|
Sebelum ini kebanyakan kita beranggapan bahawa Jabatan
Kerja Raya atau lebih dikenali sebagai JKR adalah sebuah jabatan yang biasa
sahaja, yang mana tugasnya terhad kepada pembinaan dan penyelengaraan jalan
bangunan dan lain-lain tugas bersifat ‘bangunkan dan selengara’.
Namun jika diteliti lebih mendalam organisasi jabatan itu pasti memberikan kita
kesedaran serta gambaran yang luas disamping menimbulkan persoalan berkenaan
fungsi dan tugasnya.
Bukan kerana ia gagal melaksanakan tanggungjawabnya, sebaliknya kerana terdapat
beberapa projek yang telah berjaya ia bangunkan adalah projek yang mungkin tidak
terlintas pada difikiran kita bahawa ia telah dilaksanakan oleh JKR.
Sebaliknya sebelum ini kita mungkin beranggapan bahawa ia tidak mampu melaksanakan
projek seumpamanya, namun setelah melihat sendiri hasilnya pasti ini akan menukar
persepsi kita berkenaan JKR yang sering dianggap sebagai sebuah jabatan yang
streotaip kepada tugas ‘bangunkan dan selengara’ sahaja.
Sebaliknya banyak lagi sebenarnya tugas JKR, khususnya bagi Bahagian Mekanikal
yang tidak kita ketahui, khususnya melalui unit terbarunya iaitu Unit Penyelidikan
dan Pembangunan (R&D).
Banyak tugas-tugas rumit namun murni yang kita tidak jangka dilaksanakan oleh
JKR telah mereka lakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan cemerlang, walaupun
mungkin tidak semuanya berjaya.
Unit baru Penyelidikan dan Pembangunan dalam Bahagian Mekanikal ini hanya ditubuhkan
pada Disember tahun 2003 lalu, pejabat unit baru ini terletak di JKR Central
Mechenical Workshop, Bintawa, Kuching.
Kejayaan unit baru ini sesuai dengan matlamat JKR menubuhkannya iaitu dengan
harapan ia akan mampu membantu serta memenuhi keperluan penduduk luar bandar
melalui pelaksanaan projek khas mengikut kesuaian serta keperluan setempat.
Projek seumpamanya mungkin berupa bekalan elekterik daripada tenaga solar atau
bekalan air bersih bagi kawasan pedalaman, termasuk kawasan persisir pantai,
pulau-pulau dan taman Negara.
Ini bertepatan dengan usaha kerajaan bila mewartakan pembangunan tenaga boleh
diperbahrui sebagai bahan api kelima selaian minyak, gas, arang batu dan tenaga
hidroseperti yang diperuntukan dalam penubuhan Suruhanjaya Tenaga pada tahun
2001 lalu.
Malah, menjelang tahun ini, Malaysia mensasarkan pengeluaran 500 MegaWatt (MW)
atau lima peratus daripada jumlah pengeluaran tenaga Negara (15,000 MW kini)
datangnya dari sumber boleh diperbaharui seperti solar, hidro, biomas, biogas
dan ombak.
Dengan itu antaranya bentuk projek yang dilaksanakan unit ialah usaha ke arah
pencarian sumber tenaga baru bekalan tenaga elektrik bagi kegunaan penduduk
luar bandar melalui penggunaan elemen seperti solar, air dan angin atau pengabungan
elemen-elemen berkenaan.
Apa pun usaha serta kejayaan JKR ini bukanlah perkara baru, malah usaha seumpamanya
telah mula dilaksanakan sejak awal tahun 1990-an lagi.
Bayangkan, (berkenaan penggunaan tenaga solar), JKR telah memulakan projek penggunaan
sumber tenaga itu sejak tahun 1991, dengan projek pertama mereka iaitu bekalan
tenaga elektrik solar untuk empat unit kediaman kakitangannya di Bario.
Selain itu, menara kawalan padang terbang di Long Banga juga turut di bekalkan
dengan sumber tenaga solar bagi sistem komunikasinya, juga pada tahun 1991.
Manakala projek terbaru berkait dengan penggunaan sumber tenaga baru ini ialah
tempat penyimpanan-beku vaksin di klinik Bario yang dilaksanakan pada Januari
2004 lalu.
Terbaru (pada Januari lalu), JKR melalui unit ini (Bahagian Mekanikal) telah
menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia
Sarawak (Unimas) untuk membangunkan satu projek Hybrid iaitu mewujudkan sebuah
perkampungan yang akan menggunakan bekalan tenaga melalui solar sepenuhnya.
Ini berikutan pelaksanaan projek yang berasaskan elemen tenaga seperti solar
sebelum ini telah terbukti berfaedah serta berjaya memudahkan usaha bagi menampung
keperluan tenaga elaktrik bagi kawasan berkenaan.
Bahagian ini juga berpengalaman dalam mengendalikan Sisitem Mekanisma Penapis
Air seperti yang kini ada dilaksanakan di SMK Tutoh Apoh mulai Ogos tahun 2003.
Unit ini juga turut berpengalaman serta mempunyai
kemudahan sistem merawat air bergerak yang dikatakan akan diperluaskan penggunaannya
ke kawasan yang luar bandar atau pedalaman yang memerlukan perkhidmatan seumpamanya.
Berikutan beberapa kejayaan ini JKR melalui unit R&D ini terus berazam untuk
meneruskan usaha bagi membantu dan memudahkan sedikit sebanyak kehidupan seharian
penduduk di Negeri ini, khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman untuk
memperolehi bekalan tenaga bagi memudahkan mereka agar tidak hanya bergantung
kepada bekalan tenaga elektrik dari generator-set.
Namun apa yang lebih menarik berkenaan unit ini ialah ia hanya akan menggunakan
sistem yang telah terbukti berjaya, selain itu reka bentuknya hendaklah ringkas
bagi memastikan kerja penyelengaraan boleh dilakukan dengan mudah selain hanya
memerlukan tanggungan perbelanjaan yang rendah.
Kebanyakan projek yang dilaksanakan oleh unit ini sebaiknya hendaklah memenuhi
kretiria berkenaan bagi membolehkan penduduk yang juga sebagai pengguna terbabit
secara langsung dalam usaha penjagaan serta penyelengaraan sistem atau kemudahan
yang diberikan.
 |
 |
Pembabitan secara langsung masyarakat terbabit amat penting dalam usaha ini
kerana pihak JKR tidak akan mampu datang setiap bulan ke lokasi atau
tempat mereka untuk melakukan penyelengaraan sebaliknya JKR pasti mempunyai
banyak lagi tanggungjawab lain yang perlu mereka laksanakan.
Sebaiknya JKR adalah pelaksana dalam konteks pembangunan projek tetapi pihak
masyarakat yang juga sebagai pengguna haruslah berusaha serta bertanggungjawab
menjaga kemudahan berkenaan sebagai harta benda komuniti yang juga ‘hak
dan kepentingan bersama’.
|