|
Berseloroh atau bergurau dengan rakan sekerja di pejabat
adalah perkara yang perlu bagi menceriakan suasana pejabat, baik pejabat sektor
awam atau swasta. Namun begitu, perlu dielakan diri daripada melakukan tindakan
yang dianggap mempunyai unsur seks seperti menjilat bibir, menjeling, menggoda,
merenung, mengintai atau mengguna bahasa isyarat lucah.
Ini kerana tindakan sedemikian adalah antara pelakuan yang dikategorikan sebagai
perlakukan gangguan seksual di tempat kerja dalam garis panduan gangguan seksual
bagi kakitangan awam yang mula dikuatkuasakan mulai 9 September lalu.
Jika ada mana-mana pegawai berbuat demikian di pejabat atau tempat kerja di
luar pejabat, mangsa boleh membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam atau kepada polis, jika perbuatan itu menjurus kepada kesalahan
jenayah seperti mencabul.
Garis panduan gangguan seksual yang pertama diperkenalkan untuk kakitangan awam
di seluruh negara itu adalah satu peringatan dan bukan keperluan mendesak, kata
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsudin Osman.
KSN menegaskan, kewujudan garis panduan itu juga tidak bermakna gangguan seksual
di sektor awam sudah menjadi satu masalah yang serius, sebaliknya ia bertindak
sebagai peringatan dan penyelesaian apabila ia terjadi. Menurut beliau, kewujudan
garis panduan itu akan lebih memperkemaskan sektor perkhidmatan awam kerana
ia menjelaskan maksud gangguan seksual dan memberi huraian mengenai tindakan
yang boleh dikenakan. Beliau berkata, ia juga bagi menegaskan bahawa gangguan
seksual adalah kesalahan yang jika diadu dan sabit kesalahan, boleh dikenakan
tindakan tatatertib.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada September lalu telah mengeluarkan pekeliling
bertajuk “Mengendalikan Gangguan Seksual di tempat Kerja Dalam Perkhidmatan
Awam” iaitu set lengkap garis panduan yang menjelaskan mengenai kesalahan
gangguan seksual dan cara-cara menanganinya.
Antara perbuatan yang dianggap gangguan seksual di sektor awam ialah visual
berunsur seksual termasuk penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS), khidmat
pesanan multimedia (MMS), e-mel atau gambar, selain gangguan secara lisan, fizikal
dan psikologi.
Selain memperuntukkan tindakan tatatertib kepada pelaku gangguan seksual, ketua
jabatan atau pihak yang ditentukan perlu memberi bimbingan dan kaunseling kepada
kakitangan yang menjadi mangsa. Antara tindakan tatatertib yang boleh dikenakan
ialah memberi peringatan atau amaran, didenda,
ditukarkan, digantung pergerakan gaji, diturun pangkat dan dibuang kerja.
Dengan itu, setiap aduan akan diselidiki dan disiasat secara mendalam oleh ketua
jabatan terbabit sebelum sebarang tindakan diambil terhadap individu yang didakwa
melakukan gangguan seksual tersebut. Namun garis panduan itu bukan sahaja bertujuan
melindungi kakitangan yang menjadi mangsa, tetapi pada masa yang sama, mengelakkan
penganiayaan terhadap individu yang dituduh melakukan kesalahan itu.
Garis panduan itu juga memberi jaminan mangsa gangguan seksual di kalangan kaitangan
kerajaan akan diberi perlindungan termasuk merahsiakan identitinya jika membuat
aduan.
Kerahsiaan identiti pengadu perlu kerana kajian mendapati mangsa enggan membuat
laporan kerana malu. Dalam kes tertentu, apabila keadaan sudah kritikal, barulah
mangsa membuat laporan. Turut ditegaskan bahawa sebarang aduan khususnya ke
atas pegawai atasan tidak akan mempengaruhi sebarang keputusan berkaitan kenaikan
pangkat pengadu.
Garis panduan itu lebih lengkap berbanding dengan yang dikeluarkan Kementerian
Sumber Manusia pada 1999 khusus bagi sektor swasta.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Ismail Adam, pula dilaporkan
berkata garis panduan itu dikeluarkan kerana gangguan seksual seperti perbuatan
atau pernyataan yang bersifat seksual boleh memberi kesan negatif ke atas semangat
pekerja serta prestasi kerja.
Gangguan seksual menimbulkan suasana persekitaran kerja yang serba salah, menakutkan,
berasa terancam dan lain-lain kesan negatif yang menjejaskan suasana perhubungan
harmoni di tempat kerja.
Ia juga perbuatan yang tidak bermoral dan melanggari batas perhubungan serta
nilai peribadi seseorang pegawai. Pekeliling itu yang berkuat kuasa serta-merta
turut diguna pakai untuk semua perkhidmatan pada peringkat negeri, pihak berkuasa
berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
Bagaimanapun, tujuan utama garis panduan itu adalah bersifat untuk mendidik,
memberi kefahaman dan sebagai tindakan pencegahan bagi mengelakkan perbuatan
serta salah laku yang boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual. Melalui
usaha itu, diharap dapat memelihara perhubungan di tempat kerja agar lebih harmoni,
saling hormat menghormati dan meningkatkan nilai budi bahasa serta integriti
pegawai.
Kategori gangguan seksual yang diperuntukkan dalam Peraturan 4A Peraturan Pegawai
Awam ialah cubaan untuk merapati orang lain secara seksual, meminta layanan
seksual daripada orang lain, gangguan seksual yang mengugut, dan gangguan seksual
yang menyinggung atau menghina.
Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual
Di Tempat Kerja
Dalam Perkhidmatan Awam itu telah diedarkan kepada jabatan, pihak berkanun dan
pihak berkuasa tempatan itu berkuatkuasa serta-merta September lalu. Sebanyak
14 tajuk digariskan dalam garis panduan 26 muka surat itu antaranya, tafsiran,
gangguan seksual dalam peraturan pegawai awam, kategori gangguan seksual dalam
peraturan pegawai awam, kategori gangguan eksual dalam peraturan 4A peraturan
pegawai awam dan program pencegahan gangguan seksual di tempat kerja.
Garis panduan terbabit dikeluarkan kerana gangguan seksual boleh menjejaskan
produktiviti, mengganggu emosi dan ada pegawai awam yang meletak jawatan sebagai
pilihan terakhir sekiranya gangguan berkenaan semakin serius. Ia juga menjadi
panduan untuk menentukan kategori dan perlakuan gangguan seksual di tempat kerja
dan memberi panduan mengenai tindakan yang boleh diambil pegawai awam jika terjebak
dalam gangguan itu.
Pengadu juga boleh membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa tatatertib mengenai
kejadian gangguan seksual supaya tindakan boleh diambil. Pegawai awam yang didapati
bersalah boleh dihukum mengikut keseriusan kesalahan antaranya diberi amaran,
denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat
atau dibuang kerja.
Mangsa juga dinasihatkan mendapat kaunseling di tempat bertugas sekiranya kakitangan
terbabit mengalami kesan negatif daripada gangguan seksual. Beberapa usaha juga
akan dibuat dalam program pencegahan gangguan seksual di tempat kerja antaranya
mengadakan taklimat bagi memberi penjelasan dan pemahaman kepada ketua jabatan
dan penjawat awam.
|