Projek ‘Penambahbaikan Proses Taksiran Di Cawangan Kastam, Pelabuhan Sibu’ telah memenangi tempat ketiga Kategori Pengurusan di Konvensyen KMK Sektor Awam Peringkat Negeri Sarawak 2004 yang diadakan di Kuching pada 20 Julai 2004.
Projek KMK SINERGI Kastam Sibu yang pertama ini banyak membantu pegawai penaksir dalam tugas penilaian dan penjenisan barang-barang import melalui Pelabuhan Sibu dan seterusnya membantu Kastam Sibu mendapat pensijilan MS ISO 9001:2000 dalam ‘Pelepasan Barangan Import Dari Kawalan Kastam’ pada 27 Januari 2005.
Cawangan Kastam (Import/Eksport), Pelabuhan Sibu menerima banyak kuiri penjenisan dari Unit Skrutini, Kuching dan Cawangan Perkhidmatan Teknik, Sibu di samping tidak mempunyai sistem rekod pengimportan yang berkesan untuk memenuhi keperluan taksiran di bawah Sistem Penilaian WTO. Masalah ini perlu dibendung sebelum ia menjadi lebih rumit lagi.
Punca-punca utama masalah yang dikesan adalah seperti kegagalan mengesan kesilapan pengimport; tiada fatwa penjenisan yang lengkap; tiada sistem rekod data pengimportan; dan borang tidak berkualiti.
Pencarian data pengimportan yang lalu dengan menggunakan komputer telah dapat mempercepatkan masa proses taksiran sebanyak 45% (daripada 20 minit kepada 11 minit) berbanding dengan cara manual sebelum ini.
Peningkatan hasil kerja Cawangan Kastam (Import/Eksport), Pelabuhan Sibu begitu ketara sekali apabila ianya mudah membuat rujukan kepada data pengimportan dan penjenisan dan juga output borang K.1 yang diproses jauh lebih tinggi untuk tempoh masa yang sama (daripada 3 borang / jam kepada 5.45 borang / jam).
Seterusnya, bilangan kuiri diterima menurun (daripada purata 31.57 kes sebulan kepada purata 6 kes sebulan).
Kes kurang pungut cukai kastam dan amaun terlibat menurun daripada purata bulanan 31.57 kes / RM3,476.79 kepada 6 kes / RM800.47.
Walaupun bermula dengan kadar perlahan, tetapi sokongan daripada semua pihak termasuk pihak pengurusan jabatan telah membantu Kumpulan SINERGI muncul dengan projek yang memanfaatkan banyak pihak sama ada pelanggan luaran atau dalaman.
Kumpulan telah berjaya mengatasi ranjau di peringkat awal penubuhannya seperti kurang bekerjasama, kurang berpengetahuan dalam teknik-teknik yang digunakan dalam KMK, semangat rendah diri melalui sesi percambahan fikiran, latihan pengucapan awam dan kursus KMK di INTAN, Sarawak, dan juga perbincangan dengan pegawai yang mempunyai pengalaman dalam KMK di jabatan.
Pungutan hasil untuk Cawangan Kastam Pelabuhan Sibu telah meningkat dengan tahap konsisten dari tahun ke tahun iaitu RM16.5 juta dalam tahun 2002, RM17.03 juta dalam tahun 2003, dan RM21.8 juta dalam tahun 2004.
Hasil pungutan ini telah dapat dicapai dengan usaha padu jabatan melalui pelbagai kaedah dan pendekatan termasuklah memantau Harga Ikrar Kastam menerusi Pangkalan Data Utama Teknik iaitu penyelesaian utama kepada projek Kumpulan KMK SINERGI ini.
Kepuasan pelanggan melalui borang soal-selidik berkenaan perkhidmatan kaunter Kastam di Cawangan Kastam, Pelabuhan Sibu telah melonjak semenjak projek ini beroperasi pada bulan November 2002 dan rata-rata berpuas hati dengan keberkesanannya untuk membantu kecekapan pegawai yang bertugas dalam fasilitasi perkastaman.
Kumpulan KMK SINERGI yang di tubuhkan pada 1 Julai 2002 atas arahan Ketua Pentadbir Kastam, Sibu telah muncul dengan satu projek yang baik.
Projek yang dimaksudkan dapat membantu menyelesai masalah di tempat kerja di samping memenangi hadiah di Konvensyen KMK Sektor Awam Peringkat Negeri.
Kejayaan yang dikecapi untuk menjadi kumpulan KMK terbaik Kastam Sarawak tahun 2004 dan seterusnya mewakili Kastam Sarawak ke Konvensyen KMK Kastam Peringkat Nasional dan cadangan penyelesaian diterima sepenuhnya oleh pihak pengurusan jabatan sudah cukup bermakna untuk menyuntik semangat untuk terus berKMK dengan lebih giat lagi.
Kumpulan SINERGI juga merasa sangat berbangga kerana cadangan penyelesaian membangun Pangkalan Data Utama Teknik adalah hasil usaha pegawai/ahli kumpulan tanpa bantuan dari pihak luar.
Adalah menjadi harapan Kumpulan SINERGI supaya lebih ramai lagi penjawat awam terlibat dalam KMK kerana kepuasannya akan datang pada diri apabila usaha untuk meningkat mutu kerja di tempat kerja mendapat pengiktirafan oleh pihak pengurusan.
Penghargaan: Puan Mardiah Hj. Rebi, Penguasa Kastam, Caw. Perkhidmatan Teknik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bhg. Sibu Sarawak
|