Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
JKKK Harus Relevan Bagi Menjayakan Agenda Pembangunan Masyarakat

Ahli JKKK juga perlu peka dengan keperluan semasa seperti menguasai ICT

Pelaksanaan program pembangunan kerajaan memerlukan sokongan dan kepimpinan teguh di peringkat masyarakat untuk memajukan program-program seperti pendidikan, sosio-ekonomi, kebudayaan, sukan dan rekreasi, keagamaan, kesihatan, pembangunan dan keselamatan.

Menyedari keperluan ini, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), sebagai satu badan yang dibentuk di peringkat kampung yang berperanan sebagai penghubung dalam struktur masyarakat untuk mengeratkan hubungan antara kerajaan dan rakyat.

Penggemblengan tenaga dan usaha antara rakyat dan kerajaan amat penting untuk pembangunan. Ini kerana dasar serta perancangan pembangunan kerajaan berkehendakkan tanggapan, penerimaan, kerjasama dan tindakan positif masyarakat.

Penubuhan JKKK

Penubuhan JKKK direstui kerajaan seperti termaktub dalam Arahan No 3, Rancangan Pembangunan Negara dan Luar Bandar tahun 1962. Pada peringkat awal jawatankuasa ini dinamakan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK).

Memikirkan keperluan dan tanggungjawab jawatankuasa ini yang semakin bertambah maka JKK diperkemaskan semula melalui Gerakan Maju (1966), Jaya Diri (1968) dan Gerakan Pembaharuan (1972). Majlis Keselamatan Negara mengenai Rukun Tetangga dan Rancangan Perhubungan Masyarakat kemudian mengubah JKK menjadi JKKK pada Ogos 1975.

Selaras dengan pertukaran nama itu tanggungjawab badan berkenaan turut ditingkatkan. Secara terpericinya antara tugas JKKK adalah membabitkan
pentadbiran, pembangunan, ekonomi, pendidikan, kesihatan, keagamaan dan kerohanian, Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan keselamatan.

Melihatkan tugas serta tanggungjawab itu jelaslah JKKK adalah sebuah organisasi yang penting di peringkat akar umbi ini sebagai mata dan telinga kerajaan bagi memastikan kesinambungan pembangunan, khususnya di kampung-kampung di seluruh Negara ini terus terlaksana.

Penambahbaikan JKKK

Kawasan kampung yang bersih dan tersusun patut dijadikan
agenda utama pembangunan JKKK


Maka, kerana kepentingan inilah, Timbalan Setiauasaha Kerajaan Negeri, Datu Haji Salleh Haji Sulaiman baru-baru ini mengingatkan semua Pejabat Residen di negeri ini untuk menghantar kertas cadangan berkenaan struktur baru serta syor bagi penambahbaikan JKKK ke Bahagian Pentadbiran dan Perhubungan Awam, Jabatan Ketua Menteri untuk tindakan segera.

Menurut beliau, tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha pemangkin pembangunan kawasan luar bandar, ini kerana pada masa dan ketika ini perubahan bagi mewujudkan sebuah JKKK yang berkesan, aktif serta mampu membawa perubahan adalah amat perlu untuk menjamin ‘keberlangsungan’ pembangunan di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, Datu Haji Salleh juga dengan tegas pernah menyarankan semua Pejabat Residen untuk menubuhkan jawatankuasa pemantau dan jawatankuasa penasihat bagi membantu kerajaan dalam usahanya untuk memajukan kampung dan rumah panjang di negeri ini.

Beliau berkata, jawatankuasa pemantau ditubuhkan bertujuan memantau secara berkala kampung dan rumah panjang yang pernah mencapai kejayaan supaya kecemerlangan kampung dan rumah panjang dapat dikekalkan.

Katanya, jawatankuasa penasihat adalah untuk memberi khidmat nasihat kepada kampung dan rumah panjang yang belum berjaya dalam menggunakan kaedah betul untuk membangunkan kampung dan rumah panjang dan jawatankuasa itu boleh dianggotai jabatan yang berkaitan.

“Kepada semua Residen adalah disarankan supaya menggunakan kampung dan rumah panjang yang telah menang pada peringkat Bahagian atau Negeri, sebagai model atau “benchmark” untuk memajukan kampung dan rumah panjang lain di Bahagian atau daerah masing-masing selaras dengan perancangan pembangunan di Bahagian masing-masing,” katanya.

Menurut Datu Haji Salleh, antara masalah JKKK yang telah dikenalpasti ialah kadar buta huruf, static mindset serta kepimpinan yang lemah dan tidak aktif, yang mana ini banyak membawa pengaruh negatif kepada keberkesanan dan kemampuan mereka dalam memimpin ‘anak buah’ mereka.

Kepimpinan JKKK

Jelasnya, senario kepimpinan JKKK kini didapati tidak begitu menggalakkan, hampir semua pembangunan luar bandar yang dipimpin oleh JKKK jauh ketinggalan berbanding dengan kawasan bandar. Pemimpin di peringkat JKKK selalu bertelagah sesama sendiri dan sukar untuk mencapai kata sepakat.

Selain itu, sumber tempatan seperti tenaga manusia, peluang pasaran, harta atau peralatan dan kewangan tidak dimanfaatkan atau terbiar begitu sahaja.
Selain itu tidak ramai yang boleh dikategorikan sebagai tenaga mahir. JKKK juga tidak mampu membuat keputusan atau membawa penyelesaian yang boleh membina. Kadang-kadang wujud situasi di mana seseorang itu memegang terlalu banyak jawatan, di samping hampir semua JKKK tidak dibekalkan dengan kemahiran mengurus kumpulan atau projek.

Pemasalahan ini membantutkan usaha kerajaan untuk mencapai hasrat bagi membangunkan kawasan luar bandar. Jelasnya aspek kemampuan dan kepimpinan di peringkat JKKK ini perlu diberi perhatian dan diperbaiki bagi memastikan mereka mampu memainkan peranan yang sepatutnya di peringkat akar umbi.

Pembangunan dari Peringkat Akar Umbi

Kawasan kampung yang bersih dan tersusun patut dijadikan agenda utama pembangunan JKKK

Ini penting kerana pembangunan keluarga, kampung dan masyarakat keseluruhannya seharusnya bermula dari peringkat akar umbi. Dan jika pucuk kepimpinan diperingkat akar umbi ini masih lemah serta tidak teratur dari segi semangat, mental dan juga kemahiran maka ini akan menyukarkan usaha penyebaran pembangunan ke serata negeri ini.

Sebelum ini ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada johan Pertandingan Desa Cemerlang 2003 lalu, Datu Haji Salleh berkata kampung dan rumah panjang yang telah berjaya perlulah sanggup berkongsi pengalaman tentang kejayaan mereka.

Di samping itu mereka juga seharusnya bersedia untuk membantu (sebagai perunding) dengan menyumbang idea dan kepakaran yang dimiliki kepada kampung dan rumah panjang lain jika diperlukan.

Katanya, dengan berbuat demikian, diharap kecemerlangan dan keindahan yang dicapai dapat membantu mewujudkan kawasan atau sesebuah wilayah itu menjadi rangkaian kampung atau rumah panjang yang cemerlang dan indah.

Dokumentasi Aktiviti

Beliau juga berkata maklumat dan aktiviti kampung dan rumah panjang yang berjaya seharusnya didokumentasikan dan dijadikan panduan serta bahan pembelajaran kepada kampung dan rumah panjang lain.

Katanya, ini penting supaya hasrat kerajaan untuk memajukan negara amnya dan negeri Sarawak khususnya akan dapat dicapai terutamanya dalam memajukan kawasan di luar bandar.

Datu Haji Salleh berkata untuk menjadikan kampung dan rumah panjang yang cemerlang, sesebuah kampung dan rumah panjang itu perlu mempunyai beberapa kriteria tertentu.

Sehubungan itu, katanya, JKKK perlulah memainkan peranan penting. “JKKK hendaklah dijadikan sebagai forum untuk membincangkan rancangan, isu
dan masalah yang berkaitan dengan pembangunan, pentadbiran dan keselamatan kampung dan rumah panjang.”

Namun walaupun banyak JKKK di negeri ini yang dianggap gagal dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka, ada juga yang berjaya dengan cemerlang misalnya Kampung Selanyau di Sibuti.

Kampung yang terletak kira-kira enam (6) km dari Pekan Bekenu ini telah dianugerahkan sebagai Desa Cemerlang 2003 peringkat negeri Sarawak bersama dengan Rumah Panjang Ejan, Bakong (Daerah Marudi), kedua-dua kampung ini terletak dalam Bahagian Miri.

Berikutan kejayaan itu, Kampung Selanyau telah menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta dengan projek bernilai RM40,000 daripada kerajaan.

Menurut, Ketua Kaum Encik Jumat Mail, Kampung Selanyau telah memenangi pelbagai hadiah sejak tahun 1992 lagi, “berkat kerjasama” kesemua 116 keluarga dari 96 buah rumah. Dan khususnya ia dijayakan melalui kepimpinan JKKK yang berkesan dan aktif.

Pada tahun lepas juga Kampung Selanyau telah menjadi johan Pertandingan Desa Cemerlang peringkat negeri selain johan di peringkat Bahagian Miri.

Dengan kejayaan demi kejayaan kini di Kampung Selanyau juga telah diwujudkan Medan Info Media (MID) oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Kejayaan Kampung Selanyau adalah contoh keberkesanan kepimpinan JKKK yang mantap, cemerlang serta berkarisma dan pencapaian ini boleh dijadikan sebagai contoh serta tauladan bagi melahirkan satu bentuk kepimpinan JKKK yang cemerlang.

Dengan itu, JKKK yang ada diwujudkan di kampung-kampung di seluruh negeri ini perlu dipimpin secara lebih dekat dan terancang bagi memastikan lahirnya kepimpinan yang mantap serta berdaya maju. Selain itu, JKKK juga perlu melaksanakan usaha ke arah menyusun semula organisasinya.

Oleh demikian, Datu Haji Salleh berharap isu berkaitan ‘ketidakmampuan’ dan ‘ketidakberkesanan’ JKKK ini dapat diatasi segera melalui usaha berkenaan bagi kepentingan penduduk serta pelaksanaan pembangunan setempat.

Tegas Datu Haji Salleh, kertas cadangan serta syor penambahbaikan yang dihantar oleh Pejabat Residen itu nanti juga diharap akan dapat dijadikan panduan dalam usaha ‘menghidupkan’ semula JKKK di negeri ini.

Pekeliling dan garis panduan yang digunapakai sejak 1998 lalu sudah tidak relevan lagi kini disebabkan perubahan semasa di negeri ini, maka adalah amat perlu satu pekeliling dan garis panduan baru bagi memastikan wujudkan sebuah organisasi kepimpinan di peringkat akar umbi yang mampu serta berkesan dalam usahanya membantu melancarkan pembangunan di kawasan terpencil.

Tambah, Datu Haji Salleh geran sebanyak RM500 bagi tujuan mengadakan mesyuarat serta melaksanakan pelbagai kegiatan lain akan diberikan kepada JKKK yang aktif, namun ini akan bergantung kepada laporan bulanan serta syor daripada Pejabat Residen berkaitan.

Sepanjang tahun lalu (2004) Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM88,000 kepada 77 organisasi JKKK yang bergiat aktif melaksanakan tugas mereka daripada keseluruhan 3,451 JKKK yang ada berdaftar di negeri ini, kini.

Bagaimanapun Datu Haji Salleh berharap pihak JKKK akan bergerak lebih aktif dalam melaksanakan tugas mereka dengan sempurna dan cemerlang dalam semua pelbagai bentuk pembangunan untuk masyarat baik dalam bidang agama, pendidikan serta kegiatan social, mungkin turut membabitkan diri dalam usaha mencari dan menyelamat (jika diperlukan).


Kriteria JKKK yang Cemerlang:

1. Mengutamakan kebersihan dan kesihatan,
2. Meningkatkan keindahan dan keceriaan,
3. Memajukan sektor ekonomi kampung,
4. Meningkatkan tahap pendidikan dan latihan kemahiran,
5. Menguasai teknologi maklumat dan komunikasi,
6. Menekankan aktiviti rohaniah dan sivik,
7. Meningkatkan aspek kepimpinan dan mempelbagaikan aktiviti kemasyarakatan
8.Meningkatkan kreativiti dan penyertaan penduduk.

 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998