi suara kerajaan dan segala dasar-dasar kerajaan akan menjadi satu 'penzahiran' kepada aspirasi rakyat sendiri."

YAB Ketua Menteri menekan butang sebagai memulakan persembahan Multimedia pada Majlis Pelancaran Bahagian Betong
Datuk Patinggi Taib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Balingian berkata, dalam konteks Mukah pula, diharap dengan adanya Balingan di timur dan Tanjung Manis di barat, potensi ekonomi kawasan ini dapat diintegrasi dan diteroka sepenuhnya.

"Kini kita sedang dalam usaha meneroka potensi ekonomi tanahnya yang luas untuk ditanam dengan kira-kira 100 ribu ekar kelapa sawit."

"Tanaman Rumbia (Sago) juga akan cuba dikembangkan serta pada masa yang sama akan membangunkan kemudahan memproses Sago yang moden dan canggih. Selain itu kawasan ini juga mempunyai potensi bagi industri perikanan laut dalam serta perikanan darat dan juga pinggir pantai," jelasnya.

Semua usaha ini akan membawa banyak pulangan kepada penduduk di Bahagian ini khususnya di peringkat akar umbi. Ini kerana segala kegiatan ini akan membantu menjana pendapatan penduduk setempat dan seterusnya membolehkan mereka meningkatkan taraf hidup di samping memiliki kuasa beli yang lebih tinggi yang pada akhirnya akan mampu menggerakkan pertumbuhan ekonomi di Bahagian ini dan kawasan lain di sekitarnya.

Dengan itu, YAB Ketua Menteri turut menyeru penduduk setempat untuk berbincang dan mengadakan dialog sesama mereka untuk membolehkan mereka menyumbangkan cadangan yang terbaik bagi memajukan bidang berkaitan.

Beliau juga menegaskan bahawa Residen bagi Bahagian baru ini perlu menunjukkan sikap kepimpinan yang bukan hanya daripada sudut pentadbiran tetapi juga mampu bertindak untuk 'membuka mata' penduduknya bahawa banyak peluang lain yang berpotensi untuk dikembangkan.

"Ini adalah tugas yang amat rumit untuk kita laksanakan hari ini, namun saya percaya kita mampu melaksanakannya dengan perancangan yang rapi serta pentadbiran yang lebih kemaskini," katanya.

Penyerahan Dokumen Watikah Pengisytiharan Pelancaran Bahagian Betong oleh YB Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Alfred Jabu Anak Numpang, selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pelancaran Bahagian Betong kepada YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak
Sementara itu pada pengisytiharaan Betong sebagai Bahagian pada 26 Mac 2001, YAB Ketua Menteri menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menyedari keperluan pemban-gunan untuk rakyat dan untuk itu sentiasa melaksanakan program-program yang boleh melibatkan rakyat secara langsung dalam program pembangunan, umpamanya sektor pertanian di negeri ini.

Menurut beliau lagi, dalam Rancangan Malaysia Ke-8 sebanyak RM720 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan di Bahagian Betong yang sudah pastinya akan membawa kemudahan yang lebih baik kepada penduduk di bahagian berkenaan.

Kehadiran kira-kira 3,000 penduduk terdiri daripada pelbagai latar belakang sosial dan ekonomi pada hari perasmian, amat jelas menunjukkan komitmen dan kegembiraan mereka dengan kewujudan Bahagian Betong meskipun berdepan dengan hujan pada hari berkenaan.

Turut berucap pada majlis tersebut ialah YB Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Alfred Jabu Anak Numpang, Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemajuan Tanah Sarawak selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pelancaran Bahagian Betong serta YB Datuk Amar Haji Abdul Aziz Haji Husain, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

Pelancaran Bahagian Betong pada 26 Mac 2002 iaitu 25 hari selepas pelancaran Bahagian Mukah menandakan usaha yang berlipat ganda perlu dilakukan oleh seluruh warga Sarawak, khususnya kakitangan awam untuk terus berganding bahu mentransformasikan negeri ini ke arah pembangunan yang lebih efisien.

 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998