Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
Cari Mekanisme Terbaik Untuk Aktifkan Semula JKKK

JKKK berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam memastikan
pembangunan, kesejahteraan dan keselamatan masyarakat di kampung
terlaksana dan terjamin
Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang merupakan pengerak kepimpinan di peringkat akar umbi kebelakangan ini disifatkan kurang berkesan dalam melaksanakan tugas dan peranan mereka dalam membangunkan kawasan luar bandar.

Senario ini dikhuatiri boleh menjejaskan usaha kerajaan dalam membangunkan kawasan luar bandar serta mencapai sasaran kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar kepada 0.9 peratus menjelang tahun 2009.

Kebimbangan tersebut ada asasnya, apabila Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haji Abdul Aziz Bin Dato Haji Hussain menegur segelintir JKKK yang hanya aktif pada awal penubuhan kemudiannya berakhir dengan hilang matlamat hala tuju sesebuah JKKK.

Berdasarkan statistik, sejumlah 17 buah atau 5.15 peratus sahaja JKKK yang aktif daripada 3,000 yang berdaftar di negeri ini. Keadaan ini harus diatasi segera dengan mencari beberapa mekanisme baru atau formula baru agar JKKK berupaya “digerakkan” semula.


Daripada bengkel baru-baru ini, diutarakan beberapa cadangan yang mungkin perlu dipertimbangkan demi kebaikan JKKK di negeri ini. Misalnya pada bengkel Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM) pada Jun lepas, beberapa
cadangan telah diutarakan.

Antaranya langkah pengabungan beberapa buah JKKK yang kurang aktif menjadi sebuah JKKK yang kukuh yang mana langkah ini dilihat berupaya mengatasi kelemahan yang terdapat pada JKKK. Ini memandangkan kelemahan yang terdapat dalam JKKK yang kurang aktif dapat diatasi dengan adanya bantuan daripada anggota JKKK yang aktif. Namun cadangan ini dilihat praktikal kepada beberapa buah JKKK yang terletak berhampiran dengan
kawasan bandar kerana kebanyakan JKKK di kawasan luar bandar masih terletak berjauhan antara sebuah kampung dengan sebuah kampung lain.

Terdapat juga cadangan untuk mengkaji semula keberkesanan JKKK atau menyesuaikan peranan JKKK dengan keadaan setempat. Melalui cara ini, JKKK tidak akan “ketandusan idea” untuk membangunkan sesebuah kawasan. JKKK harus melihat kemungkinan untuk memperluaskan peranan mereka dengan tidak hanya menjaga hal-ehwal ekonomi dalam kampung mereka.

Sebagai contoh, JKKK yang bersempadanan dengan negara jiran perlu memikirkan cara bagaimana untuk bersama-sama meningkatkan tahap keselamatan di kawasan mereka. Memang tidak dinafikan, terdapat agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan dan kebajikan tetapi alangkah baiknya masyarakat turut terlibat sama dalam setiap aktiviti yang dijalankan serta merencanakan kejayaan kampung mereka.

Sebahagian besar masalah JKKK tidak aktif yang dikenalpasti adalah berpunca daripada sikap JKKK itu sendiri. Kebanyakan mereka masih tidak mempunyai “ilmu” untuk memimpin JKKK. Masalah-masalah lain seperti kurangnya komunikasi ahli JKKK dengan agensi pelaksana seperti pejabat daerah dan agensi kerajaan turut menyumbang kepada kurang keberkesanan JKKK yang dipimpin.

JKKK juga harus mengambil perhatian yang serius ke atas penyelenggaraan kemudahan-kemudahan asas yang diperolehi di samping memastikan tiada penduduk kampung yang tersisih daripada menerima nikmat pembangunan

JKKK juga tidak berupaya mewujudkan “networking” yang pastinya berakhir dengan kegagalan membangunkan kampung mereka kerana pembangunan sesebuah kawasan memerlukan kerjasama dan bantuan semua pihak. Pelantikan JKKK yang terdiri daripada golongan muda yang berpendidikan juga dilihat ada rasionalnya. Ini kerana terdapat pelbagai cabaran dan permasalahan baru perlu ditempuh oleh JKKK.

Melalui penglibatan golongan muda, JKKK “versi baru” ini, diharap dengan kebijaksanaan mereka dapat mengerakkan sektor industri kecil dan sederhana dengan penggunaan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Namun masalah untuk menarik golongan muda untuk menyertai JKKK terutama di kawasan luar juga masih menghadapi masalah. Ini kerana kebanyakan golongan JKKK tidak berminat untuk menyertai JKKK di samping kebanyakan golongan muda lebih berminat untuk mencari pekerjaan di bandar.

Syarat untuk memilih JKKK juga perlu dinilai semula kerana terdapat di kalangan ahli JKKK yang tidak mengetahui peranan dan tugas masing-masing malah ada yang tidak mengetahui struktur JKKK itu sendiri. Kita tidak dapat menyalahkan ahli JKKK ini kerana rata-rata mereka terdiri daripada mereka yang mempunyai pendidikan yang rendah serta didominasikan oleh golongan tua.

Namun tidak salah sekiranya kita mempelajari kejayaan “rakan JKKK” kita di Semenanjung Malaysia yang sudah wujud percantuman idea antara golongan muda dan tua. JKKK harus berfikiran terbuka dan sanggup menerima pendapat masing-masing. Golongan tua boleh dijadikan sebagai pembimbing atau penasihat untuk JKKK mereka manakala golongan muda dilihat sebagai pencetus idea baru dan pengerak kemajuan sesebuah kampung itu.

Begitu jugalah kesungguhan yang ditunjukkan Kerajaan Negeri Sarawak yang prihatin untuk membantu JKKK di negeri ini yang lemah untuk “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan JKKK yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Melalui Angkatan Zaman Mansang dengan kerjasama Pejabat Ketua Menteri, Unit Pembangunan Sumber Manusia telah melatih anggota JKKK di seluruh negeri Sarawak dalam mentadbir dan mengurus organisasi dengan berkesan.

Program yang bermula dari tahun 2002 hingga tahun 2004 telah berjaya melatih sejumlah 2,807 orang ahli JKKK daripada 572 buah JKKK. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah berkata bahawa pemimpin akar umbi ini perlu sentiasa meningkatkan kualiti kepimpinan masing-masing dengan menimba pelbagai ilmu pengetahuan dan belajar daripada pengalaman JKKK lain yang berjaya.

JKKK digalakkan menggunakan pelbagai platform pembangunan bagi meningkatkan keberkesanan JKKK antaranya seperti memanfaatkan Gerakan Daya Wawasan, menyertai Komuniti Bestari, menggunakan kemudahan Medan Info Desa (MID) atau kelas literasi Komputer dan sebagainya.

Keprihatinan kerajaan dapat dilihat apabila kerajaan menyediakan peruntukan yang besar untuk pembangunan kawasan luar bandar. JKKK di negeri Sarawak tidaklah jauh ketinggalan kerana kita mempunyai contoh kejayaan “terdekat” iaitu JKKK Long Bedian.

Walaupun terletak agak jauh di pedalaman namun ia tidak pernah menghalang JKKK ini untuk berdikari. Berkat kerjasama masyarakat serta kebijaksanaan ahli JKKK mengatur strategi, mereka mampu membina sendiri dewan, mempunyai Unit Kedai Berpusat Komersil, membina blok perumahan komersil dan yang terkini menjana ekonomi melalui program homestay di Sungai Tenyok.

JKKK yang aktif akan memberi kesan yang positif terhadap pembangunan sesebuah kawasan. Mungkin sudah tiba masanya, untuk JKKK di negeri ini
melakukan penilaian dan perubahan besar di kalangan JKKK dan ahli masing-masing. Keberkesanan JKKK ini harus diambil perhatian segera kerana jika
dibiarkan berlarutan ia pastinya menjejaskan usaha untuk membangunkan sesebuah tempat atau kawasan.
 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998