Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
SSM : Kemajuan Kerjaya, Pergerakan Gaji Berlandaskan Kecekapan Seseorang

Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan mulai 1 November 2002 lalu meng-gantikan Sistem Saraan Baru (SSB) dijangka akan menyaksikan kemajuan kerjaya dan pergerakan gaji berlandaskan kepada kecekapan dan pengetahuan seseorang.
Melalui sistem kompetensi yang akan dilaksanakan, seseorang kakitangan awam itu akan berusaha untuk belajar dan sekaligus meningkatkan pengetahuan dan kemahirannya

Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata SSM akan memperkenalkan kaedah atau penilaian tahap kecekapan melalui peperiksaan atau kursus yang diwajibkan kepada semua 985,000 kakitangan awam.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata demikian selepas menemui wakil-wakil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di pejabat di Putrajaya baru-baru ini.

Tegasnya, prestasi kerjaya kini tidak lagi bergantung semata-mata kepada laporan prestasi tahunan ketua jabatan, yang menjadi faktor utama kajian semula SSB setelah kakitangan awam tidak berpuas hati dengan kaedah penilaian tersebut.

Perlaksanaan SSM juga membolehkan semua anggota perkhidmatan awam diberi peningkatan mata gaji meliputi Kumpulan Sokongan sebanyak RM15, Kumpulan Pengurusan & Profesional, RM65, dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi, RM110.

Semua anggota perkhidmatan awam juga diberi Bayaran Khas SSM iaitu RM220 bagi Kumpulan Sokongan, RM350 bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan RM650 bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi. Bayaran ini diberikan sekali sahaja dan dibayar pada bulan November 2002 lalu.

Bagi kira-kira 500,000 pesara kerajaan, mereka juga akan menikmati bayaran pencen selaras dengan pelaksanaan SSM.

Namun untuk tahun ini (2003), semua anggota perkhidmatan awam akan hanya diberi Pergerakan Gaji Biasa sahaja. Anjakan Gaji berdasarkan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dihasilkan dalam tahun 2003 akan dilaksanakan mulai tahun 2004.

Sejarahnya, SSB diperkenalkan pada 1 Januari 1992, antara lain ia memberi fokus kepada pembangunan kerjaya dengan pembayaran gaji mengikut produktiviti dan bersifat fleksibel, tetapi tidak digemari selepas pertengahan tahun 1990-an.

Berikutan itu SSB sering mendapat kritikan sejak tahun pertama diperkenalkan malah ia dipandang sebagai "Saya Sayang Boss" (SSB). Ini kerana sistem yang diperkenalkan bagi menggantikan skim perkhidmatan mengikut Laporan Gaji Jawatankuasa Kabinet (JKK I & II) itu dikatakan memberi kuasa terlalu besar kepada Ketua Jabatan.

Walaupun sebenarnya salah satu matlamat utama SSB ialah membantu membangunkan kerjaya kakitangan awam, tetapi ia tidak tercapai. Pekerja-pekerja berkenaan langsung tidak diberi peluang untuk menentukan nasib mereka sendiri. Harapan yang disasarkan tidak tercapai meskipun diadakan Kursus Induksi yang diperkenalkan bagi menggantikan Peperiksaan Perkhidmatan Awam mulai tahun 1991.

Antara kelemahan sistem lama ini ialah wujud perasaan tidak puas hati di kalangan kakitangan awam kerana sistem itu boleh membawa kepada perubahan secara langsung pergerakan gaji seperti memberi peluang kepada pemindahan gaji ke peringkat dua atau tiga untuk sekumpulan kakitangan yang kecil dalam sesebuah jabatan ataupun agensi.

Pergerakan ini sebenarnya bergantung kepada penilaian ketua-ketua jabatan. Jadi sesetengah kakitangan merasakan bahawa mereka yang mendapat gaji peringkat dua atau tiga, sebenarnya tidak mencerminkan prestasi kerja yang memuaskan. Jadi timbul perasaan amat tidak puas hati di kalangan kakitangan awam.

Perasaan itu bertambah buruk apabila hanya lima peratus anggota perkhidmatan awam yang kini berjumlah 960,000 orang layak menerima pergerakan gaji secara menegak dan melintang setiap tahun (satu jumlah yang menurut mereka terlalu sedikit).

Bagi menangani masalah berkenaan kesatuan-kesatuan sekerja mengesyorkan supaya diperkenalkan sekatan atau bar yang menentukan sama ada mereka boleh melepasi sekatan itu. Terserah kepada kakitangan itu sendiri menentukan sama ada hendak melepasi atau tidak, ataupun penentuan itu diserahkan kepada pekerja itu sendiri.

Apa pun adalah jelas bahawa setiap sistem saraan yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan sememangnya bertujuan menjaga kebajikan kakitangan awam pada keseluruhannya. Oleh itu, antara lain elemen penting SSM ialah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan pengenalan lima gred kenaikan pangkat tambahan bagi memperbaiki kemajuan kerjaya.

Sesuai dengan pelaksanaan PTK, Jadual Gaji Matriks bagi semua gred kenaikan pangkat diubah suai kepada dua peringkat sahaja.

Manakala lima gred yang diperkenalkan itu adalah; (i) Satu gred untuk kumpulan sokongan III berkelulusan Penilaian Menengah Rendah atau Sijil Rendah Pelajaran dan ke bawah, iaitu gred yang lebih tinggi daripada N13 yang ada sekarang; (ii) satu gred untuk kumpulan sokongan II berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia iaitu di lapisan atas daripada Gred N7; (iii) satu gred untuk kumpulan sokongan I berkelulusan diploma, Sijil Tinggi Persekolahan atau setaraf dengannya, iaitu di atas Gred N5.

Dua gred lagi ialah untuk kumpulan pengurusan dan profesional iaitu (iv) satu di atas Gred N3 dan (v) satu lagi di atas Gred N2.

SSM juga memperke-nalkan beberapa komponen baru dalam memperkukuh dan memantapkan usaha kerajaan ke arah melahirkan pasukan tenaga kerja kakitangan awam yang berpengetahuan sepanjang masa, mengambil usaha untuk meningkatkan tahap pengeta-huan masing-masing, yang sekali gus akan menentukan pergerakan gaji tahunan mereka.

Dalam lain perkataan, setiap kakitangan harus berusaha untuk belajar sepanjang masa dan mencari sumber-sumber pengetahuan bagi meningkatkan kemahiran serta melengkapkan diri mereka.

Kesatuan sekerja berpendapat bahawa kakitangan awam perlu diberi peluang untuk membolehkan mereka maju dalam kerjaya. Kakitangan tanpa mengira kedudukan dan pangkat akan diberi peluang untuk menentukan nasib mereka sendiri melalui peperiksaan.

Jika sistem kompetensi dilaksanakan, khususnya melalui sistem peperiksaan ataupun kursus, sekurang-kurangnya seseorang kakitangan awam akan berusaha untuk belajar.

Misalnya mengenai kemahiran menggunakan komputer, jurusan k-ekonomi atau Perintah Am. Semuanya perlu diketahui dan apabila diadakan peperiksaan, seseorang kakitangan tahu bahawa dia perlu lulus untuk menikmati peringkat gaji yang lebih tinggi.

Dalam hubungan ini salah satu elemen yang menarik dalam SSM ialah penubuhan panel pembangunan sumber manusia di setiap jabatan. Langkah ini sebenarnya menarik dan diharap akan mendatangkan manfaat kepada setiap kakitangan dan juga kepada negara dalam jangka panjang.

Secara amnya berikut adalah antara butiran penting pelaksanaan SSM :

1. Kerajaan bersetuju mengubahsuai Sistem Penilaian Prestasi. Untuk maksud mengawasi sistem penilaian ini, Panel Pembangunan Sumber Manusia ditubuhkan untuk setiap jabatan.

2. Bagi memperbaiki kemajuan kerjaya, lima lapisan gred kenaikan pangkat tambahan diwujudkan.

3. Sesuai dengan pelaksanaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), Jadual Gaji Matriks bagi semua gred kenaikan pangkat diubah suai kepada dua peringkat sahaja.

4. Semua anggota perkhidmatan awam akan diberi Bayaran Khas Sistem Saraan Malaysia iaitu Kumpulan Sokongan RM220, Kumpulan Pengurusan & Profesional RM350 dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi RM650.

5. Kadar elaun dan kemudahan akan diselaraskan kepada satu kadar sahaja bagi setiap gelaran gred baru.

6. Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal akan dibayar kepada empat skim perkhidmatan baru iaitu Pegawai Pergigian, Penolong Jurutera Laut, Pegawai Farmasi dan Penolong Pemeriksa Kilang dan Jentera.

7. Semua anggota tetap perkhidmatan awam akan diberi opsyen.(Kakitangan awam telah diberikan opsyen sama ada memilih SSM atau kekal di bawah SSB, dalam tempoh sebulan sebelum pelaksanaannya).


SSM Tawar Gaji Lumayan, Uji Kecekapan

Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) bermula November lalu, menawarkan anjakan gaji yang lumayan untuk kakitangan cemerlang di bawah pergerakan gaji tahunan.
Pelaksanaan SSM banyak memberi keuntungan kepada semua pihak

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri, kakitangan yang dikategorikan cemerlang akan mendapat pergerakan gaji daripada mata gaji di tangga berikutnya pada satu peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, kakitangan yang berada pada mata gaji maksimum pula mendapat pergerakan gaji daripada mata gaji semasa ke mata gaji di tangga yang sama pada satu peringkat yang lebih tinggi.
Untuk Anjakan Gaji Pertama, kakitangan perlu memenuhi lima syarat iaitu sah dalam perkhidmatan, lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), telah berkhidmat tidak kurang tiga tahun, mencapai prestasi yang baik serta diperakukan ketua jabatan.

Bagi Anjakan Gaji Kedua, kakitangan hanya perlu lulus PTK, memperoleh Anjakan Gaji Pertama tidak kurang satu tahun, mencapai tahap prestasi yang baik dan diperakukan Ketua Jabatan.

Perkara itu telah dihuraikan oleh Tan Sri Jamaluddin dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002 mengenai Pelaksanaan SSM untuk Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan.

SSM menawarkan pergerakan gaji biasa dan anjakan gaji di bawah pergerakan gaji tahunan, berbanding pergerakan gaji secara statik, mendatar, menegak dan melintang di bawah SSB.

Malah, banyak kelebihan akan dinikmati 985,500 kakitangan awam menerusi SSM kerana sistem baru itu menawarkan pakej penambahbaikan yang menyeluruh.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang sebelum ini dikaitkan dengan pergerakan gaji anggota Perkhidmatan Awam juga akan dilaksanakan dengan kaedah baru dengan penerima anugerah hanya menerima RM1,000 dan sijil.

Selain itu, lima lapisan gred baru juga akan diadakan bagi memberi ruang kewujudan jawatan mengikut gred yang sesuai dan membaiki peluang kemajuan kerjaya.

Satu gred untuk kumpulan sokongan III berkelulusan Penilaian Menengah Rendah atau Sijil Rendah Pelajaran dan ke bawah, iaitu gred yang lebih tinggi daripada N13 yang ada sekarang, satu gred untuk kumpulan sokongan II berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia iaitu di lapisan atas daripada Gred N7, satu gred untuk kumpulan sokongan I berkelulusan diploma, Sijil Tinggi Persekolahan atau setaraf dengannya, iaitu di atas Gred N5.

Dua gred lagi ialah untuk kumpulan pengurusan dan profesional iaitu satu di atas Gred N3 dan satu lagi di atas Gred N2, katanya.

SSM turut mengadakan penggelaran semula gred jawatan dan pengenalan gred gaji dengan penggelaran gred ditukarkan dengan angka 1 ditetapkan bagi gred terendah dan diikuti dengan angka yang lebih besar bagi gred yang lebih tinggi.

Dengan penggelaran gred yang baru ini Kumpulan Pengurusan dan Profesional kini digredkan dengan Gred N41, N44, N48, N52 dan N54 menggantikan N3, N2 dan N1.

Kumpulan sokongan I yang terdiri daripada Gred N6 dan N5 digantikan dengan N27, N32 dan N36, kumpulan sokongan II Gred N9 dan N7 digantikan dengan N17, N22 dan N26 dan kumpulan sokongan III Gred N13 digantikan dengan N1 dan N4.

Sementara itu, seramai 259,000 anggota perkhidmatan awam yang kini pada tahap gaji maksimum juga berpeluang dinaikkan ke tangga gaji baru berikutan penggelaran gred yang diwujudkan itu. Tarikh pergerakan gaji iaitu 1 Januari, 1 April, 1 Julai atau 1 Oktober termasuk anggota pada mata gaji maksimum diubah kepada 1 Januari mulai tahun ini.

Mengenai peningkatan mata gaji, seramai 847,239 atau 85.93 peratus kakitangan kumpulan sokongan akan menerima peningkatan sebanyak RM15; 137,641 atau 13.96 peratus kakitangan pengurusan dan profesional menerima sebanyak RM65; dan 1,087 atau 0.11 peratus kakitangan kumpulan pengurusan tertinggi menerima RM110.

Peningkatan mata gaji itu bertujuan menyelaraskan skim gaji baru SSM berikutan kemasukan lima gred baru dan mengelakkan pertindihan.

Berkenaan PTK yang mula dijalankan mulai tahun ini, ia bukan perkara yang sukar, tetapi bertujuan memastikan kakitangan memahami cara kerja dan apa yang harus diamalkan.

Pastinya pihak berkaitan tidak akan mengadakan peperiksaan di luar keupayaan seseorang kakitangan untuk mendudukinya, sebaliknya ruang lingkup peperiksaan itu akan berkaitan bidang kerja anggota perkhidmatan awam.

Sehubungan itu, semua 985,500 kakitangan kerajaan, termasuk yang masih di bawah skim Jawatankuasa Kerja Kabinet 1976 dan SSB telah diberi peluang untuk membuat opsyen (sekali saja) untuk memilih sama ada menyertai SSM atau kekal pada skim sedia ada. Tempoh sebulan telah di beri untuk membuat pilihan itu mulai 1 hingga 31 Oktober 2002 lalu.

Kakitangan yang tidak memilih SSM atau tidak menyerahkan borang opsyen kepada Ketua Jabatan sebelum atau pada 31 Oktober 2002 tanpa sebarang sebab yang munasabah, dianggap sebagai menolak tawaran SSM dan kekal dalam sistem saraan sedia ada.

Selain itu, sebarang opsyen yang dibuat bersyarat, dengan bantahan, pindaan serta tidak membuat opsyen akan disifatkan sebagai menolak tawaran itu.

JPA juga telah mengedar Kaedah Pekeliling Perkhidmatan Bil.4/2002 untuk kakitangan perkhidmatan awam, Kaedah Pekeliling Bil. 5/2002 untuk anggota polis dan Surat Makluman untuk anggota tentera mengenai pelaksanaan SSM ini kepada semua jabatan dan agensi kerajaan.

Kakitangan kerajaan perlu melihat skim perkhidmatan baru ini secara satu pakej keseluruhan dan keuntungan jangka panjangnya, bukan aspek tertentu atau keuntungan segera.

SSM mempunyai empat teras iaitu PTK, mempertingkat peluang pekerjaan, mengubah struktur gaji dan elaun serta penambahbaikan syarat perkhidmatan.


* Sumber: Temubual Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),

Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri siaran langsung "Malaysia Cemerlang" di TV1 (RTM).
 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998