| |
| Online Publisher: |
 |
| |
| Contents provided by: |
 |
| |
|
|
Pengenalan
 |
| Peta pentadbiran Bahagian Miri |
Bahagian Miri terletak di utara Negeri Sarawak. Keluasan bahagian ini adalah 26,777km
persegi atau 21.5 peratus daripada keluasan Negeri Sarawak. Pusat pentadbirannya
pula adalah Bandar Miri. Bandar Miri sebenarnya lebih terkenal dengan jolokan
'Bandar Minyak' kerana penerokaan telaga minyak pertama di Malaysia pada 10 Ogos
1910 di Bukit Kanada (Canada Hill) yang dikenali sebagai 'The Grand Old Lady'.
Sejarah
Menyingkap sejarah kewujudan Bahagian Miri, ia berlaku berikutan pergolakan politik
Sarawak pada pertengahan kurun ke-19. Hingga tahun 1840, Sarawak adalah di bawah
kekuasaan Sultan Brunei. Ekoran pemberontakan yang berlaku lewat tahun 1840-an
memaksa wakil Sultan Brunei iaitu Pengiran Muda Hashim meminta bantuan James Brooke
untuk menyelesaikannya. Sebagai balasan James Brooke memohon dilantik sebagai
Gabenor Sarawak dan memaksa Sultan Brunei menyerahkan Sungai Samarahan dan Sadong.
Dengan penguasaan itu, James Brooke meluaskan pengaruhnya ke daerah-dearah lain
termasuklah kawasan dari Tanjung Kidurung hingga ke Sungai Baram melalui pembelian
wilayah dari Kesultanan Brunei, yang meliputi bandar Miri. Pada 8 Februari, 1946
Charles Vyner Brooke telah mengumumkan penyerahan Sarawak kepada British. Seterusnya
British telah mengisytiharkan Sarawak sebagai Jajahan Mahkota British pada 1 Julai
1946.
Mengikut cerita orang tua-tua nama Miri diperolehi daripada satu kaum yang dipanggil
Kaum Mirik. Kaum ini telah mendiami lebih awal dan membuat penempatan di Kuala
Miri. Oleh itu, apabila pengunjung mahu pergi ke sini mereka menyebut 'hendak
ke Mirik'. Namun begitu, sehingga kini belum lagi ada kajian secara mendalam tentang
nama Miri dan hubung kaitnya dengan Kaum Mirik.
Penduduk
Bahagian Miri umumnya terdiri daripada daerah Miri dan Baram serta daerah kecil
Niah, Sibuti, Bakong dan Long Lama. Kedudukannya di utara Sarawak menjadi penghubung
utama antara Sarawak dengan negara jiran terdekat iaitu Brunei Darulsalam.
Jumlah penduduk Bahagian Miri mencecah 302,153 orang, iaitu Miri (228,231 orang)
dan Baram (73,922 orang). Rata-rata penduduk Miri berbangsa Melayu, Iban, Cina,
Melanau, Bidayuh dan lain-lain Bumiputera. Populasi etnik yang terbesar di Bahagian
Miri ialah Iban iaitu 90,649 orang diikuti Cina (77,183), Melayu (45,884) dan
lain-lain Bumiputera sebanyak 54,584 orang.
Kemudahan Infrastruktur
 |
| Taman Awam Miri |
Sejajar dengan visi bandar Miri sebagai Bandar Peranginan 2005, Miri menyediakan
pelbagai kemudahan infrastruktur untuk penduduk dan pengunjung. Kemudahan asas
seperti pengangkutan (udara, darat dan air), bekalan air, bekalan elektrik, telefon,
sekolah, hospital, taman-taman rekreasi dan pelbagai jenis eksportnya sebanyak
RM119 juta meningkat kepada RM203 juta pada 2001.
Walaupun begitu, masih terdapat industri turun-temurun yang masih mampu memberikan
pulangan yang lumayan. Industri sarang burung memang popular di sini, sumber asli
ini banyak didapati di Niah dan Baram.
Tarikan Pelancongan
Sesuai dengan visi dan misinya menjelang tahun 2005 untuk menjadikan Miri sebuah
'bandar peranginan', maka banyak usaha ke arah itu telah dijalankan dengan mengubah
suai lanskap dan menyediakan taman-taman yang menarik. Taman Kipas (City Fan),
misalnya adalah sebuah taman yang terletak dalam bandar Miri, ia lengkap dengan
pelbagai tema berdasarkan identiti penduduk yang pelbagai kaum. Dalam taman ini
terdapat Taman Bunga, Taman Bercirikan Masyarakat Cina dan Taman Bercirikan Islam,
manakala disebelahnya pula didirikan pusat sumber dan kebudayaan yang dikenali
sebagai Pustaka Miri.
Selain Taman Kipas, Miri juga menyediakan Taman Bulatan yang terkenal dengan tasik
buatan manusia. Malah pengunjung juga akan terpegun sekiranya berkunjung ke Taman
Awam Miri yang terletak di puncak bukit. Taman ini menyediakan pelbagai kemudahan
rekreasi dan tempat bersantai.
Miri juga adalah pusat membeli-belah bagi kawasa utara Sarawak. Terdapat banyak
pusat membeli belah yang terkini dan moden di sini, antaranya Bintang Plaza, Mega
Mall dan Imperial Mall. Bagi pengunjung yang ingin membeli kraftangan di Miri
mereka bolehlah mendapatkannya di Pusat Khazanah Miri (Miri Heritage Centre).
Mereka yang ingin mendapatkan makanan segar di sini pula boleh pergi ke Tamu Muhibah
dan Tamu Kedayan serta Pasar Malam di Saberkas. Tempat ini menawarkan barang keperluan
seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan lain-lain lagi.
 |
| Pemandangan waktu malam di Islamic Garden – salah
satu daripada komponen yang terdapat di Miri City Fan |
Pantai di Miri juga tidak kurang menariknya, pengunjung boleh menikmati pemandangan
panorama di sepanjang pantainya sejauh 135 km. Pantainya dilengkapi dengan taman-taman
permainan dan medan selera, seperti di Luak Bay Esplanade, Taman Selera, Pantai
Hawaii dan Pantai Bungai di Bekenu.
Bagi mereka yang ingin merancang ke Miri tidak perlu risau tentang penginapan,
kerana banyak hotel di sini yang pasti menepati bajet serta keperluan pengunjung.
Selain keindahan di bandarnya, Miri juga menyediakan tempat-tempat peranginan
menarik di kawasan pedalamannya. Antaranya Logan Bunut, iaitu tasik semulajadi
terbesar di Sarawak. Tasik seluas 10,736 hektar ini terletak kira-kira 120 km
dari Bandar Miri.
Terdapat juga Taman Negara Mulu yang cukup manarik. Dengan keluasan 544 km persegi
ia menyediakan lanskap gunung dan gua yang menarik serta mencabar untuk dilawati.
Antaranya Gunung Api (1,750 m), Gunung Mulu (2,376 m), Gua Pelanduk (Deer Cave),
Gua Angin (Wind Cave), Gua Air Jernih (Clear Water Cave), dan Gua Lang (Lang Cave).
Di sini juga terdapat kira-kira 1,500 spesis bunga hutan yang menarik, 262 spesis
burung dan 231 spesis rama-rama yang jarang ditemui.
Taman Negara Niah yang terletak kira-kira 110 km dari Miri juga tidak kurang menariknya.
Mempunyai keluasan kira-kira 3,100 hektar dan terletak berhampiran dengan Sungai
Niah. Di sinilah ditemui tinggalan sejarah manusia purba buat kali pertamanya
di negeri ini.
Taman Negara Lambir terletak di jalan Miri-Bintulu kira-kira 30 km dari Bandar
Miri. Dengan keluasan 6,952 hektar ia adalah tempat yang amat sesuai untuk menjalankan
kegiatan rekreasi, penyelidikan dan pendidikan secara langsung. Di sini terdapat
tapak penyelidikan, air terjun yang menarik, flora dan fauna serta 'Tree Tower'
setinggi 40 meter. Kawasannya yeng luas membolehkan pelbagai aktiviti dapat dijalankan
seperti berenang, pendidikan alam sekitar, 'jungle trekking', pengembaraan dan
berkelah.
Pengunjung yang ingin berkunjung ke tempat-tempat tersebut boleh menggunakan pengangkutan
darat yang sedia ada dari Bandar Miri. Namun Taman Negara Mulu, Long San dan Dataran
Tinggi Bario hanya boleh dikunjungi dengan pengangkutan udara.
Projek Pembangunan
 |
| Miri City Fan |
Bagi memastikan pembangunan Bahagian Miri setanding dengan kemajuan negeri lain
di Sarawak kerajaan giat melaksanakan projek-projek pembangunan di sini. Malah
usaha giat dijalankan bagi menaik taraf pekan-pekan kecil seperti Niah, Sibuti,
Bakong dan Long Lama menjadi daerah yang ada menyediakan pelbagai kemudahan asas
yang diperlukan.
Bagi menampung kehadiran pelancong yang semakin meningkat, Miri telah melaksanakan
projek pembesaran lapangan terbangnya yang menelan belanja RM2 juta dan dijangka
siap Mei 2004. Selain itu Lapangan Terbang Mulu turut diperbesarkan, ia dijangka
siap Oktober tahun ini (2003).
Projek pembangunan jalan darat juga tidak ditinggalkan, misalnya kerajan telah
membina jambatan di Kuala Baram yang bernilai RM178 juta dan dijangka siap Julai
2004. Bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing akibat pertambahan
kenderaan di jalan raya dalam kawasan bandar, kerajaan telah mengambil inisiatif
membina jalan Lintasan Miri (Miri By Pass) dari jalan utama ke lapangan terbang
hingga ke jalan Bulatan Pujut. Malah, kerajaan juga membina jalan persisir pantai
dari Tanjong Kidurong (Bintulu) ke Tanjong Lobang (Miri) yang menelan belanja
kira-kira RM581 juta, yang dijangka siap September 2005.
Bandar-bandar baru juga diwujudkan bagi menampung keperluan penduduk yang semakin
ramai. Misalnya, Bandar Baru Permyjaya yang mencakupi tiga fasa iaitu Desa Pujut,
Desa Indah dan Desa Indah 2 yang turut menyedikan rumah-rumah kediaman mewah berkembar
dua dan teres. Kerajaan juga telah meluluskan pembinaan petempatan baru seperti
Taman Desa Senadin, yang menyediakan rumah-rumah teres dan kos sederhana.
Selain daripada semua itu, pembinaan Muzium Sains Petroleum akan melengkapkan
Miri dengan sejarahnya sebagai Bandar Minyak. Projek bernilai RM16 juta ini dibina
di atas tapak seluas 10 hektar dan dijangka siap awal tahun ini (2003).
Jelas bahawa kemajuan dan pembangunan Bahagian Miri adalah berterusan, bermula
dari 'The Grand Old Lady' hingga ke hari ini. Pembangunan yang seimbang dan berterusan
di bandar dan luar bandar Miri adalah berkat semangat jitu dan kerukunan warganya
untuk menjadikan ia sebagai Bandar Peranginan pada tahun 2005.
|
|
|