|
State Secretary's View
Tahun lepas, kita menyaksikan satu peralihan kuasa di peringkat
tertinggi dalam kerajaan kita YAB Datuk Patinggi Abdullah Haji Ahmad Badawi telah
mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Malaysia daripada Tun Dr. Mahathir
Mohamad. Kita yakin dan menyokong penuh Perdana Menteri yang baru ini untuk
terus memacu pembangunan negara selaras dengan hasrat yang termaktub dalam Wawasan
2020.
Sungguhpun demikian, tidak dapat dinafikan, pembangunan dan
kemajuan yang ingin kita capai itu bukan ibarat sesuatu yang pipih datang melayang
dan yang bulat datang bergolek.
Pelbagai cabaran harus kita hadapi. Perubahan struktur dalam
ekonomi dunia yang secara langsung menyaksikan kemunculan banyak negara pesaing baru kepada barangan dan perkhidmatan yang kita tawarkan dan pelbagai lagi tidak
dapat kita pandang enteng.
Maka untuk terus berdaya saing, kita harus mengambil tindakan
yang aktif dan proaktif bagi memastikan ekonomi negara kita akan terus kukuh
dan
berkembang.
Dalam hal ini, perkhidmatan awam dapat memainkan peranan
utama membantu kerajaan dan negara ini mencapai pertumbuhan ekonomi yang mapan melalui sistem penyampaian (delivery system) yang cekap, berorentasikan pelanggan,
bebas atau kurang birokrasi, sifar rasuah dan profesional dalam
menjalankan setiap urusan.
Perkara ini mudah disebut, namun tidak semudah itu untuk
dilaksanakan tetapi tidak mustahil untuk dicapai. Pelbagai usaha telah dilakukan
oleh kerajaan (Persekutuan dan Negeri) termasuklah menggubal serta melaksanakan
sistem pembangunan dan pengurusan sumber manusia yang lebih praktikal dengan
keperluan semasa.
Di samping itu beberapa proses kerja, prosedur dan peraturan
telah dikaji semula agar lebih mudah dan mesra pelanggan. Semua ini sebenarnya
adalah perkakasan (hardware) sahaja. Seperti sebuah komputer, kita boleh tambah
atau gandingkan dengan pelbagai perkakasan baru dan canggih, namun semua itu
tidak bermakna jika perisiannya (software) tidak dipertingkatkan.
Dalam perkhidmatan awam perisian yang dimaksudkan itu ialah
minda, sikap, tanggapan serta tahap keupayaan penjawat awam.
Mengubah minda, sikap serta tanggapan manusia sememangnya
rumit, seperti yang pernah diungkapkan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Patinggi
Abdullah : Sekiranya kita berjaya mengubah minda dan sikap manusia, cabaran
lain mudah diatasi. Namun, kita lebih mudah menganjakkan bukit, mengubah haluan
sungai, mendirikan bangunan pencakar langit, dan merobohkan struktur gergasi,
daripada mengubah minda dan sikap manusia.
Walaupun usaha ini rumit, usaha mesti diteruskan bak kata
pepatah : belakang parang kalau diasah sekalipun akan tajam jua akhirnya; sekeras-keras
kerak nasi, direndam, lembut jua akhirnya.
Era kini kita hidup dalam serba canggih terlalu banyak
peralatan atau perisian yang membantu memudahkan kehidupan serta tugasan seharian
kita dan
sememangnya fitrah manusia, kita inginkan yang terbaik sepanjang masa. Maka
kerana itu dari semasa ke semasa pelbagai teknologi baru dimajukan untuk memudahkan
kehidupan seharian kita. Untuk mencipta teknologi baru, kita perlu berubah serta
melengkapkan diri dengan ilmu agar ianya dapat menajamkan minda kita yang pada
akhirnya dapat mencetuskan idea yang praktikal dan bermanfaat bukan sahaja untuk
diri kita malah untuk orang lain.
Secara logiknya, jika kita inginkan semua yang serba canggih
itu, maka adalah logik juga kita memiliki minda, sikap, tanggapan dan keupayaan
yang
canggih. Kerana jika tidak, secara fizikal, minda, sikap, tanggapan dan keupayaan
yang kita miliki kini sudah obsolete!
Sungguhpun demikian tidak dinafikan masih terdapat segelintir
di kalangan penjawat awam yang sukar dan enggan berubah
sikap.
Sungguhpun bilangan mereka ini tidak ramai, namun mereka
ini tidak ubah seperti nila setitik dalam susu sebelanga.
Kesan negatif yang mereka tunjukkan itu boleh
mempengaruhi anggota pekhidmatan awam yang lain dan jika ini tidak dibendung,
situasi ini mungkin akan merebak ke seluruh sistem perkhidmatan awam dan lambat-laun
akan melumpuhkan sistem kita.
Apabila ini berlaku semua kita akan rugi rugi kerana
kita akan terpaksa menghabiskan banyak masa, tenaga dan wang untuk membetulkan
keadaan sedangkan masa, tenaga dan wang yang terlibat boleh kita gunakan untuk melaksanakan
pelbagai program dan pembangunan untuk kebaikan kita semua.
Kerajaan (Persekutuan dan Negeri) sedar akan perkara ini
dan maka kerana itu beberapa langkah telah diambil (misalnya menjadikan pengisytiharan
harta suatu kemestian dan juga penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan di
peringkat Persekutuan dan Negeri) dengan harapan dapat menghapuskan segala macam
gejala yang tidak sihat dalam sektor awam.
Usaha ini diyakini mampu menghidupkan dan menyemarakkan budaya
berintegriti di kalangan penjawat awam yang akhirnya akan meningkatkan bukan
sahaja imej malah kecekapan dan keupayaan perkhidmatan awam kita untuk memberikan
perkhidmatan yang terbaik .
|