|
Tidak semua orang mampu menghayati keindahan dan keunikan tanaman bonsai namun apabila hati sudah terpaut, bonsai sering dijadikan pilihan baik bagi menghias kediaman atau hobi di masa lapang.
Bonsai adalah sejenis tumbuhan dalam pasu yang sengaja dikatikkan untuk memaparkan keindahan seni gubahan daun, susunan ranting serta nilai keunikan batang dan banirnya.
Sejarah bonsai bermula lebih 1,000 tahun lalu di China tetapi ia dipopularkan oleh orang Jepun. Kini seni tanaman bonsai berkembang ke merata dunia dan hampir setiap negara mempunyai perminat bonsai, termasuk Malaysia.
Baka yang baik dihasilkan melalui cambahan biji benih, keratan batang, akar dan cantuman atau menanam pokok dengan cara layerage (proses yang membolehkan akar tumbuh dari dahan atau batang tumbuhan induk).
Pokok bonsai wujud dalam pelbagai bentuk atau gaya. Pokok yang berbatang tegak (formal upright) adalah bentuk asas bonsai. Pokok tunggal ini tumbuh menegak dan menirus di bahagian atas.
Pokok yang berbatang condong (informal upright) juga tumbuh dengan bebas tetapi lebih condong ke satu arah, samalah seperti pokok yang terdedah kepada angin yang kerap dapat dilihat di pantai.
Bagi pokok yang berbatang condong (cascade), dahannya berjuntaian, menggambarkan pokok yang terdapat di tebing tinggi. Atau jalinan akar (root connected) dan gaya driftwood.
Semua bentuk meniru alam semula jadi. Oleh sebab itu, pemandangan darat bonsai haruslah dapat merangkumi keindahan alam semula jadi itu. Usaha berkenaan menunjukkan tajamnya daya cipta dan estetika ahli seni bonsai.
Akar, sudut batang dan rupa dahan adalah bahagian penting dalam menilai bonsai. Walaupun begitu bonsai yang elok mestilah indah, menarik dan mempunyai ciri tersendiri.
Sehingga kini, minat mengkatikkan pokok sudah merebak ke seluruh dunia di mana masyarakat dunia menggunakan pokok tempatan di negara masing masing untuk mengubahnya supaya kelihatan unik dan menarik.
Bonsai yang bernilai tinggi lebih berasaskan kepada saiz kecil, ditanam dalam pasu, digabung dengan gubahan batu yang memiliki keindahan tersendiri, bentuk keunikan batang dan dahan, susunan ranting dan menampilkan akar yang menarik (setelah dibentuk semula daripada bentuk asalnya).
Ini bermakna, penghasilan bonsai berjaya dilakukan dengan tekniknya tersendiri yang membabitkan usaha mendapatkan baka pokok, pemotongan akar, jenis tanah, kaedah penyiraman, pembajaan, cantasan serta membentuk batang, menyediakan ruang sesuai hingga kepada cara mengawal penyakit dan perosak.
Langkah pertama yang perlu dilakukan peminat bonsai ialah memungut pokok biasa yang dianggap sesuai untuk dikatikkan. Pokok yang menonjolkan keindahahan pertumbuhan seperti di alam semulajadi perlu diberikan keutamaan.
Peralatan yang diperlukan ialah sudip, cangkul, gergaji, pemangkas, gunting Jepun, karung plastik atau guni, bekas semburan air dan tali. Kelengkapan ini digunakan semasa menggali dan membawanya pulang.
Pasu juga berfungsi menyerlahkan pokok yang dikatikkan. Sehubungan itu, pastikan pasu memiliki sekurangkurangnya satu lubang pengaliran air supaya tanah tidak mengekalkan kelembapan berterusan. Air yang bertakung menyebabkan akar pokok mudah diserang penyakit dan mengalami pereputan.
Penggunaan 70 peratus tanah campuran pasir kerikil dengan 30 peratus bahan organik atau kompos yang dihasilkan daripada daun reput adalah perlu. Bagaimanapun, ia banyak bergantung kepada kesesuaian spesies pokok yang memerlukan kadar ph tanah berbeza-beza.
Pokok yang berbatang besar sesuai ditempatkan dalam pasu tebal. Kaedah yang digunakan penggemar bonsai ialah mengambil kira ukur lilit batang pokok berkenaan. Lazimnya, pasu yang digunakan tidak melebihi dua pertiga daripada ketinggian pokok.
Kebanyakan pokok yang dijadikan bonsai memerlukan cahaya yang cukup. Ia mesti ditempatkan di kawasan terbuka untuk membantu proses pertumbuhannya. Bagaimanapun, ia masih boleh dijadikan perhiasan dalaman untuk tempoh yang pendek dan perlu ditempatkan semula di kawasan terdedah cahaya.
Antara pokok yang sering ‘dibonsaikan’ dan diminati ialah Japanese Cedar, Japanese Larch, Japanese Maple, Chinese Juniper, Trident Maple dan Scot Pine.
Di negara ini, penggunaan pokok tempatan turut digunakan dalam penghasilan bonsai. Ia penting kerana kesesuaiannya dengan cuaca tempatan. Teknologi penghasilan bonsai terbukti menyerlahkan ketinggian seni pokok tempatan yang dikatikkan setanding pokok hiasan import.
Pokok tempatan yang sesuai dijadikan bonsai ialah Melati (Wrightia Religiosa) daripada keluarga apocynaceae yang memiliki bentuk rimbun mengembang dengan tekstur sederhana halus dan padat yang boleh mencapai ketinggian maksimum sehingga dua meter.
Baka induknya dikatakan berasal dari Thailand tetapi turut tumbuh meliar di sekitar tebing paya negara ini.
Satu lagi spesies pokok beraroma yang boleh dijadikan bonsai ialah Kemuning atau Murraya Paniculata daripada keluarga Tutaceae yang dikatakan berasal dari India.
Pokok ini tahan cantasan. Memiliki tekstur sederhana halus dan padat dengan daunnya hijau berkilat memang senang digubah.
Hobi menanam bonsai bukan eksklusif kepada golongan tertentu saja, sebaliknya ia boleh disertai oleh sesiapa saja yang berminat. Kos penanaman paling rendah ialah dari RM10 dan boleh menjangkau sehingga beratus ribu ringgit, bergantung kepada kemampuan masing-masing.
Bonsai amat sesuai ditanam di negara tropika dan keunggulan tanaman itu tidak semata-mata bergantung kepada harga sebaliknya kemahiran memainkan faktor paling penting.
Mempelajari kemahiran menanam dan menjaga bonsai memerlukan minat yang mendalam kerana kita harus tahu keperluan bonsai seperti udara, air dan cahaya matahari.
Jika kedua-dua syarat utama dipenuhi, iaitu minat dan kesabaran, tanaman bonsai akan menghadiahkan balasan keindahan alam semula jadi yang ternyata mendamaikan.
Memberi udara kepada bonsai bermakna memberikan pengedaran udara yang sempurna. Air juga harus dipastikan mencukupi supaya menyerap ke dalam tanah yang terkandung dalam pasu bonsai. Bonsai turut memerlukan baja yang mencukupi, selain cahaya matahari.
Bonsai terbahagi kepada tiga kategori utama, iaitu bonsai kecil bagi ukuran kurang 30 sentimeter (cm); bonsai sederhana (30 cm hingga 70 cm) dan bonsai besar (melebihi 70 cm). Umumnya, setiap tumbuhan yang berdaun halus boleh dijadikan bonsai.
Seni pembuatan bonsai memerlukan masa lama dengan penjagaan yang rapi bagi membolehkan pohon yang benar-benar sihat dan menarik dihasilkan. Ia bukan kerja sambil lewa kerana penghasilannya memerlukan tahap ketekunan dan ketelitian yang tinggi.
Misalnya, berkenaan perlu dicantas dari semasa ke semasa supaya ia menjadi bantut serta tumbuh mengikut ketinggian yang ditetapkan. Jika pucuk daun baru tidak dimatikan, ia menyebabkan daun tumbuh meninggi sama seperti tanaman biasa.
Pokok bonsai perlu mendapat cahaya matahari yang mencukupi manakala penyiramannya pula dilakukan dua kali sehari. Baja diperlukan pula membabitkan baja daun, batang dan akar
Pohon bonsai sebenarnya perlu dibentuk sejak ia masih kecil lagi di mana pemasangan atau lilitan dawai aluminium sangat penting bagi menghasilkan rekaan dikehendaki.
Hanya selepas tempoh tertentu, dawai aluminium terbabit dibuka manakala selepas 10 tahun, bonsai akan terhasil mengikut bentuknya yang tersendiri.
Ketika itu juga setiap enam bulan, daunnya perlu dibuang dengan hanya meninggalkan ranting dan batang pohon untuk membolehkan daun yang baru tumbuh.
Daun yang baru ini akan tumbuh dalam bentuk yang lebih kecil dan menarik sekali gus menjadikan nilainya kian bertambah.
|