| |
| Online Publisher: |
 |
| |
| Contents provided by: |
 |
| |
|
|
Long Lama, daerah kecil yang terbesar dengan keluasan merangkumi
19,300 km persegi meliputi kawasan yang kaya dengan khazanah alam semulajadi.
Long Lama, adalah salah sebuah daripada empat daerah kecil yang melengkapkan peta
pentadbiran Bahagian Miri, selain Bekenu, Niah dan Beluru.
Di daerah kecil ini, terdapat beberapa tarikan pelancongan antaranya Taman Negara
Mulu, Loagan Bunut dan sebagainya. Inilah yang menjadikan daerah kecil ini begitu
unik berbanding dengan daerah kecil yang lain di Sarawak
Malah di sini juga, terletaknya Kampung Long Bedian yang telah menjuarai Pertandingan
Ilham Desa, Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur yang menjadi kebanggaan rakyat
Sarawak kerana ia menjadi contoh kepada pembangunan kawasan luar bandar.
Identiti Long Lama
Daerah Kecil Long Lama dahulunya cukup terkenal dengan pengeluaran sarang burung.
Pengeluaran sarang burung sudah menjadi identitinya kerana kesesuaian alam semulajadi
dengan keseimbangan flora dan faunanya. Namun aktiviti pengeluaran sarang burung
ini sudah berkurangan.
Mengenali Daerah Kecil Long Lama
Kebanyakan kawasan atau penempatan di daerah kecil Long Lama ini dihubungi melalui
sungai. Maka, tidak hairanlah Daerah Kecil Long Lama ini mendapat nama daripada
sebatang sungai iaitu Sungai Lamah.
Di Pekan Long Lama terletaknya pusat pentadbiran Daerah Kecil Long Lama dan menjadi
pusat pertemuan peniaga dan penduduknya yang menjual hasil pertanian mereka. Walaubagaimanapun,
keadaan itu wujud selepas kewujudan Long Akah, yang kini tidak dapat menampung
bilangan penduduk yang ramai serta kawasan yang kurang sesuai. Ini bermakna Long
Lama telah mengambil alih peranan kawasan Long Akah suatu masa dahulu.
Sejarah pentadbiran kerajaan di Long Lama bermula pada tahun 1974 apabila Pejabat
Daerah Kecil Long Lama memulakan operasinya. Kini, Pejabat Daerah Kecil Long Lama
dikendalikan oleh SAO Encik Paul Joring Nyyon yang dibantu 9 kakitangan lain.
Penduduk
Mengikut Banci Penduduk & Perumahan 2000, terdapat seramai 17,269 orang penduduk
di Long Lama.
Komposisi penduduk di Long Lama ialah terdiri daripada orang Kayan iaitu 7,675
(44%) diikuti dengan orang Kenyah 6,610 (38%).
Seterusnya orang Penan 2,396 (14%), orang Cina 523 (3%) dan lain-lain 65 (0.4%).
Kegiatan Ekonomi
Kebanyakan penduduk di sini menjadikan pertanian (65%) sebagai sumber pendapatan
utama mereka. Selain itu, ada juga yang terlibat dalam sektor pembalakkan (16%),
sektor kerajaan (14%) dan Lain-lain (5%). Kebanyakan penduduk menjual hasil pertanian
mereka di Pekan Long Lama.
Bagaimana hendak ke sana?
Jenis pengangkutan utama ke Long Lama ialah menggunakan pengangkutan air iaitu
dengan bot ekspres atau perahu panjang. Kedudukan atau jarak Long Lama dari bandar
utama yang berhampiran seperti Marudi memakan masa perjalanan kira-kira 3 ½
jam menggunakan bot ekspres. Sesetengah kawasan di Long Lama boleh dihubungi dengan
menggunakan jalan pembalakkan dan jalan ladang.
Kemudahan asas di Long Lama
Walaupun Long Lama ini berkedudukan agak jauh di pedalaman, namun kemudahan asas
juga sentiasa ditingkatkan. Walaupun masih ada sebilangan kawasan yang belum menerima
kemudahan asas sepenuhnya, namun secara amnya Long Lama mempunyai jaringan jalanraya,
bekalan elektrik dan air. Kemudahan telefon pula hanya boleh dinikmati di Pekan
Long Lama.
Di sini juga, terdapat sebuah dewan masyarakat bagi kemudahan penduduk menjalankan
aktiviti kemasyarakatan mereka. Selain dewan masyarakat, Long Lama juga mempunyai
sekolah menengah (2 buah), sekolah rendah (25 buah) dan tadika (6 buah) yang dapat
memanfaatkan penduduk dari 62 buah rumah panjang dan 2 buah pekan kecil disekitarnya.
Kemudahan Lain
Pembangunan aspek sosial di kawasan luar bandar terutamanya Long Lama tidak pernah
diabaikan. Setakat ini, Long Lama mempunyai 10 buah klinik kesihatan dan 4 buah
klinik desa yang memberikan kemudahan kesihatan kepada penduduk. Manakala gereja
pula terdapat hampir di setiap rumah panjang.
Perkhidmatan Agensi Kerajaan Dan Swasta
Terdapat beberapa agensi kerajaan di Long Lama. Antaranya ialah Balai Polis, Jabatan
Kerja Raya (Bekalan Air), Jabatan Pertanian, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan
Pendaftaran Negara, Jabatan Hutan, Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (SESCo),
Pos Malaysia Berhad, Telekom Malaysia, Majlis Daerah Marudi (Perpustakaan Awam
dan Rumah Sakai).
Pembangunan di Long Lama
Antara projek dalam perancangan bagi meningkatkan pembangunan di Long Lama ialah
pelaksanaan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Long Lama. Pengujudan RGC, diharapkan
dapat mempercepatkan pembangunan di daerah kecil ini.
Projek Jalan Temala/ Long Lama dan Pangkalan Feri juga kini dalam proses perlaksanaan.
Tarikan Pelancongan Baru
Pusat Rekreasi Sungai Tenyok adalah satu tarikan baru di sini. Pusat rekreasi
yang mengambil perjalanan masa selama 40 minit dengan menggunakan kenderaan pacuan
4 roda dari Long Bedian ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan
Kampung (JKKK) Long Bedian. Pusat Rekreasi Sungai Tenyok tersebut mempunyai 3
buah chalet, sebuah pejabat dan air terjun yang menarik.
Pembangunan di Long Lama akan dapat ditingkatkan sekiranya mempunyai jaringan
pengangkutan jalan raya yang lebih baik. Ia akan memberikan pilihan kepada penduduk
untuk ke Long Lama selain menggunakan pengangkutan air.
Fakta Daerah Kecil Long Lama
| Keluasan |
19,300 km persegi |
| Populasi |
17,269 orang (Banci Penduduk & Perumahan 2000) |
| Komposisi Penduduk |
Kayan (44%), Kenyah (38%), Penan (14%),
Cina (3%) dan Lain-Lain (0.4%)
|
| Bilangan Rh. Panjang |
62 buah rumah panjang dan 2 buah pekan kecil |
| Aktiviti ekonomi |
Pertanian (65%), Pembalakan (16%), utama Sektor Kerajaan (14%) dan Lain-Lain
(5%)
|
| Perkhidmatan lain |
Balai Polis, Jabatan Kerja Raya (Bekalan Air), Jabatan
Pertanian, Jabatan Penerangan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Hutan,
Perbadanan PembekalanLetrik Sarawak (SESco), Pos Malaysia, Telekom, Majlis
Daerah Marudi
|
| ADUN / MP |
N.59 Telan Usan, YB Encik Lihan Jok
P.192 Baram, YB Encik Jacob Dungau Sagan,
P.193 Bukit Mas (sebahagian),
YB Encik Henry Sum Agung |
Pegawai Yang Pernah Berkhidmat Di Pejabat Daerah Kecil Long Lama
- Empeni Lang
- Jeffery Urse Iboh
- Ding Ibau
- Lawrence Dick Sekalai
- Emang Oyo Emang
- Alex Liau
- Langgong Ak Wasam
- Paul Joring Nyyon
|
|
|