Berperanan Sebagai Pusat Perkembangan Sosio Ekonomi Bahagian
 |
| Pokok getah
mercu tanda Daerah Betong |
Daerah Betong yang seluas kira-kira 2,388 km persegi merupakan salah satu daripada
daerah yang terletak di dalam Bahagian Betong. Pentadbiran daerah itu terbahagi
kepada empat daerah kecil iaitu Spaoh, Debak, Pusa dan Maludam.
Berdasarkan perangkaan pada tahun 2000, penduduk Betong berjumlah kira-kira
51,426 orang. Rekod terbaru Pejabat Daerah Betong menunjukkan bahawa populasi
di daerah itu kini telah meningkat kepada kira-kira 55,625 orang.
Sejarah Pentadbiran Daerah
Pentadbiran rasmi untuk Daerah Betong bermula pada tahun 1927 apabila A.L.M
Honore dilantik sebagai Pegawai Daerah yang pertama. Dalam era Brooke itu, urusan
pentadbiran dikendalikan di Kubu Lily yang sekarang ini terus dipelihara sebagai
bangunan bersejarah.
Pada tahun 1975, pusat pentadbirannya dipindahkan ke bangunan yang sekarang
ini telah diubahsuai menjadi bangunan Majlis Baerah Betong sehingga pada tahun
1990. Selepas itu, ia berpindah lagi ke bangunan yang diduduki pada masa ini.
Seramai 42 orang Pegawai Daerah yang pernah berkhidmat di sana sehingga kini.
Pembangunan Terancang
Dalam RMK-8, Daerah Betong telah diperuntukan hampir RM453 juta daripada sumber
peruntukan negeri, persekutuan dan lain-lain. Daripada jumlah berkenaan, peruntukan
terbanyak adalah untuk sektor pengangkutan dan komunikasi iaitu sebanyak 62.2
peratus.
Antara projek pembangunan yang utama yang telah dirancangkan di daerah itu ialah
pembinaan Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri dan Kompleks Pejabat Kerajaan Persekutuan
yang baru dan naik taraf Jalan Ulu Anyut.
Tiga buah projek bekalan air yang utama juga sedang dalam pelaksanaan iaitu
Bekalan Air Wilayah Betong dengan nilai skim RM30 juta dan Bekalan Air Wilayah
Pusa dengan skim RM800 ribu yang akan meningkatkan prasarana untuk kemudahan
awam.
Setakat ini, semua loji rawatan air di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya yang
ada di daerah itu mampu merawat sebanyak 6.04 juta liter air sehari. Sungguhpun
demikian, keperluan sekarang hanya memerlukan loji-loji berkenaan merawat kira-kira
4.76 juta liter air sehari. Sebanyak 5,596 buah rumah telahpun mendapat kemudahan
bekalan air itu.
Penggunaan tenaga elektrik yang dibekalkan oleh SESCo mencapai 11,694 mega watt
sejam dalam tahun 2000. Namun, angka berkenaan dijangka terus meningkat
sehingga kira-kira 17,620 mega watt sejam pada tahun 2005 memandangkan populasi
dan aktiviti ekonomi yang kian meningkat. Sehingga 2002, sebanyak 8,946 buah
rumah telahpun mendapat bekalan elektrik daripada SESCo.
Pembangunan sumber manusia juga tidak diketepikan. Kini terdapat 44 buah sekolah
rendah di daerah itu dengan bilangan pelajar seramai kira-kira 10 ribu orang
dan tujuh buah sekolah menengah dengan 5,202 orang pelajar.
Betong juga mempunyai sebuah sekolah teknik selain daripada yang terdapat di
Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri. Namun, keunikannya ialah ia merupakan sekolah
teknik yang terletak jauh dari bandar. Tidak lama lagi, daerah ini juga akan
mempunyai sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang telah diberi peruntukan
sebanyak RM56.50 juta untuk dilaksanakan di bawah RMK-8.
Pertanian Sektor Utama
Pembangunan kawasan luar bandar terutamanya pembangunan tanah melalui pertanian
komersil telah dijadikan fokus pembangunan Daerah Betong memandangkan keadaan
tanah yang amat sesuai untuk penanaman pelbagai jenis tanaman. Setakat tahun
lalu, kira-kira 67, 686 hektar tanah telah digunakan untuk tujuan pertanian
di daerah berkenaan. Kebanyakannya untuk tanaman kelapa sawit, getah dan padi.
Usaha pembangunan ladang kelapa sawit yang dijalankan oleh SALCRA, FELCRA dan
pihak swasta lain melalui Program Pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR)
telah banyak membantu memajukan ekonomi masyarakat di kawasan luar bandar.
Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) Kalaka-Saribas yang melibatkan
kira-kira 1,610 hektar tanah merupakan antara projek pertanian yang amat berjaya
mengubah kualiti hidup masyarakat di Daerah Betong. Selain itu, potensi Pusat
Pertumbuhan Desa Beladin dan Ng. Spak/ Mid-Layar juga tidak harus diketepikan
memandangkan komitmen kerajaan terhadap kawasan ini adalah untuk jangka panjang
dan telah diberi peruntukan yang besar di dalam RMK8.
Keadaan itu turut menjadikan sektor pertanian sebagai penyumbang utama kepada
pendapatan penduduk di sana memandangkan kira-kira 48 peratus daripada populasinya
bergiat dalam bidang pertanian. Sektor perikanan pula terdiri daripada 35 peratus
penduduk, industri kecil-kecilan (6 peratus), perkhidmatan (6 peratus) dan pembuatan
serta pembinaan (5 peratus).
Keunikan
Daerah Betong terkenal dengan sejarah perjuangan kaum peribuminya menentang
penjajahan orang luar seperti Rentap dengan Peristiwa Bukit Sadok, Sharip Masahor
dengan Pertempuran Beting Maro, Datuk Patinggi Udin, Abang Abdul Kadir, Abang
Godam dan Datuk Patinggi Kedit.
Artifak perjuangan Rentap dapat dilihat di Bukit Sadok (Tugu Peringatan Bukit
Sadok) dan sebuah Meriam lama yang dikenali Bujang Timpang Berang
pula telah ditempatkan di pejabat Daerah Betong.
Bukan setakat itu, daerah ini juga mempunyai banyak tempat bersejarah seperti
Kubu Lily, Makam Datuk Patinggi Kedit di Perkuburan Islam Seruai (Spaoh), Makam
Puteri Lagenda Brunei Dayang Isah Tandang Sari di Kampung Kalok (Pusa), Makam
Datuk Temenggong Kadir di Kampung Kalok (Pusa), Makam Datuk Gudam (golongan
pembesar pertama yang membuka penempatan di Pusa) di Kampung Kalok (Pusa) dan
Tugu Peringatan Pertempuran Beting Maro di Kampung Beting Maro (Pusa).
Turut menjadi perhatian ialah perkampungan nelayan Beladin yang merupakan perkampungan
tradisi Melayu terbesar di Sarawak dan tapak Pesta Ikan Buntal di Kampung Manggut,
Spaoh.
Jika datang ke sini pastinya pengunjung akan mula menyedari bahawa identiti
Bandar Betong sebenarnya ialah replika Burung Punai, selain daripada replika
pokok getah yang terletak di tengah bandar berkenaan. Daerah Kecil Spaoh pula
mempunyai replika Ikan Buntal dan Daerah Kecil Pusa dengan replika Ikan Teruboknya.
Makanan masyarakat tempatannya juga istimewa seperti pansoh, produk
ikan buntal (pais, buntal masin dan telur buntal), produk apong (gula, garam
dan air sadap) dan produk sago (suman).
Melalui perancangan dan usaha rapi yang telah dilakukan oleh pihak
kerajaan untuk memajukan daerah berkenaan, tidak mustahil ia akan membangun
lebih cepat daripada yang dijadualkan. Kini bergantung kepada keupayaan agensi-agensi
kerajaan dan sokongan daripada masyarakat untuk memastikan harapan seluruh ahli
masyarakat di sana untuk menjadi realiti suatu hari nanti.
| Visi Pentadbiran Pejabat Daerah Betong |
| Menjadikan Daerah Betong sebuah daerah
yang dinamik, maju, bersih, indah serta seimbang dari segi pembangunan fizikal
dan rohani menjelang Tahun 2020 selaras dengan seruan kerajaan. |
| |
|
| Destinasi |
Jarak (km) |
| Betong-Spaoh |
46 |
| Betong-Debak |
52 |
| Betong-Pusa |
70 |
| Betong-Maludam |
70* |
| *sehingga Pusa dan menggunakan pengangkutan
air ke Maludam |
| |
|
| Ahli Dewan Undangan Negeri |
| N.26 Saribas |
YB Dr. Hj. Wahbi Hj. Junaidi |
| N.27 Layar |
YB Tan Sri Datuk Amar Alfred Jabu
ak Numpang |
| N.20 Sebuyau |
YB Julaihi Narawi |
| N.21 Beting Maro |
YB Hj Bolhassan Hj Di |
| |
| Ahli Parlimen |
| P.178 Betong |
YB Datuk Douglas Uggah ak Embas |
| P.177 Batang Lupar |
YB Dato Wan Junaidi Tuanku
Jaafar |
|