|
Dialog di Antara Anggota Perkhidmatan Awam Sarawak Dengan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, 22 Februari 2001
dari muka surat 1
Ketelusan juga bermaksud kita akan membuat keputusan yang sama atau serupa bagi semua perkhidmatan yang mempunyai faktor yang sama. Kita tidak membuat keputusan yang berlainan bagi kes yang sama. Oleh yang demikian, proses yang dilalui itu perlu sama dan apabila permohonan menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan maka kelulusan boleh diberikan.
Saya juga ingin menyentuh tentang penubuhan Jawatankuasa Keutuhan di semua peringkat di dalam Perkhidmatan Awam dan diharapkan pada ketika ini semua jabatan dan unit telah menubuhkan Jawatankuasa Keutuhan masing-masing kerana dengan penubuhannya kelak dengan sendirinya akan dapat meningkatkan ketelusan di jabatan atau unit di samping menyemai sikap atau nilai ketelusan di dalam diri setiap pegawai kita.
Saya juga ingin mengingatkan pentingnya semua Jawatankuasa Keutuhan mengemukakan laporan suku tahunan walaupun adakalanya kita tiada apa yang perlu dilaporkan. Apa yang saya ingin lihat juga di dalam laporan sedemikian ialah tentang nilai-nilai atau perkara-perkara positif yang anda lakukan untuk meningkatkan ketelusan dan keutuhan di jabatan-jabatan kita. Perkara seperti aktiviti ceramah misalnya, saya ingin lihat ada jabatan yang menjemput BPR memberikan ceramah kepada kakitangannya agar mereka faham apa yang berlaku dan mereka tahu apa akibatnya dari penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Laporan-laporan ini juga sepatutnya memberitahu kita apakah sistem-sistem atau proses-proses kerja yang dapat kita ubah dan sesuaikan di dalam usaha kita dapat menutup loop hole yang boleh menggalakkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Untuk itu kita patut mengkaji proses dan sistem kerja kita dan memperbaikinya. Perkara seperti inilah yang seharusnya dilaporkan.
Juga kalau dapat, kita cuba mencari cara supaya kita boleh membuat keputusan dengan lebih cepat. Jika ini boleh dilakukan maka ketelusan akan meningkat. Kita juga harus melihat peraturan atau ordinan-ordinan yang menyekat kita yang harus dibawa ke pengetahuan pihak atasan supaya ianya boleh diubah jika perlu. Ini perlu kerana ada pegawai yang menyatakan sebab mereka tidak dapat membuat keputusan dan mereka akan berhenti setakat itu sahaja ialah kerana peraturan yang membataskan mereka.
Memang ada peraturan-peraturan yang boleh mengakibatkan situasi ini kerana kita tahu banyak peraturan dan undang-undang yang ada kini telah digubal sebelum Malaysia lagi dan malah ada yang masih diguna pakai sekarang. Tentu sekali ada yang sudah tidak sesuai dengan situasi sekarang terutama dengan adanya pembangunan yang semakin pesat terutama di era IT sekarang ini.
Saya ingin pegawai semua sentiasa berusaha untuk mengawasi keadaan sebegini dan bukannya berhenti apabila sesuatu itu sudah tidak dapat dilakukan dengan menjadikan peraturan yang membataskan sebagai alasan dengan mengambil sikap atau menyatakan saya tidak dapat berbuat apa-apa; kita terkongkong; tangan saya terikat dan sebagainya. Kita sepatutnya menyelidik peraturan dan undang-undang yang ada. Kita boleh mengubahnya. Itu sebabnya kita ada persidangan Dewan Undangan Negeri dua kali setahun agar kita dapat membuat undang-undang baru dan menggantikan undang-undang lama yang tidak bersesuaian lagi.
Saya ingin pegawai dan semua kakitangan jabatan yang berada di peringkat akar umbi dapat mengenal pasti peraturan atau undang-undang yang dirasakan tidak sesuai diguna pakai masa kini dan memaklumkannya kepada pihak atasan.
Saya rasa dalam segala perancangan kita perlu memberi keutamaan kepada keutuhan, ketelusan dan hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan di jabatan-jabatan kita. Kita jangan sentiasa berfikir bahawa perancangan itu hanya melibatkan proses merancang semata-mata malah harus merangkumi juga usaha untuk mempertingkatkan lagi elemen-elemen keutuhan, ketelusan dan keselamatan di jabatan-jabatan kita. Jika anda berasa untuk melaksanakannya kita perlu kepada peruntukan, maka kita harus memasukkan jumlah peruntukan yang diperlukan ke dalam belanjawan kita.
Saya juga ingin menyentuh tentang transformasi Perkhidmatan Awam kerana perkara ini banyak telah diperkatakan. Mengapa kita memerlukan kepada transformasi? Sebabnya ialah kerana telah banyak perkara yang telah berubah dan kerana itu Perkhidmatan Awam perlu berubah untuk menangani cabaran semasa seperti globalisasi, dunia tanpa sempadan, dunia yang penuh dengan persaingan, usaha ke arah meningkatkan kemasukan pelaburan asing ke dalam negara/negeri, usaha untuk meningkatkan kemasukan pelancong ke negara/negeri dan sebagainya.
Disebabkan itu kita perlu berubah. Cara kita bekerja dan berfikir 20 atau 30 tahun lalu sudah tidak sesuai lagi dengan keadaan sekarang. Maka kerana itu kita perlu kepada transformasi Perkhidmatan Awam untuk menangani cabaran-cabaran ini.
Persoalannya sekarang ialah apakah yang terlibat di dalam transformasi ini? Adakah ianya hanya melibatkan penukaran proses? Perubahan fizikal seperti membuatkan bilik pejabat anda lebih baik? Atau komputer yang lebih baik dengan perisian yang lebih canggih dan sebagainya? Semua ini merupakan adalah sebahagian daripada perubahan/transformasi namun transformasi lebih daripada itu. Perubahan itu bukan sahaja, sebagai contoh, melibatkan perubahan struktur jabatan anda sahaja melalui pengkorporatan, perubahan dalam struktur orrganisasi dan sebagainya.
Transformasi adalah proses perubahan atau pembaharuan yang berterusan dan bukannya sesuatu yang datang sekali sahaja dan selepas itu tiada pertukaran lagi. Transformasi juga melibatkan sumber manusia dan ini merupakan elemen penting di dalam transformasi. Transformasi Perkhidmatan Awam melibatkan setiap individu di dalamnya.
Perkara penting di dalam transformasi Perkhidmatan Awam ialah kita perlu menyedari bahawa kita adalah pemimpin, pemimpin di dalam bidang kita masing-masing dan saya percaya untuk memupuk sifat kepimpinan di kalangan setiap kita adalah menjadi keutamaan kita. Kita perlu tahu bagaimana untuk memimpin, kakitangan kita dan organisasi kita agar kita dapat menangani cabaran-cabaran yang mendatang dan untuk itu kita perlu belajar menjadi pemimpin yang baik dan kita perlu menguji daya kepimpinan kita itu sama ada kita seorang pemimpin yang baik.
Lebih daripada itu lagi ialah kepimpinan perlu ada wawasan untuk diri, untuk unit, untuk jabatan dan pelbagai wawasan untuk pelbagai keadaan atau situasi dan semua wawasan itu perlu dapat disepadukan dengan wawasan negeri dan negara. Jika wawasan kita tidak sehala dengan wawasan negeri dan negara, maka kita akan menghadapi masalah. Misalnya kita mempunyai wawasan yang berbeza dengan wawasan yang telah ditetapkan untuk jabatan kita, pastinya wawasan jabatan kita itu tidak akan tercapai kerana kita mempunyai agenda kita sendiri yang bertentangan dengan wawasan kita dan wawasan jabatan.
Oleh itu kita perlu memastikan bahawa wawasan kita sealiran dengan wawasan jabatan. Memiliki wawasan bukanlah bermaksud kita berangan-angan tetapi kita mestilah berfikir. Perkhidmatan awam yang berfikir. Pegawai-pegawai yang boleh berfikir bagaimana caranya mereka dapat menukarkan wawasan itu kepada objektif-objektif yang konkrit agar pegawai-pegawai lain dapat mengikutinya. Menterjemahkan wawasan ini kepada objektif yang konkrit atau objektif yang boleh diukur. Ini penting agar kita dapat mengetahui progres di dalam usaha kita untuk mencapai wawasan kita.
Ini perlu kepada pemikiran yang mendalam. Seorang yang berwawasan adalah individu yang sentiasa berfikir yang mampu menukarkan wawasannya menjadi sesuatu yang konkrit yang dapat diukur dan dapat ditunjukkan kepada pengikut kita.
Kita juga perlu mengukuhkan lagi kecekapan kita di dalam kerja-kerja yang kita buat. Saya tidak tahu berapa ramai dari kalangan kita di sini yang telah menjalani Tranning Needs Analysis (TNA). TNA sebenarnya mengukur jurang kecekapan kita yang bermaksud bahawa kita memerlukan kecekapan tertentu yang perlu ada untuk melaksanakan tugas kita dan dibandingkan dengan kecekapan yang sedia ada kita miliki dan perbezaannya itu yang dikatakan sebagai jurang kecekapan.
Kita perlu menutup jurang ini bukan sahaja untuk diri kita sahaja malah untuk semua yang ada di dalam organisasi kita. Maka kerana itu kita di dalam Perkhidmatan Awam Kerajaan Negeri ada TNA untuk semua agar kita tahu kewujudan jurang itu supaya dengan itu kita dapat menyediakan program yang sesuai bagi membolehkan kecekapan kita dapat diperbaiki atau ditingkatkan dan dengan itu kita dapat menjalankan tugas kita dengan lebih berkesan lagi. Ini perlu dilakukan di semua peringkat di dalam organisasi kita. Setiap peringkat pekerja memerlukan kecekapan yang berlainan dan saya percaya banyak kerja yang dilakukan sekarang memerlukan kecekapan yang lebih tinggi atau lebih baik lagi.
Transformasi juga menyentuh tentang nilai di dalam perkhidmatan awam. Kita perlu mengubah sikap kita agar memiliki dan mengamalkan nilai yang lebih baik. Untuk memiliki Perkhidmatan Awam yang kukuh dan kuat, semua pegawai di dalam perkhidmatan awam perlu memiliki nilai-nilai yang murni. Kerana tanpa nilai, walaupun kita cekap, kita tidak dapat menjalankan tugas dengan baik. Ini kerana tanpa nilai-nilai yang baik, seseorang itu setelah buat beberapa waktu akan mula memikirkan apakah yang boleh dia perolehi daripada keadaan semasa. Ini boleh mengakibatkan perkara yang buruk kepada pegawai itu sendiri malah turut menjejaskan organisasi secara keseluruhannya. Ini kita tidak mahu berlaku.
Adalah penting kita menyerapkan nilai-nilai yang baik. Sebagai pegawai tinggi kita perlu memberitahu kakitangan lain akan pentingnya nilai-nilai ini kerana kita sebenarnya mahu memberikan lebih banyak kuasa kepada pegawai rendah di dalam menjalankan tugas.
Untuk tujuan itu kakitangan kita perlu cekap dan memiliki nilai yang baik. Dengan itu mereka tidak akan menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa yang diberikan dan dengan itu kita boleh menyerahkan lebih banyak tugas dan kuasa kepada mereka.
Nilai yang baik juga akan membentuk amalan atau habit yang baik dan habit membentuk karekter kita. Karekter macam mana yang kita mahu atau kita mahu dikarekteristikkan bagaimana adalah bergantung kepada nilai yang kita miliki, prinsip yang kita pegang di dalam menjalankan tugas atau berurusan dengan orrang ramai. Jika kita mahu dikenali sebagai seorang yang baik dan dihormati, maka kita perlu mengamalkan nilai-nilai murni dan prinsip yang baik.
Seperkara lagi ialah tentang keperluan untuk belajar bukan semata-mata untuk mencari ilmu sahaja tetapi untuk membolehkan organisasi kita menjadi organisasi yang membudayakan pembelajaran. Pembelajaran tidak seharusnya berhenti sebaik sahaja kita meninggalkan bangku sekolah atau mendapat segulung ijazah. Belajar juga bukan sekadar membaca buku tetapi juga melalui pengalaman-pengalaman yang kita tempuhi, perbualan sesama kita dan perbincangan di dalam bengkel-bengkel yang kita hadiri. Semuanya adalah proses pembelajaran. Apa yang kita lalui di dalam kehidupan kita itu adalah proses pembelajaran kita. Apa yang penting ialah kita harus bersikap positif. Adakalanya kita menempuh pengalaman yang kita fikir kurang baik di dalam kehidupan kita. Akan tetapi jadikan pengalaman itu kalau kita boleh anggapkannya sebagai sesuatu yang positif ianya tidak akan memberi kesan yang buruk. Maka kerana itu dari krisis yang berlaku, kita boleh melihat atau memperolehi peluang-peluang untuk melangkah maju.
Transformasi juga memerlukan penukaran proses di dalam melaksanakan kerja kita terutama sekali dengan adanya IT dan komputer. Gunakanlah segala kemudahan itu sepenuhnya. Kemudahan seperti ini dapat meningkatkan produktiviti kita. Apa yang boleh kita lakukan bagi tujuan itu ialah memikirkan kaedah yang sesuai. Ini yang kita mahu berlaku di dalam transformasi Perkhidmatan Awam kita iaitu penukaran proses kerja dan penggunaan IT yang lebih banyak di dalam urusan kita.
Selain itu transformasi Perkhidmatan Awam juga memerlukan kerja berpasukan yang lebih baik di antara perkhidmatan awam negeri dan persekutuan. Kita perlu memastikan dinding-dinding yang ada di antara jabatan atau unit diruntuhkan agar segala urusan dapat dilakukan dengan lebih efisien. Banyak kerja-kerja yang kita lakukan atau perkhidmatan yang kita berikan kepada masyarakat melibatkan urusan antara jabatan. Kita perlu menyepadukan segala usaha kita
untuk itu.
Kejayaan kerja berpasukan bukan hanya boleh dicapai dengan hanya kita bekerja di dalam satu pasukan tetapi harus dilihat keupayaan kita menyepadukan usaha di kalangan pelbagai pasukan yang ada. Jika usaha pasukan-pasukan yang berbeza ini dapat digabungkan ia tentunya akan dapat melicinkan lagi jentera Perkhidmatan Awam kita.
Unsur kesihatan juga penting di dalam transformasi perkhidmatan awam. Tiada guna ada proses dan sistem kerja yang cekap jikalau tenaga kerja itu tidak sihat. Kita perlu menjaga kesihatan kita. Kesihatan di sini bukan sahaja merujuk kepada kesihatan fizikal tetapi adalah integrasi kesihatan mental, fizikal dan rohani kita.
Saya ingin melihat semua kita memikirkan tentang sesuatu yang indah, tentang keseronokan hidup dan tentang kasih sayang antara sesama kita. Jika kita dapat melakukannya maka kesihatan mental kita akan berada di peringkat yang paling tinggi, pada peringkat yang paling suci dan kita tidak akan menghadapi masalah dalam hidup kita.
Petikan ucapan SUK pada Sesi Dialog Bersama Anggota Perkhidmatan Awam, 22 Februari 2001
|