Peranan dan Tugas Pegawai Perkhidmatan Awam
Petikan Ucapan YBhg. Dato Azman bin Abdul Rashid, Setiausaha Persekutuan Sarawak
"... saya ingin mengambil sedikit peluang untuk mengingatkan kembali apakah peranan dan tugas kita sebagai pegawai Perkhidmatan Awam Malaysia.
Perkhidmatan Awam adalah suatu instrumen penting yang membawa pembangunan dan mengekalkan keutuhan serta kedaulatan negara.
Justeru persoalan perilaku tadbiran (administrative behaviour) dan nilai-nilai teras setiap penjawat awam perlu menyokong matlamat tersebut, sejajar dengan usaha-usaha pembaharuan sektor awam Malaysia yang kini menjurus kepada aspek tadbir urus yang baik (good governance.)
Sebagai penjawat awam, kita perlu mengekalkan sifat profesionalisma dalam menjalankan tugas. Apabila kita bersifat profesional, dengan sendirinya kita bersifat neutral.
Perkhidmatan Awam sebagai agent of the State telah diberikan amanah mentadbirkan dasar dan program pembangunan negara secara sejagat (uniform), adil dan saksama serta berterusan tanpa mengira bentuk kerajaan yang dipilih oleh rakyat memerintah.
Ini juga bermakna Perkhidmatan Awam perlu menunjangi falsafah penting Pentadbiran Awam iaitu neutrality.
Sebagai penjawat awam, kita semua perlu peka kepada etika profesionalisma dan mempraktikannya.
Seorang penjawat awam tidak beretika sekiranya dia mengkritik kerajaan dengan niat yang buruk dan tidak membina, terutama sekali apabila teguran dan kritikan itu dibuat bukan pada tempat dan masanya.
Dari segi peraturan, penglibatan, tatatertib dan kelakuan pegawai kerajaan boleh dilihat dari tiga (3) sudut, iaitu:-
I. Tatakelakuan di bawah Pera-turan 4 (1), Peraturan-Peraturan Pega-wai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 iaitu seseorang pegawai hendaklah pada setiap masa dan pada setiap ketika memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan;
II. Pegawai awam tidak boleh membelakang tugas awamnya atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang mungkin menyebabkan syak mereka telah membelakangkan tugas awam untuk kepentingan peribadi, iaitu di bawah Peraturan 4 (2) (a) (b) dan (c). Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993; atau
III. Penglibatan pegawai dalam politik di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Di samping itu peraturan di atas juga berlandaskan konsep integrity bagi memas-tikan Perkihd-matan Awam benar-benar merupakan perkhidmatan yang stabil serta berkecuali.
Nilai integriti atau ketulusan boleh didefinasikan sebagai the quality of being honest and having strong moral principles, uprightness, honesty and sincerity.
Selain dari memperteguh nilai kawalan dalaman diri (internal control) terhadap gejala rasuah, sistem pengurusan integriti tersebut memberi fokus kepada kawalan luaran (external control) yang dilaksanakan secara bersepadu."
"...tanggungjawab pegawai-pegawai kerajaan, adalah untuk melaksanakan polisi dan dasar-dasar kerajaan yang memerintah.
Bagi mencapai hasrat tersebut di tahap yang cemerlang kita perlu peka kepada perubahan semasa yang menuntut pegawai-pegawai kerajaan menambah ilmu pengetahuan terutamanya dalam bidang teknologi maklumat (IT) ke arah melahirkan knowledge workers.
Dalam masa yang sama, sebagai penjawat awam, kita tidak dibenarkan sama sekali mendedahkan rahsia kerajaan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab yang akan mengeksploitasikannya bagi kepentingan tertentu.
Sebagai pegawai kerajaan, saya sangat berharap kita semua tidak akan mengambil bahagian di dalam aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah, seperti tunjuk perasaan, perhimpunan haram dan sebagainya. Sebarang tindakan yang ingin diambil perlulah dilihat kesannya terhadap diri, negara dan juga masyarakat. Jika didapati ianya tidak berfaedah, saya rasa eloklah aktiviti-aktiviti tersebut tidak diteruskan.
Dalam masa yang sama juga, sebagai pegawai-pegawai kerajaan, kita harus dapat menentukan priority (keutamaan) kerja-kerja yang kita lakukan pada sesuatu masa, dan tidak meninggalkan tugas untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang menimbulkan syak mereka telah menggunakan kedudukan awam untuk kepentingan peribadi atau tidak bertanggungjawab.
Sebelum saya menamatkan ucapan ringkas saya ini, saya sangat berharap supaya antara kita semua diwujudkan kerjasama yang erat antara satu sama lain dalam mendokong dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita semua dan untuk mempastikan rakyat mendapat faedah daripada pembangunan yang dilaksanakan kerajaan."
|